Indiraj Niat Puasa

Ikhwah, yang dimaksudkan dengan indiraj niat puasa ini ialah seseorang berpuasa bermasukan niat sama ada niat puasa wajib seperti qadha Ramadhan dengan puasa sunnat atau satu puasa sunnat dengan puasa sunnat yang lain seperti puasa hari ‘Arafah yang kebetulan jatuh pada hari Khamis atau Isnin. Untuk memudahkan, aku beri misal seseorang berpuasa dalam bulan Syawwal dengan niat qadha Ramadhan dan sunnat Syawwal atau seseorang yang berpuasa pada hari ‘Arafah dengan niat puasa nadzar dan puasa sunnat ‘Arafah. Contohnya lagi ialah seperti yang ditunjukkan dengan lafaz niat sebagaimana ditulis ulama kita antaranya dalam kitab “Kifaayatul Mubtadi” susunan Haji Ismail bin almarhum Mahmud pada halaman 77:
Ini lafaz niat puasa qadha daripada bulan Ramadhan serta sunnat Syawwal

نويت صوم غد عن قضاء رمضان مع ستة شوال
(Nawaitu shawma ghodin ‘an qadho-i Ramadhana ma`a sittati Syawwal)
Sahaja aku puasa esok hari daripada qadha Ramadhan serta 6 Syawwal

Maka bagaimana kedudukan hukumnya pada pandangan ulama mazhab kita yang mulia. Untuk jawapan ringkasnya, sebelum membahaskan pandangan mereka lebih dalam lagi, sudah tentu ada ulama yang membolehkannya terutama sekali kebanyakan ulama mutakhir mazhab, dengan nota bahawa masalah atau perkara ini tidaklah terlepas dari berlaku khilaf antara ulama. Untuk muqaddimahnya, aku nyatakan bahawa bermasukan niat atau istilah yang biasa dipakai dalam kitab-kitab fiqh ialah “indiraj” pada niat sesuatu amalan, bukanlah suatu perkara yang asing atau pelik, kerana memang ada amalan-amalan yang boleh dilakukan sekali arung dengan bermasukan niat, antara yang lazim diketahui ialah dalam perlaksanaan amalan haji di mana terdapatnya perlaksanaan haji secara qiran dengan diniatkan menunaikan umrah dan haji bersekali. Begitu juga dengan urusan sembahyang sunnat dan puasa, maka ada antaranya yang boleh bermasukan niat dan ada pula yang tidak dibenarkan. Posting kali ini, aku hanya akan menyentuh indiraj yang berlaku dalam masalah puasa. Tentang sembahyang sunnat, maka insya-Allah, pada kesempatan lain akan aku usahakan.

Pertamanya biar aku nukil pendapat Imam Syamsuddin ar-Ramli, ulama besar yang menjadi salah satu rujukan dan sandaran kita dalam fiqh mazhab Syafi`i. Imam yang diberi penghormatan dengan digelar sebagai Imam Syafi`i ash-Shoghir. Sungguh kitabnya “Nihayatul Muhtaj” bergandingan dengan “Tohfatul Muhtaj” sentiasa ditelaah dan dijadikan rujukan oleh para ulama kita untuk mengetahui akan aqwal yang dipakai dalam mazhab Syafi`i. Diceritakan bahawa setelah selesai dikarang akan kitab “Nihayah” ini, ianya dibaca di hadapan 400 orang ulama kenamaan Mesir dan mereka membahaskannya dan menyetujuinya. Inilah menyebabkan majoriti ulama Syafi`iyyah di Mesir berpendapat bahawa pendapat yang dipandang mu’tamad apabila berlaku khilaf antara Imam Ibnu Hajar dengan Imam ar-Ramli adalah pendapat Imam ar-Ramli terutama sekali yang terkandung dalam “Nihayatul Muhtaj”. Bagi kebanyakan ulama Hejaz dan Yaman serta juga Nusantara, maka mereka lebih mengutamakan pendapat Imam Ibnu Hajar atas sebab-sebab yang tertentu. Aku nak nukilkan perkataan Imamuna Syamsuddin ar-Ramli dalam “Nihayatul Muhtaj” juzuk 3 halaman 208 – 209 di mana dinyatakan:-

