SYAFAAT NABI SESUDAH WAFAT
Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA NEGERI SEMBILAN
Utusan Malaysia, 24 Mei 2011

Timbul pula dakwaan sesetengah orang bahawa meminta syafa’at atau istighathah (memohon pertolongan) daripada Nabi SAW hanya dibolehkan ketika Baginda hidup maka kita menjawab ; Sesungguhnya beristighathah dan bertawassul; jika keharusannya dikaitkan dengan hidupnya pihak yang diminta pertolongan, maka ketahuilah, bahawa para nabi dan hamba-hamba Allah yang diredhai itu tetap hidup di alam kubur mereka.

Sekiranya tiada dalil lain untuk membenarkan keharusan bertawassul dan beristighathah dengan Rasulullah SAW setelah wafat, kecuali dengan menggunakan qias atau analogi terhadap tawassul dan istighathah dengan Baginda SAW ketika masih hidup, maka itupun sudah cukup, kerana kita meyakini bahawa Rasulullah SAW tetap hidup di alam barzakh. Baginda SAW selalu memerhatikan umatnya. Dengan izin Allah SWT, Baginda SAW menguruskan keadaan mereka dan mengetahui apa yang mereka lakukan. Salawat yang mereka ucapkan diperlihatkan kepada Baginda SAW. Salam yang mereka berikan juga sampai kepada Baginda SAW, meskipun mereka sangat ramai.

Orang yang mempunyai pengetahuan yang luas tentang keadaan ruh dan keistimewaan yang diberikan oleh Allah kepada mereka, terutamanya terhadap ruh yang mempunyai kedudukan yang tinggi, iaitu ruh para rasul dan nabi, hatinya akan terbuka untuk mempercayai dan mengimani perihal kehidupan para ruh. Lebih-lebih lagi, terhadap induk segala ruh, dan cahaya yang menyinari segala cahaya, iaitu Nabi Muhammad SAW.

Jika memohon syafa’at, istighathah, atau bertawassul dengan Rasulullah SAW itu dinilai sebagai syirik dan kufur sebagaimana yang disangkakan, adalah tidak wajar ia diharuskan pada satu keadaan sahaja, semasa hayat Baginda SAW tidak pada keadaan yang lain, kerana perbuatan syirik itu menjadi kemurkaan Allah dalam semua keadaan.

Dakwaan bahawa orang yang sudah mati tidak mampu melakukan apa-apa, adalah dakwaan yang batil. Jika dakwaan tersebut didasarkan kepada kepercayaan mereka bahawa mayat itu menjadi tanah, jelas itu merupakan suatu kebodohan dan kejahilan. Mereka jahil tentang hadith-hadith yang disabdakan oleh Nabi Muhammad SAW. Bahkan, mereka juga jahil tentang firman Allah SWT yang menegaskan bahawa ruh-ruh itu tetap hidup dan kekal setelah terpisah daripada jasad. Mereka juga jahil tentang kisah Nabi Muhammad SAW yang pernah menyeru mayat yang ada di dalam kubur ketika Perang Badar. Rasulullah SAW juga pernah mengucapkan salam kepada ahli kubur, dan menyeru mereka dengan sabdanya: “Semoga kesejahteraan dilimpahkan ke atas kalian, wahai penghuni perkampungan (kubur) ini!”

Dalil yang lain ialah dalil tentang azab dan nikmat kubur bagi penghuni kubur, nas-nas yang menceritakan tentang ruh-ruh yang selalu datang dan pergi kepada ruh-ruh yang lain. Banyak lagi dalil lain yang ditetapkan oleh Islam dan diakui oleh para ilmuwan, dulu dan kini.

Bagaimanapun, kami membataskan perbicaraan hanya mengikut soalan berikut: Apakah mereka percaya atau tidak bahawa orang-orang yang mati syahid itu hidup di sisi Tuhannya, sebagaimana yang diungkapkannya oleh al Quran? Jika mereka tidak mempercayainya, kami tidak berminat untuk berbincang dengan mereka, kerana mereka telah membohongi al-Quran yang mengatakan: “Dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa yang terbunuh dalam perjuangan membela agama Allah itu orang-orang yang mati; bahkan mereka itu orang-orang yang hidup (dengan keadaan hidup yang istimewa) tetapi kamu tidak dapat menyedarinya.” (Al-Baqarah: 154)

Jika mereka mempercayainya, maka kami katakan pula kepada mereka: Sesungguhnya para Nabi dan kebanyakan orang-orang soleh lain; yang tidak mati syahid; seperti sesetengah para Sahabat besar RA, adalah lebih mulia daripada orang-orang yang mati syahid tanpa diragui lagi. Jika jelas diakui bahawa para syuhada’ itu hidup di dalam kuburnya, maka menetapkan bahawa hidupnya orang-orang yang lebih mulia daripada golongan syuhada’ adalah lebih patut dan lebih layak. Lebih-lebih lagi, hidupnya para nabi itu disebut secara jelas dalam hadith-hadith yang sohih.

