Mengajak Berzikrullah Meninggalkan Perjuangan ?
Saya masih terfikir-fikir untuk meletakkan tajuk yang sesuai dengan artikel saya kali ini. Namun begitulah lebih kurangnya tajuk di atas memberi pengertian tentang masih ramai lagi para pendokong pejuang Islam (moga-moga mereka dipilih Allah sebagai mujahid Agama) yang meremehkan tentang pekerjaan Berzikrullah ini. Menganggap kecil, remeh lebih dasyat lagi memperlekeh orang atau ulama yang mengajak kepada jalan zikrullah serta menolak HUKUM BERZIKRULLAH ini. Mencipta berbagai istilah bagi mencerca golongan ahli zikrullah dengan berbagai-bagai tohmahan. Antaranya ialah golongan ahli zikrullah ini tidak berjuang, mundur ke belakang, bila semua orang sibuk berzikir nanti siapa pulak nak perjuangkan Islam?, tidak menghiraukan dunia dan sebagainya. Lebih membingungkan ada yang menuduh kumpulan -kumpulan ahli zikir ini diwujudkan oleh musuh-musuh Islam untuk melemahkan gerakan Islam dan kejatuhan Islam dahulu disebabkan oleh orang Islam sibuk dengan soal berzikir saja.
http://tibbilqulub.wordpress.com

Menganggap kecil dan meremehkan pekerjaan berzikrullah ini bermakna samalah menganggap kecil dan meremehkan Al Quran dan hadis dan kalau memperlekeh serta menolak pekerjaan berzikir ini samalah jua memperlekeh dan menolak Al Quran. Jadi apa rasionalnya kita memperjuangkan Islam pada satu sudut dan menolak seruan Al Quran pada sudut yang lain.

Allah berfirman yang maksudnya:

“Zikrullah itu adalah pekerjaan yang agong (AKBAR)” .surah Al ankabut, ayat 45.

Terang sekali Allah meletakkan pekerjaan zikir kepada Allah itu adalah pekerjaan yang Akbar. Yakni Allah mengangkat mertabat pekerjaan zikrullah ini menyamai sifatnya yang Akbar, kerana orang yang berzikir itu tak selain dari mengAKBARkan zat Allah Taala. Jadi orang yang mengajak kepada zikrullah itu sebenarnya mengajak orang kepada perjuangan yang akbar dan orang yang mengerjakan zikrullah itu pula adalah sebenarnya mengerjakan kerja yang Akbar.

Allah berfirman yang maksudnya:

“Maka ingatlah aku (dengan berzikir kepada ku) nescaya aku akan mengingati kamu”. (Al Baqarah: 152)

Firman Allah lagi:

“Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan sembahyang, maka ingatilah Allah dalam keadaan kamu berdiri, duduk dan ketika kamu berbaring”. (An Nisa’: 103)

Firman Allah lagi:

“Wahai orang-orang yang beriman ingatlah Allah dengan sebanyak-banyak ingatan.” (Al Ahzab: 41)

Firman Allah lagi

“Dan sebutlah (dengan lidah dan hati) akan nama tuhanmu (terus menerus malam dan siang), serta tumpukanlah (amal ibadatmu) kepadanya dengan sebulat-bulat tumpuan.” (Al Muzammil:

Firmannya lagi:

“Dan sebutlah dengan lidah dan hati akan nama tuhanmu pada waktu pagi dan petang.” (Al Insan: 25)

Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, Rasulullah bersabda:

“Allah berfirman: Aku berada di sisi sangkaan hamba ku dengan ku dan Aku besertanya jika ia ingat kepada ku: Maka jika ia mengingati ku di dalam dirinya nescaya aku ingat kepadanya di dalam diri ku dan jika ia ingat kepadaku dalam berkumpulan, maka Aku akan ingat dia dalam kumpulan yang lebih baik dari mereka.”

Dalam riwayat yang lain dari At Tarmizi, Rasulullah bersabda:

“Mahukah aku ceritakan kepada kamu dengan SEBAIK-BAIK PERBUATAN kamu dan YANG SESUCI-SUCINYA DISISI TUHAN KAMU dan YANG SETINGGI-TINGGINYA DARIPADA DARJAT KAMU dan lebih baik bagi mu daripada mensedekahkan emas dan perak dan lebih baik bagi kamu daripada berhadapan dengan musuh kamu lalu berbunuh-bunuhan di antara kamu dengan mereka? Mereka berkata : ‘Bahkan!’ Maka jawab Rasulullah s.a.w. “INGAT KEPADA ALLAH”

Al Bahaqi meriwayatkan dari Anas, bersabda Rasulullah s.a.w.:

“Jika kamu melalui pada kebun syurga, maka makanlah (buah-buahannya)” Apabila ditanya “Apakah itu kebun syurga?” Jawab Rasulullah s.a.w. “PERHIMPUNAN-PERHIMPUNAN AHLI-AHLI ZIKIR.”

