Semangat cintakan negara dituntut dalam Islam
DIkirim oleh epondok di September 20, 2010

Oleh Wan Marzuki Wan Ramli
Ummah mesti tanam sifat patriotik, terus berjihad bebaskan diri daripada anasir negatif

Semangat cintakan negara yang bebas daripada penjajahan dan kini ditadbir mengikut acuan sendiri sewajarnya menyedarkan rakyat mengenai kepentingan memelihara keharmonian negara yang menjadi sebahagian tuntutan agama

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Cintakan tanah air itu sebahagian dari iman.” (Hadis riwayat Bukhori dan Muslim)
Kecintaan kuat terhadap tanah air adalah obor pencetus semangat untuk terus membawa kemajuan kepada setiap warga negara bagi sama-sama memikul tanggungjawab mengekalkan kemerdekaan atau memajukan negara ke tahap kecemerlangan.

Kemerdekaan negara adalah nikmat terbesar kurniaan Allah dan dalam mensyukuri rahmat itu, jasa mereka yang berjuang membebaskan negara daripada penjajah dan kini berjuang mempertahankan perlu dihargai.

Kemajuan negara terletak di tangan kepemimpinan dan rakyat negara, justeru, setiap dicita perlu dilakukan sendiri semua pihak.
Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak akan merubah nasib sesuatu kaum sehingga kaum itu sendiri yang berusaha untuk merubah keadaan hidup mereka.” (Surah ar-Ra’du, ayat 11)

Berjihad dan berkorban jiwa raga untuk memerdekakan negara daripada belenggu penjajahan seperti dilakukan bekas pejuang hendaklah menjadi iktibar kepada semua lapisan daripada anak kecil, murid sekolah, pelajar, belia, dewasa serta warga emas.

Allah berfirman yang bermaksud: “Wahai orang beriman, jika kamu membela Allah, nescaya Allah akan membela kamu (untuk mencapai kemenangan).” (Surah Muhammad, ayat 7)

Kedatangan Islam itu sendiri sebenarnya membawa mesej jelas dan bersifat kemerdekaan. Islam menyeru umatnya membebaskan diri daripada dibelenggu kejahilan, membebaskan diri dari sistem perhambaan dan cengkaman musuh dalam apa juga bentuk.

Islam yang syumul meletakkan kesejahteraan, keharmonian, kedamaian dan keamanan pada martabat paling puncak. Hakikat ini dapat dilihat pada perkembangan awal Islam di mana Rasulullah SAW berusaha membawa kemakmuran di Madinah dan memerdekakan Kota Makkah daripada cengkaman kafir Quraisy.

Islam juga bersifat merdeka dalam maksud berjihad membebaskan diri terjerumus keruntuhan akhlak dan tingkah laku yang boleh membawa kemurkaan Allah.

Lantaran itu, Islam menitikberatkan usaha membebaskan diri dengan menyelamatkan tamadun manusia dari terus diselaputi sifat syirik kepada Allah, kekufuran, kemungkaran dan kemaksiatan melalui sistem penindasan berlaku sesama makhluk Allah.

Seorang penyair Arab, Ahmad Syauqi pernah berkata: “Kekalnya bangsa kerana mulianya akhlak, runtuhnya bangsa kerana runtuhnya akhlak.”

Justeru menjadi tugas dan tanggungjawab setiap warga yang cintakan negara menghalang unsur negatif yang sedang menyelinap masuk ke dalam pemikiran masyarakat.

Firman Allah bermaksud: “Dan janganlah kamu menjadi seperti mereka (orang Yahudi dan Nasrani) yang bercerai berai dan berselisih faham) sesudah datangnya keterangan yang jelas dan nyata (yang diberikan Allah).” (Surah al-Imran, ayat 105)

Sehubungan itu, umat Islam harus mengisi ruang kemerdekaan untuk terus berjihad membebaskan diri daripada sifat yang boleh meruntuhkan wibawa manusiawi kerana ia dimurkai Allah.

Nikmat kemerdekaan perlu diisi dengan meneruskan perjuangan demi kestabilan negara supaya dapat diwarisi generasi akan datang, sanggup berkorban dan menghadapi cabaran globalisasi untuk menjadi bangsa yang mampu bersaing.

Dengan roh dan semangat merdeka, marilah berganding bahu bertekad mempertahankan negara daripada sebarang anasir serta ancaman boleh menggugat kestabilan tanah air tercinta ini.

Jejaki sunnah perjuangan Rasulullah SAW yang melipatgandakan usaha membebaskan umat Islam Madinah dan Makkah dari cengkaman kukufuran dan menjadi hamba serakah nafsu sendiri. Oleh itu, wajarlah kita berusaha membebaskan diri daripada gejala tidak sihat dan permasalahan yang boleh mencetus prasangka tidak baik.