Jika telah thabit kehidupan yang khusus dan istimewa selepas mati bagi golongan yang mulia ini, maka apakah lagi penghalang menurut pandangan akal yang menyekat daripada beristighathah dan meminta pertolongan kepada Allah melalui ruh mereka ini?

Perbuatan dan tindakan para arwah adalah seperti perbuatan dan tindakan para Malaikat. Mereka tidak memerlukan kepada sentuhan dan juga peralatan. Mereka tidak hidup mengikut peraturan kehidupan yang kita kenali dan ketahui; kerana mereka itu berada di alam yang lain. Di dalam firman Allah SWT, disebutkan: “Dan mereka bertanya kepadamu tentang ruh. Katakan, “Ruh itu dari perkara urusan Tuhanku.” (Al-Israa’: 85)

Apakah yang mereka ketahui dan fahami tentang perbuatan atau peraturan hidup malaikat dan jin di dalam alam ini? Tidak disyaki, bahawa arwah itu mempunyai kebebasan yang boleh menjawab seruan orang yang menyerunya dan menolong orang yang meminta pertolongan daripadanya betul-betul sama seperti orang-orang yang hidup dengan jasadnya di atas dunia ini. Bahkan, mereka boleh memberikan pertolongan yang lebih hebat dan besar daripada orang yang hidup.

Jika mereka tidak boleh memahami kecuali dengan pancaindera dan tidak mengakui kecuali dengan penyaksian mata kasar, maka ia adalah ciri-ciri orang-orang yang mengikut pancainderanya sahaja. Ini bukannya sifat orang-orang Mukmin. Kalaupun kita cuba mengikut pendapat mereka, bahawa arwah itu setelah berpisah dengan jasad, tidak mampu melakukan apa pun, namun kita tetap akan berkata kepada mereka:

“Kalaupun kita bersetuju dengan dakwaan itu, kita tetap berhak menetapkan bahawa pertolongan para nabi dan wali bagi orang-orang yang memohon pertolongan kepada mereka tetap ada dalam bentuk yang lain. Iaitu menolong orang yang menziarahi mereka dan meminta tolong dengan mereka melalui doa yang dipanjatkan kepada Allah untuk mereka sebagaimana halnya seorang yang soleh mendoakan orang yang lain. Maka ia merupakan doa seorang yang mulia bagi orang yang kurang kemuliaannya. Atau pun, paling kurang, ia adalah doa seorang saudara kepada saudaranya yang lain. Kita sepakat bahawa arwah mampu melakukan ini. Arwah dapat merasa dan mengetahui, bahkan, perasaan mereka lebih sempurna, dan pengetahuan mereka lebih luas, setelah jasad terpisah daripada mereka kerana telah terhapusnya hijab tanah yang menghalang mereka dan terlepasnya mereka daripada belenggu syahwat kemanusiaan.

Dalam hadith ada disebutkan, bahawa segala amal perbuatan kita diperlihatkan kepada Baginda SAW. Jika Baginda SAW mendapati ia baik, maka Baginda SAW memuji Allah; dan jika Baginda SAW mendapati ia sebaliknya, maka Baginda SAW memohon keampunan bagi kita.

Rumusannya, sesungguhnya, yang diminta pertolongan dan bantuan itu adalah Allah SWT jua. Tetapi, si peminta memohon kepada Allah SWT dengan cara bertawassul dengan Nabi Muhammad SAW agar dapat memenuhi permintaannya. Penolong yang sebenar adalah Allah, tetapi si pemohon mahu memohon kepada Allah melalui orang-orang yang dekat di sisiNya dan yang dimuliakanNya, terutamanya Nabi SAW. Seolah-olah si pemohon berkata, “Aku termasuk di dalam golongan orang yang mencintainya (atau umatnya), maka rahmatilah aku demi kemuliaannya.” Allah SAW pasti akan merahmati ramai manusia demi kemuliaan dan keagungan Nabi Muhammad SAW, para nabi, para rasul dan ulama’.

Bahawa Allah SWT memuliakan orang-orang yang dikasihi dan dicintai oleh Nabi Muhammad SAW demi kemuliaan NabiNya, bahkan Allah memuliakan sebahagian hambaNya, disebabkan kasihNya terhadap hamba-hambaNya yang soleh, sememangnya suatu hakikat yang dimaklumi dan diakui.