Dari Abi Dardak r.a. pula, Rasulullah s.a.w. pernah bersabda:

“Sesungguhnya Allah akan membangkitkan beberapa kaum di Hari Kiamat nanti yang wajah-wajah mereka penuh bercahaya di atas mimbar-mimbar berkilauan sedang orang lain iri hati terhadap mereka. Bukanlah mereka itu terdiri dari golongan para nabi dan orang-orang yang mati syahid.” Maka berdiri seorang Badawi di atas kedua lututnya sambil bertanya “Ya Rasulullah perihalkan kepada kami supaya dapat kami mengenal mereka.”

Rasulullah s.a.w. pun berkata: “Mereka ialah orang-orang yang cinta mencintai antara satu sama lain kerana Allah, mereka terdiri daripada berbagai kabilah dan dari merata negeri. Mereka berkumpul beramai-ramai dengan tujuan BERZIKIR KEPADA ALLAH.”

Rasulullah mengumpamakan ornng-orang yang berzikir mengingati Allah ini melalui hadis yang diriwayatkan oleh Al Baihaqi dari Ibn Umar r.a., maksudnya, “Umpama orang yang berzikir di tengah-tengah orang yang lalai seperti sebuah pohon yang menghijau kesuburan di tengah-tengah pohon yang kering.”

Dan lagi Rasulullah s.a.w. bersabda yang diriwayatkan oleh Al Bukhari dari Abi Musa Al Asy’ari:

“Umpama orang yang mengingati tuhannya dan orang yang tidak mengingatinya laksana orang yang mati dengan orang yang hidup.’

Hadis yang diriwayatkan oleh At Tabrani dari Abi Hurairah:

“Barangsiapa yang memperbanyakkan zikrullah, ia terlepas dari kemunafikan.”

Katanya lagi “Zikrullah adalah ciri iman, kemerdekaan diri daripada kemunafikan, benteng pertahanan daripada serangan syaitan dan perisai daripada keganasan api neraka.”

Betapa pentingnya berzikir kepada Allah ini amatlah ditekankan oleh Rasulullah sehingga pernah baginda bertanya kepada para sahabatnya seperti yang diriwayatkan oleh Al Asbahani dari Ruzain Al’Aqili, maksudnya:

“Hendakkah ku tunjukkan kepada kamu sesuatu perkara yang merupakan kebajikan di dunia dan di akhirat?” Jawab mereka: “Bahkan!” Nabi s.a.w. berkata pula, “Hadirilah majlis-majlis zikir dan jika kamu bersendirian maka gerakkanlah lidah-lidah kamu dengan zikrullah.”

Hadis yang diriwayatkan oleh At Tabrani Al Baihaqi dari Abi Said Al Khudri, maksudnya:

“Perbanyakkanlah kamu berzikirkan Allah sehingga dikatakan kamu gila.”

Hadis yang diriwayatkan oleh Al Baihaqi dari Abil Jauzak, bersabda Rasulullah:

“Perbanyakkanlah kamu mengingati Allah sehingga orang-orang munafiq mengatakan kamu menunjuk-nunjuk.”

Hai!, bagaimanakah keadaannya orang yang berzikir itu sehinggakan dikatakan atau dituduh dengan perkataan gila dan menunjuk-nunjuk itu ya? Tapi orang sekarang lebih cenderung kepada menuduh kumpulan orang yang berzikir atau ratib kuat (zikir Jahar) itu dengan Ajaran Sesat, tapi kalau menyanyi terpekik terlolong memuja nafsu itu tidak pula dikatakan sesat. Kalau di rumahdan tempat kenduri kahwin dipanggil berkaraoke, kalau dalam dewan atau di stadium dipanggil konsert. Inilah yang terjadi pada hari ini yang palsu dipuja dan dibela, sebaliknya yang Hak, dicela malahan dituduh bidaah.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang diriwayatkan oleh Al Baihaqi dari Abi Said Al Khudri maksudnya:

“Berfirman tuhan yang maha tinggi di hari kiamat: Akan mengetahui orang-orang yang berkumpul pada hari ini, siapakah mereka yang mendapat kemuliaan.” Para sahabat bertanya, “Siapakah orang yang mendapat kemuliaan itu, Ya Rasulullah?” Baginda menjawab, “Mereka itu ialah kumpulan-kumpulan zikir dalam masjid-masjid.”

