Fahaman militan di universiti
Oleh HASHNAN ABDULLAH
pengarang@utusan.com.my
PUTRAJAYA 5 Jan. – Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesahkan wujudnya tindakan pihak tertentu menyebarkan fahaman dan pemikiran militan di universiti-universiti tempatan.
Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien berkata, fakta itu berasaskan maklumat risikan yang bukan sahaja diperoleh daripada agensi keselamatan negara tetapi juga perisik negara lain.
‘‘Memang ada, saya boleh mengesahkan dan sehingga kini sudah ada beberapa siri tangkapan dibuat membabitkan warga universiti, orang awam dan warga asing tetapi saya tidak boleh mendedahkan siapa mereka.
‘‘Bagaimanapun, keadaan ini masih terkawal dan tidak menjejaskan keselamatan negara namun kita tidak boleh leka,” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan perbincangan dengan Ketua Pengarah Pertubuhan Migrasi Antarabangsa (IOM), William Lacy Swing di sini hari ini.
Minggu lalu, agensi berita AFP mendakwa terdapat universiti tempatan yang cuba dijadikan pusat merekrut militan Islam.
Hishammuddin memberitahu, berasaskan maklumat risikan yang disifatkannya sebagai bukan luar biasa, ia tidak hanya melibatkan agama Islam tetapi agama dan ideologi lain.
‘‘Ini bukan perkara membimbangkan kerana saya mendapat laporan setiap minggu dan juga mempunyai hubungan baik dengan negara-negara jiran serta agensi antarabangsa berkaitan,” katanya.
Menyentuh mengenai pertemuannya dengan Lacy Swing, beliau berkata, secara prinsip KDN dan Wisma Putra bersetuju dengan cadangan mewujudkan pejabat cawangan IOM di Kuala Lumpur.
Tambahnya, cadangan IOM itu bertujuan mengukuhkan kedudukan fizikalnya di negara ini, selain menjalin kerjasama erat dengan kerajaan dalam perkara yang melibatkan migrasi penduduk dunia di Malaysia.
‘‘Saya yakin kerjasama erat ini dapat memberi manfaat besar terhadap usaha dan komitmen kerajaan membanteras kegiatan pemerdagangan orang yang kini merentasi sempadan dunia,” katanya