Syafa`at Di Sisi Para Sahabat
Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA NEGERI SEMBILAN
Utusan Malaysia, 17 Mei 2011

Dalam menimbang sesuatu persoalan agama seperti Syafa`at, seharusnyalah kita turut merujuk kepada sikap dan amalan para Sahabat Nabi RA. Merekalah generasi muslim terbaik yang pernah terhasil dan amalan mereka menjadi salah satu sumber agama ini. Jika ini kita lakukan, kita akan mendapati banyak peristiwa dimana para Sahabat RA memohon bantuan dan pertolongan Nabi SAW tanpa merasakan bahawa itu adalah salah.

Daripada Mukhallad ibn ‘Uqbah ibn Abdur Rahman ibn Syarhabil, daripada datuknya, Abdur Rahman, daripada ayahnya, berkata: “Aku pernah menemui Rasulullah SAW ketika telapak tanganku terkena bisul. Aku berkata, “Wahai Nabi Allah! Bisul ini semakin membengkak dan menggangguku semasa aku hendak memegang pedang dan mengendalikan haiwan tunggangan.” Rasulullah SAW bersabda, “Dekatlah kepadaku!” Aku pun menghampiri Baginda SAW, kemudian Baginda SAW bersabda, “Bukalah telapak tanganmu itu.” Maka aku pun membukanya, kemudian Baginda SAW bersabda, “Genggamlah telapak tanganmu.” Maka akupun menggenggamnya. Rasulullah SAW bersabda, “Dekatlah kepadaku!” Aku pun menghampiri Baginda SAW. Maka Rasulullah SAW membukakan telapak tanganku, lalu meniupnya. Kemudian Baginda S meletakkan telapak tangannya pada bisul itu. Baginda SAW mengusap-usapnya dengan telapak tangannya sehinggalah Baginda SAW mengangkat tangannya, dan aku langsung tidak lagi melihat kesan bisul itu di tanganku.” (diriwayatkan oleh Imam Tabrani. Al Hafiz al Haithami menyebutnya di dalam Majma’ al Zawa’id (Jld 8 H: 298).

Ketika Peperangan Badar sedang meletus, ‘Ikrimah ibn Abu Jahal telah menetak bahu Mu’az ibn ‘Amru ibn al Jamuh. Mu’az RA berkata: “Dia telah menetak tanganku hingga tanganku terkulai pada kulit lambungku. Aku berasa begitu letih, berperang dalam keadaan sedemikian. Padahal, aku telah seharian berperang dalam keadaan aku meletakkan tanganku di belakangku. Apabila aku merasa sakit, aku meletakkannya ke kakiku, kemudian aku mencabutnya sehingga aku melemparkannya.” Di dalam kitab al-Mawahib disebutkan:

Mu’az ibn ‘Amru membawa tangannya yang ditetak oleh ‘Ikrimah ibn Abu Jahal itu ke hadapan Rasulullah SAW, sebagaimana yang disebutkan oleh al Qadhi ‘Iyadh daripada Ibnu Wahhab. Lalu Rasulullah SAW meludah ke atas tangan itu. Tiba-tiba tangan yang terputus itu bersambung kembali. (Kisah di atas disebut juga oleh al Zurqani yang menyandarkannya kepada Ibnu Ishaq. Di antara yang terdapat pada sanadnya ialah Imam al Hakim.)

Sesungguhnya terlalu banyak nas-nas yang sohih menuturkan bahawa apabila sahaja mereka ditimpa musim kemarau dan tidak dituruni hujan beberapa lama, maka para Sahabat RA akan menemui Rasulullah SAW untuk memohon syafa’at, bertawassul, dan meminta bantuan dengan perantaraan Baginda SAw kepada Allah SWT. Maka mereka akan menceritakan keadaan mereka dan mengadu kepada Baginda SAW bala bencana yang menimpa mereka.

Sebagai contoh, seorang Arab Badwi pernah datang kepada Rasulullah SAW ketika sedang menyampaikan khutbah Juma’at. Dia berkata, “Wahai Rasulullah! Harta benda kita telah musnah dan jalan-jalan kehidupan pula telah terputus. Pohonlah kepada Allah agar Dia menurunkan hujan kepada kita!” Maka Rasulullah SAW pun berdoa kepada Allah. Lalu hujan pun turun hingga Juma’at berikutnya. (Setelah hujan turun tanpa henti) Orang Arab Badwi itu datang lagi dan berkata, “Wahai Rasulullah! Rumah-rumah kita telah musnah, jalan-jalan telah terputus, dan haiwan banyak yang telah mati kerana hujan yang terlalu lebat menyebabkan banjir.” Maka Rasulullah SAW pun berdoa kepada Allah SWT. Lalu, awan pun berkurangan; dan hujan hanya turun di sekeliling Madinah sahaja.( Riwayat Bukhari dalam bab al-Istisqa’)

Abu Daud juga meriwayatkan dengan sanad jayyid (baik); daripada Sayyidatuna ‘Aisyah RA. Imam al Baihaqi meriwayatkannya di dalam Dala’il al Nubuwwah, daripada Anas  dengan sanad yang tiada seorang pun dituduh sebagai pembuat hadith maudhu’. (kitab al Fath al Bari jld 2 H: 495)

Diriwayatkan daripada Anas ibn Malik RA bahawa seorang Arab Badwi datang menemui Nabi Muhammad SAW. Dia berkata: “Wahai Rasulullah! Kita datang kepadamu kerana kita sudah tidak mempunyai unta yang dapat bersuara lagi. Bahkan, kita juga tidak mempunyai anak yang tidur lena.”

Kemudian dia membaca syair yang turut mengandungi rangkap yang berbunyi : “Tiada tempat untuk kita mengadu kecuali kepadamu, dan di manakah lagi manusia hendak memohon pertolongan melainkan kepada Rasul-rasul.”

Maka Rasulullah SAW pun menarik selendangnya, lalu naik ke atas mimbar. Baginda SAW mengangkat kedua-dua belah tangannya, lalu berdoa: “Ya Allah! Turunkanlah hujan kepada kita dengan hujan yang dapat menolong, yang baik, menyuburkan, banyak, merata, bermanfa’at tidak mudharat, dengan segera dan tidak lambat, yang memenuhi kantung susu haiwan, dan menyuburkan tanaman, serta menghidupkan tanah yang sudah mati.”

Anas RA berkata, “Rasulullah SAW tidak menurunkan kedua-dua belah tangannya hinggalah langit mula mendatangkan awannya. Maka turunlah hujan dengan lebatnya. Namun kemudian, orang ramai datang kepada Rasulullah SAW mengadu tentang banjir yang menimpa mereka pula. Maka Rasulullah SAW berdoa: “(Ya Allah) turunkanlah hujan itu di sekeliling kita dan bukannya ke atas kita.” Maka, hujan pun menjauhi kota Madinah.

Lihatlah, bagaimana Rasulullah SAW menyandarkan pertolongan, kedatangan manfaat dan sebagainya kepada hujan secara majaz atau kiasan. Lihatlah bagaimana Rasulullah SAW membenarkan si penyair (orang Arab Badwi itu) yang berkata: “Kita tidak mempunyai tempat untuk meminta pertolongan kecuali kepadamu.”

Namun, bait tersebut tidak membuatkan Rasulullah SAW menuduhnya sebagai pelaku syirik. Pada pandangan Rasulullah SAW, ungkapan itu bukan menurut hakikatnya, melainkan secara idhafi (sandaran) atau nisbi (nisbah). Adakah Rasulullah SAW masih tidak maklum tentang firman Allah SWT yang telah diturunkan ke atasnya: “(Katakanlah wahai Muhammad kepada mereka): “Maka segeralah kamu lari (kembali) kepada Allah (dengan bertaubat dan taat).”

Maksudnya, ‘pelarian’ yang diharapkan manfaatnya itu adalah dihadapkan kepadaMu, bukan kepada selainMu dan juga kepada para Rasul, bukan kepada orang yang selain mereka, kerana para rasul itu manusia yang paling tinggi kedudukannya yang dapat dijadikan sebagai tempat bertawassul kepada Allah SWT. Mereka juga adalah makhluk yang paling agung dan layak untuk ditunaikan oleh Allah segala hajat yang dipinta melalui (perantaraan) tangan-tangan mereka bagi orang-orang yang meminta perlindungan dan pertolongan kepada mereka.

Perhatikan betul-betul betapa Rasulullah SAW sangat terkesan dengan syair yang dibacakan oleh orang Arab Badwi tersebut hingga Baginda SAW dengan segera berusaha membantu mereka. Baginda SAW segera naik ke atas mimbar tanpa berlengah agar dapat memenuhi permintaan dan menolong orang yang meminta daripada Baginda SAW.

Hassan ibn Thabit RA pernah menyeru Rasulullah SAW dan menyifatkan Baginda SAW sebagai tiang untuk bersandar dan tempat berlindung yang diharapkan perlindungannya. Beliau berkata:

“Wahai tiang tempat bersandar orang yang bersandar, tempat berlindung orang yang berlindung kepadanya, tempat meminta tolong orang yang kesusahan, dan penyelamat orang yang memohon penjagaan! Wahai makhluk pilihan Allah bagi makhlukNya! Maka Allah menganugerahkan kepadanya akhlak yang suci bersih; Engkau adalah Nabi dan sebaik-baik keturunan Adam. Wahai Nabi yang pemurah bagaikan limpahan lautan yang luas! Mikail dan Jibril selalu menyertaimu. Kedua-duanya bersedia untuk menolongmu, sebagai bantuan daripada Tuhan Yang Maha Mulia lagi Maha Perkasa.” (Al-Isti’ab: 1/264).

Kesimpulannya, para Sahabat RA sering memohon Syafa`at Nabi SAW. Ini menunjukkan bahawa ia adalah suatu perkara yang baik dan dibenarkan.