Saya Tak Boleh Baca Quran”
Dicatat oleh Blog Hamba Yang Da’if: pada 27.5.09
Semester ini (2009/2010), pihak Akademi Islam (KUIS) mula mengadakan penapisan kemahiran membaca al-Quran ke atas para pelajar baru, sama ada pelajar aliran agama mahupun bukan agama. Mereka yang tak boleh baca atau teruk bacaannya akan dimasukkan ke dalam kelas tajwid. Ini kerana sebelum ini banyak kes dikesan, pelajar-pelajar tidak dapat membaca al-Quran atau membacanya dengan ‘merangkak-rangkak’.. walaupun pelajar aliran agama sekalipun.
Dalam ujian kemahiran tersebut tidak sedikit juga yang surrender mengaku ; “Saya tak boleh baca Quran”. Saya termenung dan terfikir, salah siapakah ini? Masalah sebegini berlaku di kalangan pelajar IPT. Bagaimana agaknya jika semua IPT membuat penapisan seperti ini? Melihat skop yang lebih jauh, tidak tahu membaca al-Quran atau ‘buta’ al-Quran ini sebenarnya masih banyak berlaku di kalangan masyarakat Islam negara kita. Jika pelajar IPT seperti demikian, bagaimana pula dengan orang awam, pekerja am, kaki tangan swasta, kerajaan dan sebagainya? Sibuk sangatkah urusan dunia kita hingga urusan akhirat tak perlu dititik berat?
Amat sedih juga bila dibayangkan, bahawa ini hanya segelintir kecil dari sekian ramai orang di luar sana yang tidak tahu membaca al-Quran. Antara faktornya, datang dari keluarga-keluarga yang amat sedikit didikan agama mereka dan yang sibuk semata-mata dengan urusan duniawi. Menjadi tanggungjawab saya menyeru, belajarlah al-Quran demi kebahagiaan ukhrawi. Dalami dan fahamilah isi kandungannya. Masa yang digunakan tidak akan rugi berbanding yang dihabiskan dengan kelalaian.
TAHNIAH KUIS. Langkah ini hendaklah dilakukan oleh semua institusi pengajian tinggi supaya boleh melahirkan generasi modal insan bertaraf tinggi. tanpa al-quran, manusia akan sesat di dunia, apatah lagi diakhirat.
Pendedahan berhubung al-quran hendaklah dilakukan di sekolah rendah lagi. pengambilan guru j-qaf adalah satu langkah yang bijak. tetapi sekarang dalam nisbah yang kecil. 1 orang guru j-qaf untuk 50 orang murid. mana cukup. Kementerian Pelajaran Malaysia mesti perbanyakkan lagi mereka ini dengan nisbah 1 orang guru j-qaf untuk 10 orang murid. nisbah ini baru sesuai untuk mengisi jiwa generasi kita yang akan datang.
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian… ketahui dan sedarilah kita bahawa apa yang berlaku sekarang sama ada dalam dan luar negara atau di mana-mana sahaja, adalah berpunca daripada kita buta dan membelakangi al-quran. Nabi telah bersabda bahawa apabila manusia membelakangi al-quran dan hadith, manusia akan menjadi makhlok yang fasik dan munafik. mereka sesat dan hidup tidak bertujuan.
Dalam respons ini, saya bukan menyebelahi mana-mana pihak atau parti politik. Politik Islam atau sekular saya nampak semua sama. Dalam satu badan politik yang dikatakan memperjuangkan Islam, hanya tunggak utamanya sahaja yang beria-ia mempertahankan Islam, itupun adalah yang banyak cacat-celanya. Islam itu adalah satu barisan. ISLAM adalah sebuah organisasi yang meliputi semua baik ekonomi, politik, sosial, budaya, tatacara pergaulan dan sebagainya. Kita sudah tidak perlu kepada mana-mana pertubuhan bagi menegakkan Islam.
sekian, terima kasih.