Bidaah Agama dan Bidaah Dunia


“Kenduri arwah dan bacaan yasin merupakan amalan hasanah (baik) yang tidak mampu disangkal bagi mereka yang berakal”

 

[Gambar sekadar hiasan diambil daripada blog pulutkuning]

  1. Golongan wahabi yang menolak pembahagian bidaah hasanah dan bidaah sayyiah tetapi dalam masa yang sama membahagikan bidaah kepada dua. Bidaah agama dan bidaah dunia.
  2. Bidaah agama dan bidaah dunia ini tidak terdapat di dalam mana-mana hadis. Mereka menafikan pembahagian yang diklasifikasikan oleh para ulama’ muktabar dengan alasan tiada di dalam hadis namun mereka sendiri membuat pembahagian.
  3. Apakah bidaah dunia tidak terdapat hasanah (baik) dan sayyiah (buruk)?? Pembahagian ini sangat bahaya seolah-olah mereka mengatakan bidaah dunia semuanya baik kerana tidak berkaitan dengan agama sedangkan kita tahu perkara-perkara duniawi juga tidak terlepas daripada pembahagian kepada baik dan buruk.
  4. Mereka mengatakan bidaah hasanah yang dikatakan oleh Imam as-Syafie ialah bidaah pada bahasa. Sedangkan pada bahasa sudah terang lagi bersuluh bagi mereka yang mempelajari bahasa arab bahawa bidaah pada bahasa hanya merujuk kepada perkara yang sesat sahaja. Sebab itu Nabi SAW menyatakan kullu bid’atin dholalah kerana daripada sudut bahasa semua bidaah itu sesat adapun perkara baru yang bersifat agama mahupun dunia dan tidak bercanggah dengan umum syariat maka tidaklah dianggap bidaah yang menyesatkan.
  5. Disebut bidaah hasanah itu ialah untuk membezakan dengan bidaah sayyiah namun hakikatnya bidaah hasanah itu ialah sunnah hasanah. Seperti Nabi SAW membahagikan sunnah juga kepada hasanah dan juga sayyiah. Apakah ada sunnah yang buruk? Sudah tentu tidak tetapi penggunaan perkataan yang sama mengikut balaghah bahasa arab adalah untuk mencantikkan penggunaan dan perbezaan di antara keduanya.
  6. Bidaah bukanlah suatu hukum di dalam menetapkan sesuatu perkara boleh atau tidak dilakukan. Kerana hukum yang ditetapkan oleh ijmak ulama’ hanya 5 yang dinamakan sebagai hukum taklifi iaitu wajib, sunat, haram, makruh dan harus. Tidak ada yang dinamakan sebagai hukum bidaah.
  7. Maka setiap perkara yang bidaah (baru) perlu dihukumkan dengan 5 hukum taklifi waimma ia wajib, sunat, haram, makruh dan harus. Bukan diborong secara memkhinzir buta. Seolah-olah semua bidaah adalah haram. Jika kaedah ini “semua bidaah adalah haram” yang digunakan maka pincanglah hukum dan rosaklah agama. Kerana setiap zaman akan wujud perkara-perkara yang baru yang belum di ada di zaman Nabi SAW. Maka perkara yang baru itu waimma ia bersifat agama mahupun dunia tidak akan terkeluar daripada 5 hukum yang telah dijelaskan di atas.
  8. Apabila konsep bidaah ditimbang dengan 5 hukum ini maka akan cantiklah agama dan jelaslah hukum dalam menentukan setiap perkara yang baru samada bersifat ibadah mahupun dunia. Apakah wahabi mengira perkara baru yang bersifat dunia terlepas daripada 5 hukum ini? Sudah tentu tidak samasekali. Maka tidaklah relevan membahagikan bidaah kepada bidaah agama dan bidaah dunia kerana pembahagian ini sebenarnya memakan diri mereka.
  9. Wahabi beranggapan melakukan perkara yang tidak dilakukan oleh Nabi sahaja yang dianggap bidaah. Bagaimana dengan menegah atau melarang perkara yang Nabi SAW tidak melarangnya? Tidakkah ini dikira sebagai mengubah hukum yang asal HARUS kepada HARAM? Contoh Nabi SAW tidak pernah melarang daripada melakukan maulid. Tidak ada dalil yang menyatakan tegahan Nabi SAW secara jelas bahkan ada hadis riwayat Muslim yang jelas Nabi SAW menyambut kelahirannya dengan berpuasa. Kemudian, wahabi menegah dan menyatakan ia sebagai bidaah yang menyesatkan sedangkan tidak pernah ditegah oleh Baginda SAW. Maka sebenarnya wahabilah yang melakukan perkara bidaah dan berdusta di atas nama Nabi SAW.
  10. Perlu difahami, untuk menghukumkan sesuatu itu haram perlulah ada nas daripada al-Quran dan al-Hadis yang menegahnya. Ini berdasarkan kaedah usul fiqh. Tegahan itu terbahagi kepada dua seperti yang terdapat di dalam ta’rif hukum samada tegahan secara putus maka hukumnya haram dan tegahan yang tidak putus maka hukumnya makruh. Adapun wahabi mengambil hukum secara borong dengan menyatakan HARAM atau BIDAAH tanpa melihat kepada dilalah samada tegahan itu membawa hukum haram ataupun makruh.

 

Mohd Al-Amin Bin Daud al-Azhari

B.A (Hons) Akidah Dan Falsafah

Kuliah Usuluddin dan Dakwah

Universiti Al-Azhar As-Syarif

http://al-amindaud.blogspot.com/