Kitab an-Nashoih ad-Diniyyah wa al-Washoya al-Imaniyyah

Kitab ini ditulis oleh Qutb al-Da’wah wa al-Irsyad al-Imam al-Habib Abdullah bin ‘Alawi bin Muhammad bin Ahmad bin Abdullah bin Muhammad al-Haddad. Beliau dilahirkan pada 5 Safar 1044H/30 Julai 1634M dan wafat pada 7 Dhulqaedah 1132H/10 September 1720. Kitab ini selesai beliau tulis pada hari Ahad 22 Sya’ban 1089H iaitu ketika beliau berusia 45 tahun. Tema-tema yang diangkat didalam kitab ini adalah mengenai tauhid, fiqih dan tasawwuf. Dan gaya perbahasan dan metod penulisannya mengikuti kitab ihya yang ditulis oleh Hujjatul Islam al-Ghazali. Bahkan pada al-Faqir, kitab ini adalah merupakan intipati kitab ihya dimana pengarangnya telah menjadikan perbahsannya lebih ringkas, bahasanya mudah difahami, menggunakan isitlah-istilah yang dapat difahami oleh orang yang terpelajar maupun yang awam. Beliau sendiri mengungkapkan didalam muqaddimahnya:

Aku menyusunnya dengan ibarat yang yang mudah supaya dekat kepada fahaman orangramai, dan aku gunakan perkataan-perkataan yang mudah supaya segera difahami dan mudah ditangkap maksudnya oleh orang-orang yang khusus (golongan penuntut ilmu, terpelajar) dan orang-orang awam dari ahli iman dan islam.

 

Kitab ini sangat terkenal diseluruh dunia, dan ianya telah diterjemahkan kedalam beberapa bahasa antaran bahasa Inggeris, Perancis, Indonesia dan Malaysia. Ianya sedari dulu lagi dipelajari oleh para penuntut ilmu. Di Malaysia terdapat beberapa terjemahan, antaranya:-


1 – Nasihat Agama dan Wasiat Iman. Diterjemah oleh al-Fadhil Tuan Syed Ahmad Semait dan diterbitkan oleh Pustaka Nasional Pte Ltd, Singapura. Dan kitab ini diajar oleh al-Fadhil Tuan Syed Ahmad Semait di Masjid Baitulaman didalam kuliah bulanan. Setelah beliau kembali kerahmatullah (15 Julai 2006), pengajian kitab ini disambung oleh al-Habib ‘Ali Zainal ‘Abidin al-Hamid sehingga sekarang. Kitab ini juga merupakan salah sebuah teks yang diajarkan oleh al-Habib ‘Ali Zainal ‘Abidin al-Hamid pada setiap hari Ahad di Madrasah al-Nur, Lembah Pantai, sebagaimana yang ditetapkan oleh al-Habib Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafidz.

2 – Ringkasan Nasihat Agama dan Wasiat Iman. Buku ini adalah merupakan terjemahan dari kitab arab berjudul Mukhtasor al-Nashoih al-Diniyyah wa al-Washoya al-Imaniyyah yang diusahakan oleh Syaikh Muhammad Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki. Kitab ini adalah merupakan dalah sebuah kitab yang beliau ajarkan kepada santri beliau di Ma’ahad az-Zein Bogor. Selain itu beliau juga mengajarkan kitab ini pada setiap dua bulan di Masjid al-Falah, USJ 9, Subang Jaya, Selangor.

Perbahasan yang terdapat didalam kitab ini adalah:-

  • Perbahasan mengenai taqwa
  • Perbahasan mengenai ilmu
  • Perbahasan mengenai sholat
  • Perbahasan mengenai zakat
  • Perbahasan mengenai puasa
  • Perbahasan mengenai haji
  • Perbahasan mengenai taqwa
  • Perbahasan mengenai menbaca al-Quran dan Zikir
  • Perbahasan mengenai amar ma’ruf dan nahi mungkar
  • Perbahasan mengenai jihad
  • Perbahasan mengenai kekuasaan dan hak
  • Perbahasan mengenai muhlikaat (perkara-perkara yang membinasakan)
  • Perbahasan mengenai munjiyaat (perkara-perkara yang menyelamatkan)
  • Penutup kitab tentang ‘aqidah ahl al-Sunnah wa al-Jamaah

Bagaimana untuk mendapatkannya?
Terjemahan kitab ini terbitan Pustaka Nasional boleh didapati di kedai-kedai buku yang terletak di Jalan Tunku Abdurrahman, Kuala Lumpur atau di Pustaka Islamiyyah (cawangan dari Pustaka Nasional) yang terletak di fasa 3, Taman Sri Gombak. Harganya lebih-kurang RM50. Berkulit tebal. Terdapat didalam edisi rumi dan jawi.

Manakala Ringkasan Nasihat Agama dan Wasiat Iman yang diusahakan oleh Syaikh Muhammad Nuruddin boleh didapati ketika beliau mengadakan pengajiannya. Harganya dalam RM35.

http://pustaka-alfanshuri.blogspot.com