Jimak selepas Imsak

Dr Abdul Salam Muhammad Shukri

KAMI berjimak selepas waktu imsak dan mandi hadas, adakah puasa kami batal? Jika batal, selain daripada puasa ganti, apakah yang harus kami lakukan? Sehingga waktu bila pada Ramadan boleh menangguhkan mandi hadas? Sekiranya berada dalam haid dan berpuasa sepanjang hari serta mandi hadas (misalnya haid habis waktu Asar) sebelum waktu berbuka, adakah puasa itu diterima?

HAMBA WAS-WAS,Kuala Lumpur.

PUASA (bahasa Arab ialah al-siyam, al-sawm) dari sudut bahasa ialah menahan diri daripada suatu (bahasa Arab ialah al-imsak). Menurut istilah puasa ialah menahan diri daripada sesuatu yang membatalkannya seperti makan minum dan bersetubuh mulai terbit fajar hingga terbenam matahari dengan niat dan mengikut syarat tertentu.

Mengenai bersetubuh pada Ramadan, Allah berfirman, maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu, pada malam hari puasa, bercampur (bersetubuh) dengan isteri-isteri kamu. Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka.

“Allah mengetahui kamu mengkhainati diri sendiri (iaitu tidak dapat menahan nafsumu), lalu Dia menerima taubat kamu dan memaafkan kamu. Maka sekarang setubuhi isteri-isteri kamu dan carilah apa-apa yang sudah ditetapkan Allah bagi kamu; dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam (kegelapan malam), iaitu waktu fajar…” (Q 2: 187).

Dalam hal ini, antara penjelasan Zain al-Abidin al-Fatani dalam Kashf al-Litham (I: 104) ialah “jika naik fajar dan dalam mulutnya itu tiada makanan ditelan atau ia sedang berjimak maka ketika itu ia mengeluarkan qasad [niat] untuk meninggalkan jimak nescaya sah puasanya dan jika keluar mani sekalipun kerana jadinya daripada mubasharah (persetubuhan) yang harus.”

Maka persetubuhan itu tidak membatalkan puasa kerana berlaku sebelum waktu fajar (subuh).

Bagaimanapun, waktu imsak yang difahami sekarang sebagai ‘waktu akhir pada malam hari puasa (iaitu 10 minit sebelum fajar) yang tidak boleh makan-minum dan lain-lain pekerjaan yang membatalkan puasa.’ (Dusuki, 1988: 137). Ia ditetapkan bagi memastikan supaya kita tidak terlanjur sehingga melakukan perkara membatalkan puasa.

Walaupun sah berpuasa dalam hadas dan ia adalah kering, kita sepatutnya mandi hadas besar untuk menunaikan solat Subuh. Seseorang dalam haid pula tidak wajib berpuasa dan sekiranya berpuasa menjadi tidak sah. Dengan kata lain, ia mesti suci haid pada seluruh hari daripada waktu fajar dan bukannya hanya pada waktu Asar.