Kewajipan Suami – persetubuhan

Sebagai seorang suami, dia harus memelihara kesederhanaan dan kesopanan dalam adab-adab bersetubuh.

Sunnat dimulakan dengan perbualan-perbualan manis dan bercumbu-cumbuan, manakala suami menutup kepalanya dan suaranya direndahkan seolah-olah, dia sedang berbisik-bisik. Apabila telah memuncak keinginannya, hendaklah ia menunggu seketika sehingga isteri pula datang nafsunya.

Hendaklah suami jangan mendatangi isteri sewaktu haidh bahkan hendaklah ia menunggu seketika sehingga ia bersih dari haidh, tetapi bolehlah ia bersenang-senang dengan seluruh tubuh badannya, melainkan bersetubuh saja yang dilarang.

Janganlah pula ia cuba mendatangi isteri yang dalam haidh itu pada jalan lain yang telah ditentukan. Perbuatan yang demikian itu adalah ditegah dengan keras, kerana dikhuatiri akan berlaku sesuatu bahaya atau penyakit. Ketahuilah bahawa bahaya dan penyakit itu sentiasa ada, sebab itu ia menjadi lebih keras haramnya daripada bersetubuh dengan isteri yang sedang haidh.

Allah telah berfirman:

“Hendaklah kamu mendatangi ladangmu (isterimu) sebagaimana yang kamu ingini.” (al-Baqarah: 223)

Maksud dari ayat “sebagaimana yang kamu ingini” ialah pada bila-bila masa yang kamu merasa berkeinginan.

Sewaktu isteri masih dalam haidh, tiada tegahan bagi suami untuk beristimna’ (mengusahakan keluarnya air mani) dengan membiarkan tangan isteri bermain-main pada seluruh tubuh badan suami, begitu pula boleh juga suami meraba-raba bahagian-bahagian yang di dalam kain isteri sehingga naik syahwatnya, hanya yang dilarang ialah bersetubuh saja.

Malah tiada larangan seseorang suami mengajak isteri yang dalam haidh makan bersama-sama dengannya, atau baring bersama-sama, atau melakukan perbuatan-perbuatan yang seumpama itu.

Di antara adab-adab bersetubuh lagi, janganlah ia ber‘azal (menumpahkan air mani di luar kemaluan wanita), sebab tidak ada suatu yang bernyawa yang telah ditakdirkan Allah wujudnya melainkan ia tetap akan wujud bagaimana sekalipun diusahakan untuk mengelakkannya.

Mengenai perbuatan ‘azal itu, ada berbagai-bagai pendapat ulama. Ada yang mengharuskan, dan ada pula yang menghalalkan dengan syarat keredhaan isteri. Jika isteri tidak redha maka dihukumkan haram supaya isteri tidak teraniaya. Tetapi pendapat yang betul ialah pendapat yang pertama, iaitu harus hukumnya.

Tersebut dalam Sahih Bukhari dan Muslim sebuah Hadis dari Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Jabir r.a. katanya; Kita pernah melakukan ‘azal dalam zaman Rasulullah s.a.w. padahal al-Quran masih turun ke atas baginda. Dengan lafaz yang lain: Kita pernah melakukan ‘azal, maka berita itu telah sampai ke pengetahuan Nabi Allah s.a.w tetapi baginda tiada melarang kami.

Barangkali faedah melakukan ‘azal’ ini kerana hendak memelihara kecantikan isteri dan kesihatannya supaya sering dapat bersenang-senang dengannya. Ataupun untuk mengekalkan perkongsian hidup dengannya supaya terjatuh dari bahaya talaq. Ataupun kerana sebab-sebab yang lain, seperti tidak suka banyak anak sehingga menyebabkan kesukaran untuk mencari nafkah, atau untuk memelihara diri dari keperluan bekerja terus-menerus untuk mencari kelebihan rezeki, dan melakukan kerja-kerja yang tidak baik atau lain-lain lagi. Sebab kurangnya kesukaran dalam kehidupan akan menolong kepada menegakkan agama.

http://bimbinganmukmin.wordpress.com