Qosidah al Burdah

Qosidah al Burdah ini telah dikarang oleh seorang ulama’ besar bernama Imam al Busairi RA pada abad ke-7 Hijrah. Bacaan qosidah yang indah lagi mempesonakan ini masih dibaca dan meniti di bibir jutaan umat Islam yang mengungkapkan kecintaan mereka terhadap Rasulullah SAW. Keindahan dan keunikan Qosidah al Burdah ini adalah tanda mutiara syair cinta Imam al Busairi RA kepada Rasulullah SAW.

Amalan tradisi membaca Qosidah al Burdah ini telah pun diamalkan oleh ulama’-ulama’ yang ‘alim, faqih dan hebat ilmu mereka di negara Mesir, Yaman, Maghribi, Syria, Makkah dan Madinah. Puji-pujian ini disebarkan dalam usaha membuahkan rasa kasih terhadap kekasih kita Nabi yang mulia Sayyiduna Muhammad SAW.

Guru kami al Muhaddith Dr. Ahmad Umar Hasyim pernah berkata: “Qosidah al Burdah al Imam Busairi RA merupakan qosidah yang terbaik dan besar hikmah bagi sesiapa yang membacanya”.

Manakala Guru dan ayahanda kami wangi-wangian dari bumi Hijaz, Al Muhaddith al Musnid Sayyid Muhammad ibn ‘Alawi al Maliki RA pernah menyarankan kepada anak-anak muridnya supaya mempelajari bidang qosidah selepas belajar al Quran. Ini kerana qosidah atau syair adalah merupakan suatu ilmu yang seni dalam melontarkan ketenangan apabila kita menghayatinya, lebih-lebih lagi apabila mengingati Rasulullah SAW.