Mengenai Keutamaan Hari ‘Asyura

Tersebut didalam kitab I’anah at-Tholibin karangan Sayyid Bakri asy-Syatta, peristiwa-peristiwa yang terjadi pada hari ‘Asyura iaitu:-

Nabi Adam عليه السلام bertaubat kepada Allah dan taubat baginda diterima; Nabi Idris عليه السلام diangkat oleh Allah ke tempat yang tinggi; Nabi Nuh عليه السلام diselamatkan Allah keluar dari perahunya; Nabi Ibrahim عليه السلام diselamatkan Allah dari api Raja Namrud; Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa عليه السلام; Nabi Yusuf عليه السلام dibebaskan dari penjara; Penglihatan Nabi Yaakub عليه السلام yang kabur dipulihkan Allah kembali; Nabi Ayyub عليه السلام disembuhkan Allah dari penyakitnya; Nabi Yunus عليه السلام selamat keluar dari perut ikan Nun; Kesalahan Nabi Daud diampuni Allah; Nabi Sulaiman عليه السلام dikurniakan kerajaan yang besar; Hari pertama Allah menciptakan alam; Hari pertama Allah menurunkan rahmat ke bumi; Hari pertama Allah menurunkan hujan dari langit; Allah menjadikan ‘arasy; Allah menjadikan Loh Mahfuz; Allah menjadikan qalam; Allah menjadikan malaikat Jibril عليه السلام; Nabi Isa عليه السلام diangkat kelangit ………

Manakala didalam kitab Mukasyfatul Qulub yang dinisbahkan kepada Imam al-Ghazali disebutkan:
Dan telah datang atsar yang banyak pada keutamaan hari ‘Asyura, antaranya [adalah kerana – pada hari tersebut]: diterima taubat Nabi Adam عليه السلام; diciptakan Nabi Adam; Adam عليه السلام dimasukkan kedalam syurga; ‘arasy, kursi, langit, bumi, matahari, bulan dan bintang-bintang diciptakan; Nabi Ibrahim عليه السلام dilahirkan dan diselamatkan dari api Raja Namrud; selamatnya Nabi Musa عليه السلام dan pengikutnya dari [dikejar fir’aun]; tenggelamnya fir’aun dan tenteranya; Nabi ‘Isa عليه السلام dilahirkan dan diangkatkan kelangit; Nabi Idris عليه السلام diangkat ketempat yang tinggi; berlabuhnya bahtera Nabi Nuh عليه السلام diatas bukit Judiy; dikurniakan kepada Nabi Sulaiman عليه السلام sebuah kerajaan yang besar; dikeluarkan Nabi Yunus dari perut ikan; dikembalikan penglihatan Nabi Ya’kub [yang kabur sebelumnya]; dikeluarkan Nabi Yusuf عليه السلام dari telaga; disembuhkan penyakir Nabi Ayyub عليه السلام dan hujan yang pertama diturunkan dari langit kebumi.

Memperingati Peristiwa Karbala

Pada tanggal 10 Muharram 61H, cucu kesayangan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم, Penghulu (Ketua) Pemuda di syurga iaitu Sayyiduna Hussin bin ‘Ali رضي الله عنهما dan ahli keluarga beliau telah syahid di Karbala. Mereka telah dibunuh dengan kejam tentera yang diketuai oleh tentera pimpinan Ubidullah bin Ziyad.

Maka pada hari ‘Asyura, penganut-penganut Syiah akan meratapi peristiwa Karbala. Mereka akan mencederakan diri mereka, memukul kepala dan bahagian badan sehingga berdarah, kononnya kerana simpati diatas kekejaman yang dilakukan terhadap cucu kesayangan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم. Kononnya merekalah yang tersangat-sangat sedih dan simpati terhadap tragedi yang menimpa ahlul bait ini. Sebenarnya perbuatan mereka itu dicela syara`.

Al-Habib Salim bin Ahmad bin Jindan menyebut didalam kitabnya al-Raa’ah al-Ghaamidhah fi Naqdhi Kalam al-Raafidah [kitab ini diterjemahkan kedalam bahasa Indonesia dan diberi judul Fatwa Isu Penting. Manakala terjemahan bahasa Malaysia oleh Lujnah Penyelidikan Yayasan Sofa Negeri Sembilan diberi judul Fitnah Syi’ah]:

Sebahagian tradisi bid’ah yang keji dari kaum Rafidhah ialah mereka selalu meratap dan menangis pada 10 Muharram setiap tahun, hari terbunuhnya Sayyiduna Hussin رضي الله عنه. Ini merupakan satu dosa besar dan pelakunya berhak menerima azab yang besar. Tidak layak bagi seorang yang waras meratap laksana anjing dengan mengoyang-goyangkan tubuhnya. (halaman 30)

Seterusnya beliau menyebut lagi:
Imam Ahmad ibn Hajar al-Makki al-Syafi’ie berkata di dalam al-Sowaiq: Takutlah engkau dari menyibukan diri pada hari Asyura dengan melakukan berbagai-bagai bid’ah kaum Rafidhah dan yang sejenisnya. Baik yang berupa kesedihan atau ratapan kerana ia bukanlah budi pekerti kaum Muslimin. Jika tidak, mengapa semua itu tidak dilakukan pada hari kewafatan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم, kerana ia lebih utama. (halaman 41)

