Abuya Maliki Akan Senantiasa Dikenang……….. Bhg. 1

حدثنا هارون بن اسحاق الهمداني، أخبرنا عبدة بن سليمان عن هشام بن عروة، عن أبيه، عن عبد اللّه بن عمرو بن العاص قال: قال رسول اللّه صلى اللّه عليه وسلم: إن اللّه لا يقبض العلم انتزاعا ينتزعه من الناس ولكن يقبض العلم بقبض العلماء، حتى إذا لم يترك عالما اتخذ الناس رؤوسا جهالا فسئلوا فأفتوا بغير علم فضلوا وأضلوا “.رواه البخاري في كتاب العلْم و مسلْم

Biarpun telah ramai yang menulis dan memaparkan biografi beliau رضي الله عنه di dada internet, namun untuk mencoretkan juga walaupun secara ringkas biografi beliau رضي الله عنه demi kerana kecintaan al-Faqir kepada beliau ,رضي الله عنه. Coretan yang al-Faqir kutip dari pelbagai sumber dan al-Faqir kongsikan sebahagian dari koleksi foto al-Faqir yang berkaitan dengan beliau رضي الله عنه .

Beliau رضي الله عنه , seorang ulama yang semerbak harum namanya diserata dunia, terutama dikalangan para pencinta ilmu dan ulama. Kewibawaan dan keilmuan beliau رضي الله عنه diakui dan dihormati oleh para ulama semasa juga oleh mereka yang menentangnya. Kitab karangannya menjadi rujukan. Beliau رضي الله عنه adalah jurucakap kepada golongan ahlus sunnah wal jamaah di dalam menghadapi fahaman-fahaman yang melampau, yang ekstrim … (yang menolak bahkan mencerca ulama silam) . Beliau رضي الله عنه adalah imam ahlus sunnah wal jama’ah abad ke-21. Beliau رضي الله عنه , ulama rabbani di abad ini. Beliau رضي الله عنه ulama yang meneruskan kegemilangan ayahnya, datuknya dan moyang-moyang beliau di dalam dunia keilmuan dan pentarbiyahan. Beliau رضي الله عنه seorang ulama yang teguh dengan pendirian, tidak goyah dengan pelbagai cabaran dan rintangan serta tohmahan yang dihadapi. Beliau رضي الله عنه menjaga adab ketika berbeda pendapat serta menjauhi sifat melampau di dalam tindakan atau perkataan dalam menghadapi golongan yang tidak sependapat dengannya.

Al-Habib Muhammad bin ‘Aydrus al-Haddad menyifatkan keteguhan beliau رضي الله عنه di dalam syairnya:

Sungguh beliau telah mampu mematahkan hujjah orang yang menentangnya. Sedikitpun beliau tidak terlukai

Bahkan beliau bersedia untuk dipenggal lehernya, namun beliau tetap tidak akan berundur dari pendiriannya

Pendirian yang telah dipegang teguh oleh para ulama yang besar-besar, yang telah memimpin umat ini dimasa silam

Tatkala melihat kehebatan penguasaan ilmu beliau رضي الله عنه pada usianya yang masih muda, seorang guru beliau, iaitu al-‘Allamah Syaikh Muhammad Nur Saif pernah berkata kepada ayahanda beliau: Wahai Sayyid ‘Alawi, jangan marah jika perkataanku mengecilkan hatimu, apabila aku katakan bahwa anakmu ini merupakan ranting yang melebihi batangnya. Mendengarkan perkataan itu ayahandanya ketawa lalu menjawab: Tidak, aku tidak berkecil hati, tetapi sebaliknya ini adalah kebanggaan bagiku.

Itulah, sosok ulama besar di abad ini, al-‘Allamah al-Muhaddits al-‘Arifbillah Professor Dr. Sayyid Muhammad al-Hasan bin Sayyid ‘Alawi bin Sayyid Abbas bin Sayyid ‘Abdul ‘Aziz bin Sayyid ‘Abbas bin ‘Abdul ‘Aziz al-Maiki al-Idrisi al-Hasani. Di kalangan murid-murid dan pencintanya, beliau lebih dekat dengan panggilan Abuya Maliki @ Buya Maliki.

Kelahiran dan keturunan: Beliau رضي الله عنه dilahirkan dirumah ayahandanya yang terletak berhampiran Masjidilharam, Babus Salam Makkah al-Mukarramah pada tahun 1365H bersamaan dengan 1946M.

Beliau رضي الله عنه bernasabkan kepada keturunan yang mulia iaitu dari keturunan Idris al-Azhar bin Idris al-Akbar bin ‘Abdullah al-Kamil bin Hasan al-Mutsanna bin Hasan, putera kepada Sayyidina ‘Ali bin Abi Thalib dan Sayyidah Fathimah al-Zahra’ binti Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم. Keturunan beliau terdiri daripada para ulama. Ayahandanya, nendanya dan seterusnya keatas. Beliau رضي الله عنه berkata di dalam menzahirkan nikmat karunia itu:

سيد عالم أبي و جد، هكذا إلى المختار

Ertinya: Dari ayahandaku, kemudian datukku dan seteusnya sampai kepada Rasul Yang Terpilih صلى الله عليه وآله وسلم, adalah penghulu dan orang ‘alim.

Beliau رضي الله عنه berkata lagi: Nendanya yang pertama – Sayyid ‘Abbas, kedua – Sayyid ‘Abdul Aziz, ketiga – Sayyid ‘Abbas, keempat – Sayyid ‘Abdul ‘Aziz, kelima – Sayyid Muhammad al-Maliki dan keenam – Sayyid ‘Abdul ‘Aziz, kesemuanya adalah orang ‘alim dan menjawat jawatan Imam dan Khatib al-Masjidilharam. Dapat dipastikan dengan bukti yang jelas, bahwa sepanjang enam keturunan tersebut sebelum beliau terdiri daripada ulama besar. Sebelum itu ada juga yang menjawat jawatan Imam dan Khatib serta menjadi mudarris di Masjidilharam, namun tidak dirakamkan di dalam daftarrasmi Masjidilharam.

Keluarga beliau رضي الله عنه lebih dikenali dengan dengan gelaran al-Maliki dari al-Hasani kerana salah seorang daripada nenda beliau dilantik menjadi Mufti Mazhab Maliki di Makkah al-Mukarramah pada zaman pemerintahan Syarif ‘Aun (gambar sebelah). Oleh kerana itulah keluarga beliau lebih dikenali dengan gelaran al-Maliki.

….sambung Bhg.2