Isu gereja: Islam benar guna kuasa, kata NGO
Ogos 15, 11 2:26pm
Kongsi

179

NGO Islam Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) membela tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menggunakan kuasa yang ada padanya untuk melakukan pemeriksaan terhadap sebuah gereja di Petaling Jaya.

Menjawab kenyataan Prof Madya Dr Asri Zainul Abidin, ISMA berkata pandangan bekas mufti Perlis itu – bahawa Islam ditegakkan dengan hujah semata-mata – tidak tepat dan dikhuatiri mengundang salah faham.

“Ini kerana Islam tertegak atas dua tonggak iaitu al-Quran dan sultan, yakni hujah dan kekuasaan,” kata Pengerusi Biro Latihan Kepimpinan ISMA Mohd Hazizi Abdul Rahman.

Hazizi mempertahankan hujahnya dengan memetik kata-kata Saidina Uthman bin Affan yang berbunyi: “Sesungguhnya Allah melarang dengan kuasa sesuatu yang tidak terlarang dengan al-Quran”.

“Sewaktu fasa Mekah, Rasulullah SAW berjihad dengan hujah dan penerangan. Namun semasa fasa Madinah, setelah baginda berkuasa, baginda berjihad dengan hujah dan kekuatan (undang-undang, penguatkuasaan dam peperangan) secara serentak,” tambah Hazizi.

Mengulas pemeriksaan JAIS ke Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) pada 3 Ogos lalu, Dr Asri (atas, bersongkok) mempersoalkan sampai bila orang Islam mesti bergantung pada undang-undang sedangkan Islam agama hujah.

Cara fikir berbahaya

Katanya, melalui pengajaran dan dakwah, isu melibatkan gereja itu sepatutnya mampu ditangani tanpa memerlukan pemeriksaan JAIS.

Dr Asri berkata, jika negara bukan Islam mengambil tindakan sama menggunakan undang-undang, sudah tentu masjid juga akan diceroboh dan didakwa.

Dalam kenyataannya hari ini, Hazizi berkata, dalam negara yang dikuasai orang Islam, undang-undang mencegah kemungkaran dan perlanggaran peraturan Allah mesti dikuatkuasakan untuk menjauhi atau mengurangkannya.

“Itulah antara tugas asasi pemerintah Islam dalam kerangka peranan hifzuddin atau menjaga agama.

Sehubungan itu, Hazizi mendakwa, membandingkan tugas nahi mungkar (mencegah kemungkaran) yang dijalankan di negara umat Islam dengan negara yang dikuasai bukan Islam merupakan cara fikir berbahaya dan menyeleweng daripada disiplin ilmu syarak.

Menurutnya lagi, ini kerana ia hanya menggunakan akal fikiran sesuka hati tanpa merujuk kepada sumber wahyu dan huraiannya terlebih dahulu

http://www.malaysiakini.com/news/173048