‘Pilihan Raya Umum Ke-13 biar kejutan’
Oleh Ismail Mat, Norliza Wasilan dan Fazurawati Che Lah
bhnews@bharian.com.my
2010/06/17

NAJIB  diiringi Mustapa   hadir  pada majlis bersama masyarakat   Siam     di Wat Matchimaram   Tumpat,   semalam.

NAJIB diiringi Mustapa hadir pada majlis bersama masyarakat Siam di Wat Matchimaram Tumpat, semalam.

Najib ambil kira pelbagai faktor sebelum tetap tarikh

TUMPAT: Datuk Seri Najib Razak menegaskan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-13 tidak akan dibuat semata-mata hanya kerana satu kajian menunjukkan peningkatan sokongan terhadap prestasi kerajaan kepemimpinannya.

Perdana Menteri berkata, tarikh pilihan raya umum akan kekal sebagai sesuatu yang mengejutkan kepada semua pihak dan hanya ditetapkan tarikhnya selepas pelbagai faktor diambil kira.
“Itu (kajian Merdeka Centre) adalah satu punca kajian saja. Kita tidak boleh bergantung pada satu penilaian saja dan untuk memanggil pilihan raya umum, banyak faktor kita perlu ambil kira.

“Yang paling penting ialah usaha kita untuk menguatkan parti dan menentukan kita mempunyai barisan berwibawa, selain sokongan kepada pucuk pimpinan adalah antara faktor yang diambil kira,” katanya pada sidang media selepas majlis bersama masyarakat keturunan Siam yang berlangsung di Wat Matchimaram di sini, petang semalam.

Turut hadir Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Naib Presiden MCA, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen; Pengerusi BN Tumpat, Datuk Noor Zahidi Omar dan Ketua Bhiku Wat Matchimaram, Pharak Kru Vikthet Thammanard.

Najib mengulas hasil kajian Merdeka Centre yang mendapati 72 peratus rakyat negara ini berpuas hati terhadap prestasi kepemimpinan beliau.
Laporan kajian itu juga menarik perhatian Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyifatkan Perdana Menteri berpeluang menang jika mengadakan pilihan raya umum sekarang.
Perdana Menteri berkata, penetapan tarikh pilihan raya umum juga bukan dibincangkan secara terbuka.

“Kalau berlaku, biarlah ia menjadi kejutan, yang paling penting ialah kita bekerja keras untuk rakyat, sesuai dengan gagasan 1Malaysia, rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan,” katanya.

Ketika berucap pada majlis sama, Najib memberi jaminan yang gagasan 1Malaysia yang dipeloporinya akan memastikan keadilan kepada semua lapisan rakyat negara ini tanpa mengira kaum dan agama termasuk masyarakat Siam yang selama ini sentiasa menyokong BN pada setiap kali pilihan raya umum.

Pada majlis itu, beliau juga membawa khabar gembira buat masyarakat Siam setempat apabila mengumumkan kelulusan taraf warga kepada 61 penduduk Siam oleh Kementerian Dalam Negeri yang akan disampaikan kepada pemohon bulan depan.

Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan RM200,000 setahun bagi membiayai 16 sekolah pembelajaran bahasa Siam yang digemari masyarakat terbabit serta biasiswa melanjutkan pelajaran kepada anak-anak keturunan Siam yang cemerlang daripada Yayasan 1Malaysia Development Berhad.

Terdahulu, tengah hari semalam, Perdana Menteri dalam lawatan seharinya ke Kelantan, turut meluangkan masa menghadap dan menziarahi Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra, yang gering dalam rawatan di Istana Mahkota.

Beliau enggan mengulas mengenai perkembangan baginda, sebaliknya meminta dirujuk kepada doktor yang merawat Tuanku Ismail Petra untuk sebarang maklumat mengenai status kesihatan baginda.