Telah meriwayatkan oleh Al Baihaqi dari Zaid Ibnu Aslam, katanya:

Telah berkata Ibnul Ad Ra’ ” Aku berjalan bersama Rasulullah s.a.w. pada suatu malam, maka baginda melintasi seorang laki-laki di dalam masjid, sedang meninggikan suaranya. Saya berkata: Ya Rasulullah, boleh jadi dia ini menunjuk-nunjuk? Baginda menjawab: Tidak, tetapi dia bersangatan.”

Begitulah wahai ikhwan, berzikir dengan meninggikan suara atau Zikir Jahar ini selalu dalam masyarakat kita menyebut Ratib Kuat sebenarnya sudah berlaku di zaman Rasulullah. Kalaulah Ibnul Ad Ra’ seorang sahabat nabi sudah merasa tidak senang dengan perlakuan pemuda yang berzikir dengan meninggikan suara namun dipertahankan oleh Rasulullah, mentelah lagi orang kita di akhir zaman ini. Berbagai-bagai tohmahan dan sangka buruk serta fitnah yang dilemparkan kepada golongan yang berzikir ini.

Telah berkata Abu Arakah, “Aku telah bersembahyang Subuh bersama Saidina Ali, selepas ia memaling ke kanan (memberi salam) maka dia berdiam seolah-olah bersedih, sehinggalah terbit matahari, maka ia sembahyang dua rakaat kemudian menadah tangan sambil berkata, “Demi Allah, sesungguhnya telah aku lihat sahabat-sahabat Muhammad s.a.w., tidak pernah aku lihat pada hari ini sesuatu yang menyerupai mereka. Adalah mereka itu berpagi-pagi dengan keadaan muka yang pucat, kusut masai dan berdebu-debu, mereka itu seperti dalam kesedihan. Sesungguhnya mereka telah bermalam dengan sujud dan berdiri di hadapan Allah Taala membaca kitabnya. Apabila berpagi-pagi mereka berzikrullah, hal keadaan mereka itu bergerak (bergoyang) seperti goyangnya pokok ditiup angin ribut. Demi Allah telah mengalir air mata mereka sehingga membasahi baju mereka.”

Mufti Syaikh Ahmad bin Muhammad Sa`id Linggi dalam kitabnya “Faraa-idul Maatsir al-Marwiyyah lit Thoriqah al-Ahmadiyyah” di mana pada mukasurat 56 sebagai berikut:-

Al-Hafidz Abu Nu`aim meriwayatkan bahawa as-Sayyid al-Jalil al-Fudhail bin ‘Iyyadh berkata:- “Sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w. apabila berzikir mereka menggerakkan badan condong ke kiri ke kanan seperti pohon kayu yang condong ditiup angin kuat.”

Ustaz Hassan Al Banna pengasas Ikhwanul Muslimin yang memperjuangkan Islam Di Mesir adalah seorang tokoh ulama yang sangat rapat dengan golongan ahli sufi dan kerap menghadiri majlis-majlis zikir golongan tersebut. Tidak pula Ustaz Hassan mengatakan golongan ini (ahli sufi dan ahli zikri) adalah alat musuh-musuh Islam atau menjadi barua atau Proksi King Farauq untuk menjatuhkan Islam?. Mengapakah pejuang-pejuang hari ini tidak mencontohi amalan Ustaz Hassan Al Banna dalam menghidupkan sebahagian ajaran Quran dan sunnah nabi ini.

“Oh! Saya tak nampak pun ada golongan sufi (ahli Tariqah dan ahli zikir) di zaman sekarang ini.” Saya jawab “Memang pun kalau kita hanya melihat kepada diri sendiri hanya golongan kita sahaja yang memperjuangkan Islam dan kita tak nampak di sekeliling kita rupanya ada golongan yang berupa api dalam sekam yang bergerak memberi sokongan terhadap gerakan Islam. Golongan ini seperti Uwais Al Qarni, tidak terkenal di bumi, ada mereka tidak dipedulikan dan ghaib mereka tidak dicari.

Anda berkata lagi “Apa perlu berkumpul beramai-ramai semata-mata untuk berzikir!, bukankah sembahyang berjemaah itu sudah dikira berzikir berkumpulan, mendengar ceramah pun berzikir,bukankah zikir-zikir dan doa-doa yang tertentu pada masa tertentu itu juga berzikir namanya, seperti bertamid , bertahlil, tasbih dan takbir tiap-tiap lepas sembahyang fardhu, bukankah zikir atau doa sebelum/selepas makan,doa naik kenderaan,doa masuk tandas, masuk masjid, bermusafir, bila mendapat musibah, sakit dan kematian dan sebagainya itu adalah zikir? Saya menjawab: ‘Benar!’, yang kamu sebut itu adalah dipanggil sebagai Zikir Muqoyyad. Namun mengikut Ibnu Abbas apa yang dimaksudkan oleh dalil Quran dan hadis nabi di atas adalah Zikir Mutlaq.