ولو صام في شوال قضاء او نذرا او غيرهما او في نحو يوم عاشوراء حصل له ثواب تطوعها كما افتى به الوالد رحمه الله تعالى تبعا للبارزي و الأصفوني و الناشري و الفقيه علي بن صالح الحضرامي و غيرهم، و لكن لا يحصل له الثواب الكامل

Dan kalau seseorang berpuasa qadha atau nadzar atau selain keduanya pada bulan Syawwal atau pada hari seumpama hari ‘Asyura`, hasil baginya pahala puasa sunnat hari tersebut sebagaimana difatwakan dia oleh al-Waalid rhm. (yakni ayahanda Imam ar-Ramli iaitu Imam Syihabuddin ar-Ramli rhm.) mengikut akan fatwa bagi Imam al-Baarazi, al-Ashfuuni, an-Naasyiri, al-Faqih ‘Ali bin Sholeh al-Hadhrami dan selain mereka, akan tetapi tidaklah hasil baginya pahala (puasa sunnat) yang sempurna.

Apa yang dinyatakan oleh Imam kita Syamsuddin ar-Ramli itu telah dinukilkan oleh para ulama Jawi terdahulu. Antaranya dalam kitab fiqh yang aku rasa paling masyhur kat tempat aku, biasanya dikaji dan ditelaah oleh mereka-mereka yang agak tinggi pengajian dalam bidang fiqh rubu’ ibadah. Bahkan ianya teks fiqh Allahyarham Mufti Datuk Abdul Kadir Hasan yang diwiridkannya untuk mengajar. Malangnya kini, amat jarang aku jumpa ustaz-ustaz kat tempat aku yang mengajarnya, mungkin ianya agak tebal dan lambat nak ditamatkan, belajar dan mengajar itu perlu kesungguhan, ketabahan dan istiqamah. Kalau yang mengajar tak sungguh-sungguh, maka himmah pelajarnya yang hendak belajar berkurangan; dan jika pelajar tidak bersungguh-sungguh, maka himmah pengajarnya pula yang akan menurun. Berbalik kepada kitab tersebut yang jodolnya “Sabilal Muhtadin” (aku sebut dengan sebutan yang biasa digunakan, jangan plak kome rasa janggal yang ianya dibaca dengan baris fathah, nak tahu pi tanya dengan ahli nahu). Pada halaman 160 – 161, al-‘Alim al-‘Allaamah Mawlana Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari rhm. menyatakan:-

(Soal) Jika seorang puasa qadha atau nazar atau lainnya di dalam bulan Syawwal, adakah hasil baginya puasa sunnat Syawwal atau tiada ? (Jawab) Kata Syaikh Ramli di dalam Nihayah, hasil baginya pahala sunnat Syawwal jika tiada diqasadnya mengerjakan puasa sunnat Syawwal itu kemudiannya. Dan jika diqasadnya mengerjakan dia kemudian daripada umpama qadha itu, maka tiadalah hasil baginya pahala sunnat Syawwal kerana diqasadnya akan yang demikian itu jadi shoorif (pemalingan) daripada menghasilkan dia daripada puasa Syawwal, maka pada ketika itu hendaklah dikerjakannya puasa Syawwal itu kemudian daripada qadha umpamanya, jika ada lagi tinggal bulan Syawwal dan jika tiada maka sunnat mengqadha dia pada bulan Dzil Qa`edah.

Syaikh Nik Mat ash-Shoghir, Muhammad bin Ismail Daud al-Fathoni dalam “al-Bahrul Wafi wan Nahrush Shofi” halaman 376 juga menukilkan seperti berikut:-

(Tanbih) Jika puasa ia di dalam bulan Syawwal itu akan puasa qadha` atau puasa nadzar atau lainnya, nescaya hasil baginya pahala sunnatnya atau puasa ia di dalam umpama hari ‘Asyura` akan puasa qadha atau puasa nadzar atau lainnya nescaya hasil baginya pahala sunnatnya, seperti yang difatwa oleh Syaikh Ramli Kabir (yakni ayahanda Imam ar-Ramli) mengikut ia akan Syaikh Baarazi dan Syaikh Ashfuuni dan Syaikh Naasyiri dan al-Faqih ‘Ali bin Sholih al-Hadhrami dan lainnya. Tetapi tidak hasil baginya pahala yang sempurna yang diperaturkan atas yang mathlub (yang dituntut dalam hadits Junjungan s.a.w.)…..

