Pendapat al-Imam al-Baijuuri Mengenai Kedudukan Ayahanda dan Bonda Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم

Imam Baajuuri: Beliau adalah Burhan ad-Diin Ibrahim al-Baajuuri ibn asy-Syeikh Muhammad al-Jiizaawi ibn Ahmad. Dilahirkan pada tahun 1198H/1784M di kampung Baajuur di daerah Manufiya. Oleh kerana itu beliau dikenali sebagai Syeikh Ibrahim al-Baajuuri atau ada pendapat yang lain mengatakan menyebut al-Baijuuri.

Dibesarkan oleh ayahnya dan mempelajari al-Qur’an daripada ayahnya. Pada tahun 1212H ketika berusia 14 tahun, beliau menuntut ilmu di al-Azhar. Dan tatkala tentera Perancis memasuki Mesir pada tahun 1213H beliau keluar ke Hizah dan bermukim disana. Dan apabila tentera Perancis meninggalkan Mesir pada tahun 1216H, beliau kembali ke al-Azhar dan menyibukkan dir dengan pelbagai macam bidang ilmu.

Di al-Azhar asy-Syarif, beliau berguru dengan ulama-ulama terkemuka, antaranya:
Al-‘Allamah Syeikh Muhammad al-Amir al-Kabir al-Maliki, beliau seorang ulama terkenal di Mesir. Seseluruh ulama mesir ketika itu mengambil ijazah dan sanad kepada beliau, bahkan sampai sekarang mata rantai sanad masih tetap kepada beliau.
Al-‘Allamah Abdullah asy-Syarqawi, beliau merupakan ulama yang alim dan terkenal di Mesir dan di seluruh dunia islam, karangannya yang banyak membuat nama beliau melonjak di seantero dunia, terlebih lagi beliau mendapat menjawat jawatan Syeikhul Azhar yang merupakan kedudukan yang tertinggi di al-Azhar. Bahkan beliau juga digelar sebagai Syeikhul Islam.
Syeikh Daud al-Qal`aawi, beliau merupakan ulama yang bijak dan arif.
Syeikh Muhammad al-Fadhali, beliau seorang ulama al-Azhar yang alim dan sangat mempengaruhi jiwa Syeikh Ibrahim al-Bajuri.
Syeikh al-Hasan al-Quwisni, beliau adalah seorang ulama yang hebat sehingga di beri tugas untuk menduduki kerusi kepimpinan al-Azhar dan dilantik menjadi Syeikhul Azhar pada masanya.
Beliau juga adalah seorang yang banyak menghasilkan karya di dalam pelbagai bidang ilmu. Di antara karya beliau adalah:
Hasyiyah Ala Risalah Syeikh al-Fadhali, merupakan ulasan dan penjelasan makna ” La Ilaha Illa Allah “, kitab ini merupakan kitab yang pertama beliau karang, ketika itu umur beliau sekitar dua puluh empat tahun.
Hasyiyah Tahqiqi al-Maqam `Ala Risalati Kifayati al-`Awam Fima Yajibu Fi Ilmi al-Kalam, kitab ini selesai pada tahun 1223H.
Fathu al-Qariib al-Majiid Syarh Bidaayatu al-Muriid, selesai di karang pada tahun 1224H.
Hasyiyah Ala Maulid Musthafa Libni Hajar, selesai pada tahun 1225H.
Hasyiyah `Ala Mukhtasor as-Sanusi, selesai pada taun 1225H.
Hasyiyah `Ala Matni as-Sanusiyah, selesai pada tahun1227H.
Tuhfatu al-Murid `Ala Syarhi Jauharatu at-Tauhid Li al-Laqqani, selesai pada tahun 1234H.
Tuhfatu al-Khairiyah `Ala al-Fawaidu asy-Syansyuriyah Syarah al-Manzhumati ar-Rahabiyyah Fi al-Mawarits, selesai pada tahun 1236H.
Ad-Duraru al-Hisan `Ala Fathi ar-Rahman Fima Yahshilu Bihi al-Islam Wa al-Iman, selesai pada tahun 1238H.
Hasyiyah `Ala Syarhi Ibni al-Qasim al-Ghazzi `Ala Matni asy-Syuja`i, selesai di tulis pada tahun 1258H, kitab ini merupakan kitab yang di pelajari di al-Azhar Syarif sampai sekarang. Dan kitab ini juga merupakan karangan terakhir yang dapat beliau sempurnakan.
Fath al-Rabb al-Bariyyah ‘ala ad-Durratul Bahiwah Nazam al-Ajrumiyyah, ditulis tahun 1229H
Hasyiah ‘ala Bant Su’ad, ditulis pada tahun 1234H
Al-Mawaahib al-Laduniyyah ‘ala asy-Syamail al-Muhammadiyyah, disempurnakan pada 1251H
Dan lain-lainnya.
Kitab-kitab yang tidak sempat beliau sempurnakan, antaranya:
Hasyiah ‘ala Jam’ al-Jawami’
Hasyah Matan al-Minhaj
Hasyiah ‘ala Syarh as-Sa’d li ‘Aqaid an-Nasafi
Syarh Mandzumah asy-Syeikh al-Bukhari fi at-Tauhid
Hasyiah ‘ala Tafsit al-Fakhrur ar-Razi
Ta’liq ‘ala Tafsir al-Kasyaaf oleh Zamkhasyari
Ulama besar ini wafat pada hari Khamis 28 Dhulqaedah 1276 bersamaan 19 Julai 1860M.