Bagi kita, Ahlus Sunnah wal Jamaah, juga mengingati peristiwa hitam tersebut namun tidaklah sepertimana syiah ataupun puak rafidhah ini. Tersebut didalam kitab Mukasyafatul qulub al-Muqarrib ila Hadhrati ‘Allamil Ghuyub yang dinisbahkan kepada Imam al-Ghazali:

Ketahuilah! Bahwa apa yang menimpa Sayyiduna Hussin رضي الله عنهما adalah merupakan bencana pada hari ‘Asyura itu, sesungguhnya adalah kesyahidan yang menunjukkan pertambahan ketinggian dan darjatnya disisi Allah dan mempertemukannya dengan ahli keluarganya yang suci. Maka barangsiapa yang menyebutkan tentang musibahnya pada hari itu, maka tidak seyogia baginya menyibukan diri kecuali dengan istirja (mengucapkan إن لله وإن إليه راجعون) kerana mengikuti perintah (1) dan memelihara apa yang ditetapkan oleh Allah dari hal itu, dengan firmannya:
أُولَـٰئِكَ عَلَيْهِمْ صَلَوَاتٌ مِّن رَّبِّهِمْ وَرَحْمَةٌ وَأُولَـٰئِكَ هُمُ ٱلْمُهْتَدُونَ
Ertinya: Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya. (Surah al-Baqarah: 157)

Takutilah dia! Takutilah dia! Dari kesibukan dengan bid’ah golongan Syiah Rafidhah dan yang semisal mereka daripada perbuatan nadbi (menyebut-nyebut dan mengungkit kebaikan mayat ketika merapatinya) dan niyahah (meratapi mayat dengan memukul-mukul badan, menampar-nampar pipi dan sebagainya – maka lebih terlaranglah kalau sampai mencederakan diri kerana meratapi mayat) dan huzn (kesedihan). Sebab itu semua bukan dari akhlaqnya orang Mu’minin. Jika tidak tentunya hari kewafatan datuknya (datuk kepada Sayyidina Hussin iaitu Rasulullah) صلى الله عليه وآله وسلم terlebih utama dengan yang demikian itu ….”

Syeikh Abdul Qadir al-Jailani قدس الله سره ketika ditanya oleh seorang yang berfahaman Syiah: Mengapa kaum ahlus-sunnah menyambut ‘asyura dengan kegembiraan dan berpuasa, padahal hari tersebut adalah hari berduka?”

Maka Syeikh Abdul Qadir al-Jailani قدس الله سره menjawab: Orang yang berduka pada hari ini melihat Saidina Husein dibunuh, padahal kami bergembira kerana melihat hari ini Saidina Husein diberi anugerah syahid yang sangat agung di sisi Allah Ta’ala

Akhirkata marilah kita bertekad untuk mengisi bulan Muharram khususnya pada hari ‘Asyura’ ini dengan mengambil iktibar peristiwa yang berlaku pada tarikh tersebut dan melaksanakan apa yang dianjurkan oleh syara‘. Berpuasa serta menyenangkan hati keluarga, kaum kerabat, anak-anak yatim dan orang-orang miskin pada hari ‘Asyura’ ini adalah amalan yang tidak boleh dilepaskan fadhilatnya begitu sahaja. Begitu juga melahirkan kecintaan dan kepedulian kita terhadap peristiwa Karbala iaitu dengan mencintai dan menzahirkan kecintaan kita kepada keturunan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم (ahlulbait) setiap waktu. Inilah yang diingini oleh Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم, iaitu mawaddah pada kaum kerabat Baginda صلى الله عليه وآله وسلم. Dan perlu kita ingati bahwa sesungguhnya kecintaan kepada ahlulbait رضي الله عنهم tidak dapat bersama dengan kebencian kepada para sahabat رضي الله عنهم. Ertinya cintakan ahlulbait رضي الله عنهم seiring dengan mencintai para sahabat رضي الله عنهم. Inilah pesanan Imam Ali رضي الله عنه:
لا يجتمع حبي و بغض ابي بكر و عمر

Tidak akan berhimpun kecintaan kepadaku dan kebencian kepada Abu Bakar dan ‘Umar.

Maka orang yang mengakui cintakan ahlulbait, cinta Sayyiduna Husain, cinta Sayyiduna ‘Ali رضي الله عنهم, sedangkan dalam masa yang sama membenci Sayyidina Abu Bakar, Sayyidina ‘Umar dan sahabat yang lain رضي الله عنهم, maka kecintaannya itu adalah palsu, pembohongan semata-mata. Justru kecintaan kepada ahlulbait Junjugan صلى الله عليه وآله وسلم dan para sahabat Baginda صلى الله عليه وآله وسلم adalah daripada keimanan, bahkan menjadi perkara pokok dan asas dalam Islam sebagaimana dinyatakan dalam satu hadits yang diriwayatkan oleh Ibnu an-Najjar dalam Tarikhnya di mana al-Imam Hasan bin ‘Ali رضي الله عنهما menyatakan bahawa Junjungan Nabi صلى الله عليه وآله وسلم. bersabda:-

لكل شيء أساس , وأساس الاٍسلام حب أصحاب رسول الله صلى الله عليه وسلم وحب أهل بيته

Setiap sesuatu ada asasnya dan asas Islam itu keciintaan kepada para shahabat Rasulullah صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم dan kecintaan kepada ahlulbaitnya.

~Sekian dari ~
al-fagir abuzahrah
khamis, 3 Muharram 1432
di rumah, taman seri gombak