Penjelasan seterusnya aku ambil dari kitab “Fathul Mu`in” karangan al-‘Alim al-‘Allaamah Syaikh Zainuddin bin ‘Abdul ‘Aziz al-Malibari, yang merupakan anak murid Imam Ibnu Hajar al-Haitami r.a. yang menyatakan:-

(Furu`) Berfatwa sekumpulan ulama mutakhir dengan hasilnya pahala (puasa) hari ‘Arafah dan hari-hari berikutnya (yakni hari-hari lain yang disunnatkan berpuasa seperti hari ‘Asyura`, hari Taasuu`aa`, puasa 6 hari bulan Syawwal dan sebagainya) dengan melaksanakan puasa fardhu (yakni puasa wajib seperti qadha Ramadhan, puasa nadzar atau puasa kaffarah) pada hari tersebut (yakni hari ‘Arafah dan lain-lain hari yang disunnatkan berpuasa seperti di atas). Fatwa ini bersalahan dengan apa yang di dalam kitab “Majmu`” (yakni pendapat ini tidak sejalan dengan pandangan Imam an-Nawawi dalam kitabnya itu), yang diikuti oleh Imam al-Asnawi. Di mana Imam an-Nawawi menyatakan: “Jika diniatkan akan kedua-duanya (yakni niat puasa qadha dan puasa sunnat), tidaklah terhasil baginya sesuatu apa pun daripada keduanya (yakni kedua-dua puasa yang diniatkannya itu tidak sah dan tidak memperolehi ganjaran). Guru kami (yakni Imam Ibnu Hajar) – seperti juga gurunya – menyatakan bahawa pendapat yang terpandang di sisinya (yakni yang zahir baginya) bahawa yang dimaksudkan ialah berlakunya puasa pada hari tersebut, maka ianya seperti sembahyang tahiyyatul masjid (di mana terhasil tahiyyatul masjid dengan melakukan apa jua sholat). Maka jika diniatkan dengan niat puasa sunnat, terhasilnya kedua-duanya (yakni kedua-dua yang diniatkan itu), jika tidak ( yakni tidak diniatkan puasa sunnat tersebut) maka tidaklah terhasil pahala puasa sunnat itu hanya gugur tuntutan puasa sunnat tersebut daripada dirinya.

Nukilan seterusnya dari kitab “I`anathuth Tholibin” hasyiah bagi “Fathul Mu`in”. Kitab ini adalah kitab fiqh kegemaranku karangan panutanku yang mulia Sidi Abu Bakar Syatha al-Bakri ad-Dimyathi, murid Syaikhul Islam, Mufti Baladil Haram, Sidi Ahmad Zaini Dahlan. Sidi Syatha ad-Dimyathi ulama terbilang kelahiran baitun nubuwwah. Teringat aku cerita guruku, bahawa pernah Sidi Syatha meragui keabsahan silsilah dirinya yang bersambung kepada Junjungan Nabi s.a.w. sehinggalah beliau bermimpi berjumpa dengan nendanya Junjungan Nabi s.a.w. dan Junjungan s.a.w. memanggilnya ” Wahai anakku” (kalimah yang digunakan aku terlupa sama ada “Ya Bunayya” atau “Ya Waladiy” atau “Ya-bni”, tapi semuanya membawa erti “Wahai anakku”- maaflah atas kealpaan aku ni, maklumlah Melayu Mudah Lupa (terima kasih Dr.M, kan sekarang dia sendiri sudah lupa yang Pak Lah Badawi dia yang lantik jadi Pak Mertua …. oppss silap Perdana Menteri, yang lantik Pak Lah jadi pak mertua tu Khairy). Aduh, alangkah indahnya kalau sahaja Junjungan mahu mengaku aku umatnya (اللهم اجعلنا من امة سيد المرسلين). Siapa yang nak percaya cerita ni, bisa sahaja, sesiapa yang rasa tak nak percaya, itu hak kome. Aku tak pernah memaksa kome untuk mempercayainya atau menolaknya. Oleh itu, tok sahlah nak cari geruh ngan aku especially bagi orang yang mengaku dirinya sufi (sufi cyber kot….hehehe…jangan marah noooo). Baiklah tanpa banyak songel lagi aku nukilkan perkataan Sidi Syatha pada jilid 2 halaman 306 kitab tersebut:

