Posted by: Habib Ahmad | 15 Mei 2011

Istiqamah

Istiqamah
Tuesday, December 26, 2006

Sebuah hadis Rasulullah ada menyebut bahawa amalan yang paling dicintai oleh Allah adalah yang kekal walaupun sedikit. Para ulamak juga sentiasa mengingatkan kita peri pentingnya istiqamah dalam setiap amal perbuatan kita. Istiqamah juga terbukti merupakan kunci kepada kejayaan seseorang di dalam amalannya dan peningkatannya dari satu darjat ke satu darjat di sisi Allah. Seorang yang ibadahnya sekejap berkurang sekejap bertambah mana mungkin sama dengan seseorang yang ibadahnya kekal berterusan. Malahan seorang yang istiqamah pasti diberikan kelazatan amalan tersebut oleh Allah Taala, maka akan berusaha menambahkannya lagi.

Seorang khatib di sini, baru-baru ini menceritakan beliau didatangi oleh seorang lelaki yang ingin menghafal Al-Quran secara laju dan sehingga 10 helaian dalam satu hari. Khatib tersebut melarangnya dan menyuruhnya menghafal 5 ayat sahaja dalam sehari. Dia enggan lalu pergi dari khatib tersebut dan ingin menghafal sendirian. Seorang lagi pemuda menghafal lima ayat sehari dan seorang lagi menghafal seayat sehari, tetapi dengan cara istiqamah. Hasilnya, pemuda yang mampu menghafal banyak ayat sehari sehingga hari ini belum mampu menghafal keseluruhan Al-Quran kerana tidak istiqamah dan terpaksa mengulangnya semula setelah terhenti beberapa hari atau minggu. Sedangkan pemuda kedua yang menghafal 5 ayat sehari telah pun menghafal keseluruhan Al-Quran. Inilah perbezaan nyata antara istiqamah dengan tidak.

Guru ana, Al-Habib Omar bin Abdullah As-Syatri selalu mengingatkan kami para pelajarnya supaya istiqamah.

Walau apa jua yang terjadi tidak boleh dijadikan alasan untuk meninggalkan majlis ilmu. Beliau sendiri menunjukkan contoh teladan yang baik dengan istiqamah apabila walaupun sakit pun akan tetap meneruskan pengajian kerana istiqamah. Malahan jika ada saudara mara yang meninggal dunia pada malam pengajian, beliau tidak akan meninggalkan pengajian dan hanya akan berziarah selepas tamat pengajian. Begitulah yang dididik dan ditekankan sentiasa kepada kami.

Ana sendiri ketika mengajar sesetengah pelajaran seperti faraidh akan menekankan perkara ini, dan akan tidak senang jika ada pelajar yang ponteng kelas, walau dengan apa jua alasan.

Namun begitu, syaitan tentu sekali akan berusaha keras untuk menghalang kita dari istiqamah. Begitu jua tuntutan nafsu yang ammarah bissu’ akan melemahkan kita dari terus kekal berbuat kebajikan.

Oleh itu kita dituntut supaya sentiasa memohon kepada Allah agar dikurniakan istiqamah dan dibantu dalam berbuatan amalan kebajikan. Kesabaran juga amat diperlukan dalam memastikan diri terus kekal melakukannya. Inilah yang kita namakan sabar dalam melakukan ketaatan.

Antara tips atau nasihat para ulamak dalam mendidik diri untuk istiqamah adalah tidak memberatkan diri dengan apa yang tidak termampu. Selain itu mulakan amalan kita dengan berbuat perkara yang mudah dahulu, dan setelah pasti akan istiqamah dan mendapat kelazatannya, barulah ditambah sedikit demi sedikit. InsyaAllah kita diberi oleh Allah kemudahahan dalam melaksanakannya. Kita juga boleh membuat jadual dalam masa tersebut, ibadat yang kita ingin istiqamah dan ibadat yang bergantung kepada situasi dengan syarat berniat untuk terus istiqamah. Jadual ibadat yang kekal istiqamah tersebut perlu diwajibkan atau ditekankan ke atas diri seberapa boleh sehingga ia menjadi satu kelazatan pula.

Seorang penuntut ilmu misalnya takkan dapat mencapai kelazatan menuntut ilmu dan rahsia serta hikmah ilmu tersebut tanpa istiqamah. Maka itu dia perlu kekal dalam kelas-kelas pengajian dan mengulangkaji pelajarannya. Jangan dijadikan apa jua alasan untuk kita jauh dari majlis-majlis ilmu yang banyak di tempat kita berada. Selain itu boleh juga dijadikan segala perbuatan kita sebagai satu cara menuntut ilmu dengan malazimi dan mendampingi para ulamak.

Segala perbualan kita nescaya dikira sebagai satu bentuk menuntut ilmu. Maka mudahlah kita untuk terus istiqmah dengannya. Azam yang kuat dan cekal amat perlu dalam menuntut ilmu kerana dugaannya amat banyak sesuai dengan ganjarannya yang begitu besar.

Antara tanggungjawab seorang yang berilmu pula adalah menyampaikan ilmunya juga dengan istiqamah, tak kira di mana berada dan dengan apa jua cara. Seseorang yang boleh berdakwah dengan berkata-kata, maka perlulah selalu kekal dalam berdakwah dengan kata-katanya yang berhikmah dan mengajak kepada kebaikan. Seseorang yang boleh menulis, maka jadikanlah mata penanya (atau keyboardnya) sebagai wasilah dakwahnya. Begitu jua berdakwah dengan akhlak yang semestinya kekal sentiasa dilakukan tak kira apa situasi kita.

Penulisan blog juga adalah satu medium dakwah yang sepatutnya dijadikan satu senjata oleh para daie. Terdapat banyak blog hari ini yang digunakan untuk menyampaikan dakwah (walaupun ada yang menyampaikan dakwah yang tidak betul atau tidak tepat).
Maka itu penulis blog dakwah juga perlu sentiasa kekal istiqamah dalam menyampaikan dakwahnya. Apapun tidak boleh dijadikan alasan untuk kita lalai dari tanggungjawab ini.

Seorang sahabat bertanya kepada ana baru-baru ini apakah rahsia hits yang banyak dalam sebuah blog.

Jawapannya mudah bagi ana, istiqamah. Tanpa istiqamah pengunjung juga takkan berkunjung lagi dan tidak lagi menantikan dakwah kita yang seterusnya. Tetapi dengan istiqamah pengunjung akan sentiasa menantikan bilakah update seterusnya. Maka dakwah kita juga akan mendapat tempat di hati mad’u serta diterima baik. Tentu sekali syarat-syarat asas dalam penulisan kita juga ada iaitu penulisan yang berkualiti (dari segi bahasa dan isinya), dakwah yang betul dan tepat (isi, metodologi, keutamaan, manhaj) dan yang terutama ikhlas kerana Allah.

Semoga Allah memudahkan kita untuk terus istiqamah dalam apa jua amalan baik kita. Amin… – Nukilan indah : Ustaz Aljoofre .

ALLAHu a`lam bisawab.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: