Mengapa Membunuh Cucunda Nabi Muhammad SAW?

– Bahkan mereka yang mengkaji dan memanjangkan tragedi berdarah ini, saya yakini akan beroleh manfaat di akhirat kelak. Masakan Saidina Ali dan Saidatina Fatimah tidak memandang mereka yang membela peristiwa genosid dan cleansing terhadap ahlul bait Nabi ini?

Ulasan: Apa yang lebih memberi manfaat di akhirat kelak ialah beramal seperti amalan mereka, bukan sekadar bersedih dan membesarkan tragedi berkenaan. Jika demikian, ahli maksiat pun mampu berbuat demikian, malah sesiapa sahaja yang malas beramal.

– Menurut L.F Brakel, Hikayat Muhammad Hanafiyyah yang memuatkan pembunuhan ngeri dan sadis cucunda Rasulullah saw adalah ‘sebuah teks yang popular dan terkenal’ (tentu, kenyataan Brakel ini sebelum munculnya gejala gerakan salafi yang sering merujuk secara intelektual kepada Ibnu Taimiyyah yang amat memusuhi Saidina Ali dan ahlul bait Rasulullah saw).

Ulasan: Walaupun ada suara yang bukan Syiah mengatakan, “Ibnu Taimiyyah amat memusuhi Saidina Ali dan ahlul bait Rasulullah saw”, namun suara seperti itu pada masa ini tidak wajar dicanang demi menjaga perpaduan ummah. Ia adalah suatu fakta yang tidak pasti, bolehjadi bersifat benar dan bolehjadi salah pada hakikat sebenarnya. Setelah kita tahu kedudukan istimewa Ibn Taimiyyah di dalam hati golongan Salafiyyah-Wahhabiyyah, saya berpendapat hal tersebut perlu dipendamkan. Malah saya percaya peminat-peminatnya masih mampu menangkis dakwaan tersebut. Secara umum berdasarkan tulisan-tulisannya, beliau masih menghormati Saidina ’Ali dan ahlul-bait (عليهم السلام).

– Mempertahankan penjenayah perang Karbala adalah seperti mempertahankan George Bush, atau Ariel Sharon.

Ulasan: Saya tahu ada setengah orang yang mempertahankan Yazid bin Mu’awiyah. Namun, cara mereka mempertahankannya tidaklah sama seperti orang yang mempertahankan George Bush, atau Ariel Sharon. Sekurang-kurangnya Yazid bin Mu’awiyah masih muslim, manakala George Bush dan Ariel Sharon adalah kafir laknatullah dan tidak ada muslim berakal yang mempertahankan mereka kecuali zindiq sahaja. Justeru, tidak bersetuju dengan pendapat orang yang mempertahankan Yazid bin Mu’awiyah masih dapat dilakukan dalam batas-batas ilmiah.

– Mengapa ada orang Islam berani dan datang hati membunuh cucu Nabi Muhammad saw setelah kewafatan baginda? Dan mereka masih tidak segan silu mahukan syafaat baginda Rasul di hari masyhar kelak. Lebih menjengkelkan, mengapa ada agamawan sanggup berhempas pulas menutup sejarah dan mempertahankan pembunuh-pembunuh Saidina Husein dan keluarganya di medan Karbala? Tidakkah mereka tahu malu mengucapkan selawat buat Rasulullah saw dan keluarganya ketika dalam solat?

Ulasan: Saya masih lagi tertanya-tanya, ustaz mana yang suka dengan kematian cucu Rasulullah SAW dan membela pembunuh-pembunuhnya? Siapakah di Malaysia yang sedang berhempas pulas untuk menutup sejarah dan mempertahankan pembunuh-pembunuh Saidina Husein dan keluarganya di medan Karbala?? Jika ada, mari kita nasihatkan.

—————————–

http://sawanih.blogspot.com