(Furu`) iaitu pada menerangkan bahawasanya puasa pada hari-hari tertentu tersebut (yakni hari-hari yang dimuakkadkan berpuasa padanya seperti hari ‘Arafah dan sebagainya) boleh dimasukkan (yakni diikutsertakan niatnya) pada puasa selainnya (yakni puasa ‘Arafah dan puasa sunnat lain yang tertentu harinya itu boleh diikutserta niatnya dalam puasa wajib seperti qadha Ramadhan atau nadzar dan sebagainya)…… Keputusan fatwa yang tersebut (yakni fatwa sekumpulan ulama mutakhir itu) menyatakan bahawasanya apabila ada atas seseorang puasa qadha yang fardhu atau puasa nadzar yang dilakukannya( yakni dipuasakannya ) pada hari-hari tertentu tersebut itu(yakni hari yang dituntut berpuasa padanya), hasillah baginya puasa fardhu yang menjadi tanggungannya itu dan terhasil juga baginya pahala puasa hari-hari yang disunnatkan berpuasa itu. Dan zahir fatwa tersebut secara mutlak tidak membezakan bahawa untuk terhasilnya pahala itu dengan sama ada diniatkan puasa sunnat itu beserta dengan puasa fardhu (yakni diikutsertakan niat puasa sunnat kepada puasa fardhu) atau tidak (yakni hanya diniatkan puasa fardhu sahaja tanpa meniatkan puasa sunnat). Dan (makna zahir ini) bersalahan dengan qawl Imam Ibnu Hajar yang menyatakan bahawasanya tidak terhasil baginya sesuatu pahala melainkan jika diniatkannya, dan jika tidak diniatkan puasa sunnat tersebut, maka tidaklah terhasil baginya pahala sunnat itu hanya gugurlah tuntutan melakukan puasa sunnat itu sahaja (yakni tidaklah dihukumkan makruh jika dia tidak melakukan puasa sunnat yang dipandang muakkad jika pada harinya itu dia berpuasa fardhu seperti qadha atau nazar atau sebagainya)………(Maka berkata) iaitu Imam an-Nawawi dalam kitab “Majmu'”….(sekiranya diniatkan keduanya) iaitu puasa sunnat dan puasa fardhu ……(tidaklah terhasil baginya sesuatu apa pun daripada keduanya)……………… Dan berkata Imam al-Asnawi: Qiyasnya ialah bahawasanya jika dia tidak berniat untuk melakukan puasa sunnat tadi terhasillah baginya puasa fardhunya, dan jika sekiranya diniatkan kedua-duanya (yakni fadhu dan sunnat) tidaklah terhasil baginya sesuatu daripada keduanya…..

Seterusnya juga satu lagi hasyiah bagi “Fathul Mu`in” yang berjodol “Tarsyihul Mustafidin” karangan al-‘Allaamah al-Faadhil al-Ustaadz al-Kaamil asy-Sayyid ‘Alawi bin asy-Sayyid Ahmad as-Saqqaf yang menyatakan pada halaman 171 seperti berikut:-

Pendapat sekumpulan ulama mutakhir ini adalah dianggap sebagai mu’tamad oleh Imam al-Khathib asy-Syarbini, Imam Muhammad ar-Ramli dan ayahandanya. Maka puasa sunnat itu seperti sembahyang tahiyyatul masjid (yakni terhasil pahala tahiyyatul masjid (penghormatan kepada masjid) dengan apa jua jenis sembahyang), di sini berlaku khilaf antara mereka dengan Imam Ibnu Hajar di mana di sisi mereka terhasil pahala secara mutlak (yakni sama ada diniat atau tidak akan terhasil pahalanya) sedangkan di sisi Imam Ibnu Hajar tidak terhasil pahalanya jika tidak diniatkan. 