Zikir Mutlaq adalah di kerjakan dengan lisan zahir (secara jahar) beserta lisan hati (zikir khofi) atau didalam hati semata-mata dengan hudur hati kepada Allah Taala. Dikerjakan tanpa ada waktu khusus. Ia boleh dikerjakan sepanjang masa, samada semasa beribadat khusus seperti sembahyang, puasa, haji dan sebagainya atau di luar sembahyang. Semasa berhadas atau suci. Tidak kira di mana berada, samada di rumah, di tempat kerja, di tempat ceramah agama, di masjid, semasa mengurus rumahtangga, mentadbir urusan pejabat, mentadbir negeri, semasa seminar, semasa bermesyuarat, malahan dalam tandas sekali pun.

Ibadat lain seperti sembahyang , puasa, zakat, haji dan lain-lainnya mesti memenuhi syarat dan rukun tertentu bagi mengesahkan pekerjaan ibadat tersebut namun zikir mutlaq ini tak perlu kepada rukun dan syarat. Ianya boleh dikerjakan dalam apa-apa keadaan seperti berdiri, berjalan, duduk atau berbaring.

Apa pentingnya zikrullah itu kepada kita?

Zikrulllah itu ialah menyebut serta mengingati Allah. Menyebut nama-nama Allah adalah untuk mendatangkan ingat kepada Allah. Ingat kepada Allah itulah yang menjadi maksud kepada setiap hamba. Ingat kepada Allah itulah intipati bagi segala amal ibadat. Ingat kepada Allah itulah sebenarnya yang menghubungkan seseorang hamba itu dengan tuannya. Sebanyak mana, sedalam mana dan selama mana seseorang hamba itu mengingati Allah maka sebanyak dan selama itulah ibadat dia kepada Allah. Orang yang ingat kepada Allah itulah sebenarnya dikatakan orang yang ada ibadah. Orang yang ingat kepada Allah itulah yang dikatakan ada Hamba dan ada Tuhannya, ada yang menyembah dan ada yang disembah. Orang yang ingat kepada Allah itulah dikatakan ada NUR, ada MAKRIFAT. Dan orang yang ingat kepada Allah itulah yang mendapat dua syurga: pertama syurga di dunia yakni syurga yang tiada bidadari, tiada sungai madu dan susu yakni SYURGA MAKRIFATULLAH. Kedua syurga akhirat.

Manakala orang yang lupa kepada Allah pula dikatakan orang yang lalai hati. Orang yang lupakan Allah dikatakan orang yang ghaflah. Orang yang berada dalam kegelapan. Orang yang Jahil walaupun alim ilmu fekah. Orang yang tiada makrifatkan Allah. Orang yang terhijab dengan Allah. Lupa hati kepada Allah itulah yang memutuskan perhubungan dengan Allah. Orang yang terputus perhubungan dengan Allah ialah orang yang tiada TALI dengan Allah. Orang yang lupa kepada Allah juga dikatakan JAUH dengan Allah. Berkata Al Imam Al Ghazali “Kegelapan itu mendekatkan kepada Kufur”. Na’uzubillahi min zaaliq. Orang yang lalai, lupa dan terhijab dengan Allah itu dikatakan juga orang itu BUTA. Bukan matanya yang buta tapi HATInya yang buta sebagaimana maksud firman Allah dalam surah Al Isra’ ayat 72:-

“Barang siapa di dunia ini BUTA, maka di akhirat akan buta jua dan lebih sesat lagi jalannya.”

Seterusnya Allah menjelaskan lagi dalam firmannya:

“Kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata dan kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah MATAHATI yang ada di dalam dada.” (Surah Al Haj 46).

Jadi bagaimana orang buta ingin menjadi pemimpin ummah? Bagaimana orang buta mahu mentadbir negara? Bagaimana orang buta berebut-rebut nak jadi wakil rakyat?

Bagaimana orang yang bersembahyang yang tiada zikrullah (ingat Allah) dalam hati mereka?. Allah memberi peringatan dengan NERAKA WAIL bagi mereka yang lalai dalam sembahyang. Bagaimana orang yang menyembah Allah “Seolah-olah melihat Allah (Musyahadah) atau merasa dilihat oleh Allah (Muroqabah) tanpa MENGINGATI ALLAH?. Itu perkara mustahil!. Jadi orang yang meninggalkan berzikrulah mustahil mendapat makam EHSAN. Bagaimana orang yang menjalani ibadah-ibadah yang menjadi rukun ugama yang lupa atau lalai hatinya dari mengingati Allah? Dan bagaimana pula orang yang mendakwa memperjuangkan Islam tapi lalai hatinya kepada Allah. Apa sebenarnya yang diperjuangkan?. Jadi siapa yang sebenarnya meninggalkan PERJUANGAN??.

Wallahu A’lam