Beliau menyebut di dalam kitabnya Tuhfah al-Murid ala Jauharah at-Tauhid:

Ertinya: (Tanbih): Apabila engkau telah mengetahui bahwa ahli fatrah adalah golongan yang terselamat di akhirat menurut qaul yang raajih, maka mengetahuilah engkau bahawa kedua ayahanda dan bonda Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم juga terselamat, disebabkan keduanya tergolong daripada ahlul fatrah. Bahkan kesemua nenek-moyang Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم terselamat dan dihukumkan sebagai generasi yang beriman dan tiada seorang pun di antara mereka yang (terjatuh) didalam kekufuran, kekotoran, keaiban (yang menjatuhkan maruah) dan tidak pula oleh sesuatu diantara apa-apa yang pernah dilakukan oleh kaum arab jahiliah, berdasarkan dalil naqliah, seperti firman Allah Ta’ala:

وَتَقَلُّبَكَ فِى ٱلسَّـٰجِدِينَ ﴿٢١٩﴾

Ertinya: Dan (melihat) gerak-gerimu di antara orang-orang yang sujud (asy-Syu’ara`: 219).

Dan sabda Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم:

لَمْ أَزَلْ أَنْقَلَ مِنْ أَصْلاَبِ الطَّاهِرَاتِ إِلَى الأَرْحَامِ الزَّاكِيَاتِ

Ertinya: Sentiasalah aku berpindah dari sulbi generasi-generasi yang suci kepada rahim-rahim yang bersih. Dan selain yang demikian itu daripada hadits-hadits yang telah mencapai darjat mutawatir. – tamat petikan dari Hasyiah al-Imam al-Baijuri ‘ala Jauharah at-Tauhid yang dinamakan dengan Tuhfah al-Murid ‘ala Jauharah at-Tauhid, tahqiq serta ta’liq oleh al-Ustaz ad-Durtur ‘Ali Jum’ah bin Muhammad asy-Syafie, Dar as-Salam, Qaherah, Mesir, Cetakan Pertama 2002M/1422H, halaman 68.

Maka fahamilah wahai saudara-saudaraku!

Sekian dari
al-fagir ilaLlah abu zahrah
sebelum dhuhur, Selasa, 16 Rmadhan 1432H/16 Ogos 2011M
taman seri gombak