Dalam “Bughyatul Mustarsyidin” karangan Mufti Hadhramaut, Sayyid ‘Abdur Rahman Ba ‘Alawi pada halaman 113 dinyatakan:-

Zahir hadits “dan diikut akan dia dengan 6 hari daripada Syawwal” dan hadits-hadits selainnya, tidak terhasil pahala puasa 6 tersebut jika diniatkan bersama puasa qadha Ramadhan, akan tetapi Imam Ibnu Hajar menerangkan dengan terhasilnya asal pahala puasa tersebut tetapi tidaklah kesempurnaannya (yakni pokok pahalanya terhasil tetapi pahalanya tidaklah sempurna) jika diniatkannya (yakni diniatkan bersama dengan puasa qadha itu akan niat puasa 6 tersebut), begitulah juga hukumnya dengan puasa-puasa lain seperti puasa hari ‘Arafah dan ‘Asyura`. Bahkan yang dirajihkan oleh Imam ar-Ramli, terhasil asal pahala sekalian puasa sunnat tersebut beserta dengan puasa fardhu, walaupun tidak diniatkan, selagi dia tidak memalingkan niatnya dengan satu pemalingan seperti diniatkannya qadha puasa Ramadhan dalam bulan Syawwal dan ada qashadnya untuk melakukan qadha puasa 6 tersebut dalam bulan Dzul Qaedah dan (tetap) disunnatkan berpuasa 6 walaupun dia berbuka (tidak berpuasa) dalam bulan Ramadhan (yakni tidak menyempurnakan puasanya dalam bulan Ramadhan). Dan yang dipegang oleh Imam Abu Makhramah, yang mengikut pendapat Imam as-Samhudi, bahawa tidak terhasil (yakni tidak sah) salah satu daripada keduanya jika diniatkan bersama seperti tidak sahnya niat sembahyang Zohor dengan sunnatnya, bahkan yang dirajihkan oleh Imam Abu Makhramah ialah tidak sah puasa 6 bagi sesiapa yang ada atasnya qadha puasa Ramadhan secara mutlak (yakni tanpa mengira sama ada puasa Ramadhan itu ditinggalkan dengan sengaja atau dengan uzur syar`ie).

 

Dan akhir sekali – maap le dah tak larat dah nak bukak tutup kitab, kalau nak lebih hang pa pi cari sendiri – nukilan dari “Fathul ‘Allam bi syarhi Mursyidil Anaam” karangan al-‘Allaamah asy-Sayyid Muhammad ‘Abdullah al-Jurdani, juzuk 4, halaman 164:

Tanbih: Apabila wujud (ada) bagi puasa itu 2 sebab: seperti jatuhnya hari ‘Arafah atau ‘Asyura` pada hari Isnin atau Khamis; atau jatuhnya hari Isnin dan hari Khamis pada bulan Syawwal, maka bertambahkan tuntutan sunnat berpuasa kerana meraiekan kewujudan 2 sebab untuk berpuasa tersebut, maka apabila diniatkan keduanya terhasillah kedua-keduanya (yakni sah dan mendapat ganjaran bagi kedua-duanya) seperti bersedekah kepada kaum kerabat yang mana akan menghasilkan pahala sedekah dan pahala menghubung silatur rahim. Dan sedemikianlah juga jika hanya diniatkan salah satu daripada keduanya pada pendapat yang zahir (yakni menurut apa yang zahirnya daripada pendapat ini, seseorang itu akan mendapat kedua-dua pahala puasa tersebut walaupun dia hanya berniat melakukan salah-satu daripadanya sahaja).

Faedah: Dan berfatwa sekumpulan ulama mutakhir dengan bahawasanya apabila berlaku atas seseorang yang dia berpuasa fardhu dan jatuh puasanya itu pada hari yang disunnatkan berpuasa seperti hari ‘Arafah, hasillah baginya puasa fardhunya itu dan hasil juga baginya pahala puasa (sunnat) pada hari tersebut, sama ada diniatnya (puasa sunnat hari tersebut) bersama dengan puasa fardhu atau tidak. Pendapat inilah yang dipegang oleh Imam al-Khathib, Imam ar-Ramli dan ayahandanya.

Dan berkata Imam Ibnu Hajar: Tidak terhasil baginya pahalanya (pahala puasa sunnat) melainkan jika diniatkannya, maka jika tidak diniatkannya gugur daripadanya tuntutan sahaja.

Dan berkata Imam al-Asnawi: Jika tidak diniatkannya puasa sunnat, hasil baginya puasa fardhu (yakni jika dia hanya meniatkan puasa fardhu tersebut itu sahaja); Jika dia meniatkan kedua-duanya (niat fardhu dan sunnat sekali), tidaklah terhasil baginya sesuatu (yakni tidaklah sah kedua-dua puasa tersebut) sebagaimana disebut oleh asy-Sayyid Abu Bakar beserta dengan tambahan.

Begitulah keterangan yang sempat aku kutip dari beberapa karangan ulama kita yang mu’tabar. Untuk memudahkan pemahaman kita, aku simpulkan pendapat para ulama kita ini seperti berikut:-

  • Tidak boleh dan tidak sah sesuatu puasa, sama ada wajib atau sunnat, jika bermasukkan niat kedua-duanya. Maka jika seseorang yang mengqadha puasa Ramadhannya dalam bulan Syawwal dengan dua niat iaitu niat qadha dan niat puasa 6, maka puasanya itu TIDAK SAH, baik yang qadha maupun yang sunnat. Antara ulama yang berpegang dengan pendapat ini ialah Imam an-Nawawi dan Imam al-Asnawi.

 

  • Sah dan boleh, serta terhasil pahala puasa sunnat tersebut walaupun tidak sepenuhnya (yakni tidak sempurna pahalanya), sama ada dimasukkan niat-niat puasa tersebut atau tidak (yakni hanya diniatkan puasa qadha sahaja dan kebetulan dipuasakannya pada hari yang disunnatkan berpuasa seperti bulan Syawwal atau pada hari ‘Arafah), dengan syarat dia tidak mempunyai niat untuk menunaikan puasa Syawwalnya itu pada hari-hari yang lain. Ini adalah pendapat antaranya Imam al-Baarazi, al-Ashfuuni, an-Naasyiri, al-Faqih ‘Ali bin Sholeh al-Hadhrami, Imam Syihabuddin ar-Ramli dan anaknya Imam Syamsuddin ar-Ramli dan nampaknya pendapat ini didukung oleh sekumpulan ulama mutakhir seperti Imam al-Khathib asy-Syarbini, bahkan ianya disebut oleh para ulama Jawi kita seperti Syaikh Arsyad dan Syaikh Muhammad bin Ismail al-Fathani.

 

  • Sah dan boleh, tetapi hasil asal pahalanya dan bukannya kesempurnaan pahalanya tertakluk kepada wujudnya niat. Hanya jika diikutsertakan niat kedua-duanya, yakni diniatkan dua niat tersebut barulah terhasil asal pahalanya. Ini adalah pendapat Imam Ibnu Hajar al-Haitami dan nampaknya pendapat ini juga banyak diikuti oleh orang kita di rantau sini.

 

  • Jika diniatkan dua niat, maka hanya sah salah-satu daripadanya. Jika fardhu diniatkan beserta dengan sunnat, maka hanya yang fardhu sahaja sah, manakala niat yang sunnat dianggap tidak berlaku. Ini adalah pendapat Imam as-Samhudi dan Imam Abu Makhramah.

 

Aku harap penjelasan aku yang dhoif ini dapat difahami oleh kalian dengan sebaiknya. Jika tak faham lagi silalah bertanya, lebih-lebih lagi kepada fuqaha kita yang ada kat luar sana, baik yang masyhur maupun yang mastur. Untuk amalan pribadiku, aku cenderung kepada pendapat Imam an-Nawawi kerana ianya lebih ihtiyath serta keluar daripada khilaf, tapi tidaklah boleh kita menghalang orang yang hendak berpegang dengan pendapat yang dii`timadkan oleh para ulama mutakhir yang lain seperti Imam ar-Ramli dan Imam Ibnu Hajar. Marilah kita sama-sama berpuasa 6 bulan Syawwal ini dengan niat yang tulus ikhlas menjunjung perintah Allah s.w.t. dengan menuruti sunnah Baginda Nabi s.a.w.

الله أعلم