Posted by: Habib Ahmad | 10 Mei 2010

Kedudukan Ibubapa Rasulullah SAW

Kedudukan Ibubapa Rasulullah SAW

Satu tulisan oleh al-Fadhil Ustaz Mujahid Abdul Wahab, anak murid kepada tuan guru al-Musnid Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki, yang menyanggah tulisan Ustaz Ravi di dalam Utusan Malaysia. Mempertahankan Rasulullah itu kewajipan bagi kita selaku umat baginda!

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ

PENGENALAN DAN PEMBUKAAN

PERTAMA

Allah berfirman dalam surah al Syu’ara’ ayat 218- 219:

الَّذِي يَرَاكَ حِيْنَ تَقُوْمُ وَتَقَلُّبَكَ فِي السَّاجِدِيْنَ

“Yang melihat pergerakan dirimu di antara orang-orang yang sujud.”

Dikeluarkan oleh Ibnu Sa’ad di dalam Tobaqat al Kubra, dikeluarkan juga oleh al Bazzar, al Tabrani dan Abu Nu’aim di dalam Dalail al Nubuwwah, daripada Ibnu Abbas RA berkata:

“Dan dari seorang Nabi kepada seorang Nabi yang lain, kemudian kepada seorang Nabi sehinggalah dilahirkan Rasulullah SAW sebagai seorang Nabi.”

Ibnu Abbas RA mentafsirkan firman Allah ini sebagai perpindahan benih daripada sulbi seorang Nabi ke sulbi Nabi seterusnya ke dalam sulbi dari kalangan para sajidiin (yang sujud dan beriman kepada Allah).

Maka dapatlah diketahui bahawa Rasulullah SAW dilahirkan daripada benih insan-insan yang beriman dan mendirikan solat dari kalangan zuriat Nabi Ibrahim AS.

Dalil ini juga telah dipakai oleh Imam Baijuri di dalam Hasyiah, pada menyatakan keimanan ayahanda dan bonda serta seluruh nenek-moyang Rasulullah SAW.

KEDUA

Daripada Ibnu Abbas RA, Rasulullah SAW bersabda:

مَا وُلِدَنِي مِنْ سِفَاحِ الْجَاهِلِيَّةِ شَيْءٌ مَا وُلِدَنِي إِلاَّ نِكَاحٌ كَنِكَاحِ الإِسْلاَمِ

“Tidaklah aku dilahirkan dari perzinaan kaum Jahiliyyah walau sedikitpun, dan tiadalah aku dilahirkan melainkan dengan nikah seumpama nikah Islam.”

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

MUNAQOSYAH

Berkata Ustaz Ravi:

“Namun, tiada riwayat yang sahih atau yang diterima (maqbul) daripada buku-buku hadis utama ini yang menyatakan bahawa ibu bapa Nabi SAW itu Muslim sama ada atas agama nabi Ibrahim a.s. atau agama nabi Isa a.s.”

Berkata hamba yang dho’if:

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Ustaz Ravi menunjukkan beliau memerlukan kefahaman yang lebih luas mengenai al Sina’ah al Hadisiyyah. Di dalam ilmu hadith, yang menjadi ukuran bagi menghukum sesuatu hadith ialah sanadnya, bukan kerana ia dikeluarkan oleh Ashab al Sunan al Sittah, al Muwatto’ dan kitab-kitab yang masyhur. Sesuatu hadith itu diterima apabila cukup syarat-syaratnya walaupun ia diriwayatkan di dalam sebuah kitab hadith yang tidak masyhur.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Berkata Ustaz Ravi:

“Hadis-hadis tentang isu ini menjurus kepada kesimpulan ibu bapa nabi SAW mati dalam kufur kerana nabi sendiri mengesahkan di dalam hadis-hadis tersebut dengan mengatakan mereka berada di neraka.”

Berkata hamba yang dho’if:

Pada hemat saya hamba yang dho’if, Ustaz Ravi seolah-olah tidak memahami apakah pengertian Qot’iyyah al Thubut dan Qot’iyyah al Dilalah di dalam ilmu Usul Fiqh. Benar, hadith tersebut diriwayatkan dalam sohih Muslim dengan sanad yang sohih, akan tetapi adakah ia benar-benar menunjukkan (Wajhu al Dilalah) hukum yang anda keluarkan? Adakah dengan menemui sesuatu dalil yang sohih di dalam sesebuah kitab hadith, justeru kita akan terus mengeluarkan hukum berdasarkan zahirnya tanpa mengira kupasan dan perbincangan ulama’ mengenainya? Semoga Allah menghindarkan kita dari tergesa-gesa dan melulu dalam menghukum.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Berkata Ustaz Ravi:

“Mari kita perinci satu persatu. Pertama, hadis riwayat Muslim (no. 203) yang sanadnya daripada Anas r.a; seorang lelaki bertanya kepada Rasullullah: Wahai Rasulullah, di manakah ayahku? Nabi menjawab, “Di dalam neraka.” Apabila lelaki itu berpusing untuk pergi, baginda memanggilnya lalu berkata: “Sesungguhnya ayahku dan ayahmu di neraka.”

Imam al-Nawawi dalam Sharh Sahih Muslim (judul buku: Huraian hadis-hadis Sahih Muslim) berkata: Ia nas dalil bagi larangan memohon doa keampunan kepada orang-orang kafir.”

Berkata hamba yang dho’if:

Hadith ini diriwayatkan oleh Muslim dengan lafaz:

عَنْ حَمَّادِ بْنِ سَلَمَةَ عَنْ ثَابِتٍ عَنْ أَنَسٍ أَنَّ رَجُلاً قَالَ: يَا رَسُوْلَ اللهِ أَيْنَ أَبِي؟ قَالَ: فِي النَّارِ، فَلَمَّا قَفَّى دَعَاهُ، فَقَالَ: إِنَّ أَبِي وَأَبَاكَ فِي النَّارِ.

Daripada Hammad ibn Salamah daripada Thabit, daripada Anas ibn Malik RA: “Sesungguhnya seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW, “Wahai Rasulullah! Di manakah bapaku?” Rasulullah SAW menjawab, “Di dalam neraka.” Tatkala lelaki tersebut berpaling, Rasulullah SAW memanggilnya lalu berkata, “Sesungguhnya bapaku dan bapamu di dalam neraka.”

Maka yang difokuskan oleh Ustaz Ravi di sini ialah pada maksud lafaz hadith: “Sesungguhnya bapaku dan bapamu di dalam neraka.” Maka dengan tergesa-gesa selepas itu beliau mengeluarkan hukum ayahanda Nabi mati dalam kekufuran.

Para ahli hadith mengesahkan bahawa lelaki yang bertanya kepada Rasulullah SAW itu ialah seorang ‘Arabi (badwi). Pendapat ini disepakati berdasarkan hadith yang menceritakan kisah yang sama, yang diriwayatkan oleh Mu’ammar daripada Thabit. Tetapi, perbezaan di antara kedua-dua jalan ialah hadith yang diriwayatkan melalui jalan Mu’ammar tidak mempunyai lafaz:

إِنَّ أَبِي وَأَبَاكَ فِي النَّارِ

“Sesungguhnya bapaku dan bapa kamu di dalam neraka.”

Maka faedah ilmiah yang pertama yang kita perolehi di sini ialah lafaz di atas tidak disepakati oleh para perawi.

Hadith yang diriwayatkan oleh Mu’ammar tanpa lafaz tersebut lebih diyakini dari aspek riwayat dan lafaz, menurut ahli hadith, Mu’ammar adalah seorang yang lebih terpeliharan hafazannya dan dia tidak menerima sebarang kritikan dari ulama’ Jarah dan Ta’dil. Tambahan lagi al Bukhari dan Muslim bersepakat dalam menyatakan keyakinan mereka terhadap Mu’ammar. Ini berbeza dengan situasi Hammad yang hanya diyakini oleh Muslim tetapi tidak di sisi al Bukhari.

Katakanlah lafaz Hammad ibn Salamah dalam Sohih Muslim di atas adalah dari lafaz Nabi SAW sendiri, maka ia tidak juga boleh dijadikan sandaran dalam menghukum kekufuran ayah Nabi SAW kerana ‘illah dari aspek matan menunjukkan bagaimana Rasulullah SAW menggunakan teknik dan kaedah yang membawa erti kesamaran supaya keadaan menjadi lebih tenang dan terkawal. Rasulullah SAW menggunakan lafaz persamaan kedudukan bagi kedua-dua bapa dengan tujuan-tujuan tertentu. Di antaranya:

1) Apabila Rasulullah SAW menyatakan persamaan kedudukan kedua-dua bapa mereka di dalam neraka, wujud persamaan dan tautan hati lelaki ‘Arabi terhadap Rasulullah SAW dan lebih bersemangat untuk mendalami ajaran Islam.

2) Sekiranya Rasulullah SAW menyatakan bahawa bapa ‘Arabi tersebut di dalam neraka, sedangkan bapa Baginda SAW di dalam syurga, maka lelaki ‘Arabi itu akan merasakan jurang perbezaan di antara mereka berdua dan dikhuatiri perkara ini akan menyebabkan lelaki ‘Arabi tersebut lari menjauhi Islam serta kembali murtad.

3) Sekiranya Rasulullah SAW membezakan kesudahan bagi kedua-duanya, dikhuatiri lelaki ‘Arabi yang terkenal dengan sikap degil dan keras hati akan mengeluarkan kata-kata sumpahan dan caci-maki terhadap Rasulullah SAW yang bakal mengundang laknat dan kemurkaan Allah SWT.

4) Teknik yang dilakukan oleh Rasulullah SAW bertujuan untuk mengelakkan fitnah dan sebarang kejadian yang tidak diingini terhadap kaum ‘Arabi dan kaum kerabatnya. Ini juga bertujuan untuk menarik lebih ramai kaum kerabat lelaki ‘Arabi tersebut memeluk Islam.

Sekiranya kita mengkaji dengan meluas, terdapat banyak lafaz-lafaz dari hadith Nabi SAW yang menunjukkan gaya kaedah sebegini. Kerana Nabi SAW adalah seorang yang bijak dalam berdakwah dan berbicara dengan manusia sekadar mana pencapaian akal para pendengarnya. Apabila berurusan dan berbicara dengan orang arab badwi, maka mu’amalah Nabi SAW lebih lembut, mengalah, bertolak ansur dan lunak berbanding dengan mereka yang telah lama memahami serta mendalami Islam.

Faedah ilmiah yang lain yang dapat kita kutip ialah menurut al Hafiz al Suyuti juga, hadith sohih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim ini diriwayatkan oleh Hammad ibn Salamah dengan makna, bukan dengan lafaz. Manakala lafaz:

إِنَّ أَبِي وَأَبَاكَ فِي النَّارِ

Merupakan lafaz yang tidak disepakati oleh para perawi dari jalan hadith yang lain. Berdasarkan riwayat Mu’ammar daripada Thabit pula, tidak kedapatan lafaz di atas, akan tetapi diriwayatkan dengan lafaz yang lebih umum.

Dalam riwayat yang lain, dikeluarkan oleh al Bazzar dalam Musnadnya dan al Tabrani di dalam al Mu’jam al Kabir dengan sanad rijal yang sohih, daripada Sa’ad ibn Abi Waqqas:

أَنَّ أَعْرَابِيًّا أَتَى النَّبِيَّ (ص) فَقَالَ: يَا رَسُوْلَ اللهِ أَيْنَ أَبِي؟ قَالَ: فِي النَّارِ. قَالَ: فَأَيْنَ أَبُوْكَ؟ قَالَ: حَيْثُ مَرَرْتَ بِقَبْرِ كَافِرٍ فَبَشِّرْهُ بِالنَّارِ.

“Sesungguhnya seorang ‘Arabi datang bertemu Nabi SAW lalu bertanya, “Wahai Rasulullah! Di manakah bapaku?” Rasulullah SAW menjawab, “Di dalam neraka.” Maka lelaki Badwi tadi bertanya pula, “Di mana pula bapamu?” Rasulullah SAW menjawab, “Tatkala kamu berjalan berhampiran kubur seorang kafir, beritakan kepadanya bahawa dia di dalam neraka.”

Hadith yang diriwayatkan dari jalan Sa’ad ibn Waqqas ini secara jelas menerangkan kepada kita bahawa lelaki yang bertanya soalan kepada Rasulullah ini adalah seorang badwi yang dikhuatiri akan murtad disebabkan imannya yang masih belum benar-benar mantap, ditambah pula kefahamannya mengenai Islam masih cetek.

Ulama’ menyatakan bahawa lafaz “Abi” di dalam riwayat Muslim bukanlah ditujukan kepada Abdullah. Kerana tradisi masyarakat arab mereka memanggil ayah, bapa saudara dan datuk dengan gelaran “Abi”. Ini yang harus kita fahami dengan jelas.

Maka jika benarlah lafaz ini datangnya dari Rasulullah SAW, maka sesetengah ulama’ menyatakan bahawa yang dimaksudkan oleh Rasulullah SAW dengan lafaz ‘Abi’ tersebut bermaksud bapa saudaranya iaitu Abu Tolib.

Menurut pendapat guru saya di Mesir, al Mufassir Dr. Judah al Mahdi al Husaini (Naib Rektor al Azhar), beliau menyatakan mengapa tidak lafaz itu ditujukan kepada Abu Lahab kerana kekufurannya adalah jelas, kedudukannya di dalam neraka adalah thabit dengan nas yang qot’i (Surah al Masad) dan dia juga adalah merupakan bapa saudara Nabi.

Maka adalah tidak sayugia menghukum aqidah bapa Nabi SAW dengan dalil Zonniyah al Dilalah.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Berkata Ustaz Ravi:

“Perbincangan berkisar tentang isu ibu bapa Nabi tidak terlepas dari azab neraka telah berlangsung secara panjang lebar oleh al-Allamah Ibrahim al-Halabi dalam buku Risalah Mustaqillah dan al-Allamah al-Qari dalam bukunya Sharh al-Fiqh al-Akbar.”

Mereka berdua berdalilkan nas hadis sahih ini: (Sesungguhnya bapaku dan bapamu berada di neraka).

Berkata hamba yang dho’if:

Semoga Allah memberikan petunjuk buat saya dan Ustaz Ravi. Dengan izin Allah saya menyatakan: Sesungguhnya pendapat Mula Ali al Qari telah dinyatakan di dalam Syarh al Fiqh al Akbar. Akan tetapi beliau telah menarik balik pendapatnya mengenai bapa Nabi berada di dalam neraka di dalam kitab Syarah Syifa al Qadhi ‘Iyadh yang ditulis olehnya. Di antara pendapatnya di dalam kitab tersebut bermaksud lebih kurang:

“Adapun pendapat yang benar mengenai kesudahan ibu bapa Nabi ialah berdasarkan apa yang telah dinyatakan oleh al Suyuti dalam 3 buah risalah yang dikarangnya.”

Tiga buah risalah tersebut pada pengetahuan saya (hamba yang dho’if) ialah Masalik al Hunafa fi Walidayy al Mustofa, al Ta’zhim wal Minnah fi Anna Abawayy Rasulillah fil Jannah dan al Yaqin fi Najaati Abawayy Sayyidil Mursalin. Saya juga ada mengira bahawa al Suyuti telah menulis 5 risalah khusus mengenai permasalahan ini.

Semoga Allah mempermudahkan beliau menemui kitab tersebut.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Berkata Ustaz Ravi:

“Hanya Al-Suyuti bertentang pendapat dengan para ulama hadis bertaraf hafiz dan ulama-ulama muktabar tersebut kerana beliau memilih pendapat ibu bapa nabi Muslim dan terlepas daripada azab neraka dalam penulisannya seperti ‘al-Ta’zim wa al-Minat fi anna Abaway Rasulullah SAW fi al-Jannah’.”

Berkata hamba yang dho’if:

Seolah-olah Ustaz Ravi menyatakan al Imam al Suyuti bukanlah berdarjat al Hafiz dalam bidang hadith. Selayaknya beliau menyebut sebagai al Hafiz al Suyuti kerana al Suyuti dan al Hafiz al Sakhawi kedua-duanya adalah murid kepada Amirul Mu’minin fil Hadith al Hafiz Ibnu Hajar al Asqalani. Bahkan sesetengah ulama’ menyatakan bahawa al Suyuti lebih kuat hafazan dan kemahirannya dalam bidang hadith daripada al Sakhawi.

Kekeliruan di sisi Ustaz Ravi di sini ialah apabila ulama-ulama’ hadis dan muktabar menolak hadith tersebut (dihidupkan ibu Nabi) maka, beliau mengheret permasalahan ini kepada permasalahan kufurnya ibu Nabi SAW.

Seolah-olah ulama hadith yang tidak menerima hadith-hadith yang dikatakan maudhu’ itu secara automatik turut mengiktiqadkan kekufuran ayah dan ibu Nabi SAW.

Para ulama’ hadith yang menilai hadith tersebut mendapati ia adalah hadith rekaan (maudhu’) dan tidak boleh dijadikan dalil bagi menyatakan keislaman ayah dan ibu Nabi. Ini tidaklah bermaksud tiadanya dalil lain yang diterima dalam menyatakan keislaman mereka.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Berkata Ustaz Ravi:

“Kesimpulannya, nas-nas yang sahih mengesahkan ibu bapa nabi berada di neraka memberi fahaman bahawa mereka itu meninggal dunia berstatus kafir.”

Berkata hamba yang dho’if:

Semoga Allah merahmati ilmu dan ulama’. Ini adalah suatu tindakan kurang teliti, tergesa-gesa, mujazafah dan melulu. Bagaimana beliau begitu cepat menghukum tentang kesudahan ayah dan ibu Nabi SAW berada dalam neraka kerana kekafirannya. Di mana ustaz Ravi dengan firman Allah:

وَمَا كُنَّا مُعَذِّبِيْنَ حَتَّى نَبْعَثَ رَسُوْلاً

“Tidaklah kami mengazab sesuatu kaum melainkan setelah kami utuskan seorang Rasul”

Moga-moga Ustaz Ravi mengkaji dan mengetahui sirah Nabi bilakah Abdullah dan Aminah meninggal dunia. Sekiranya beliau masih berterusan menyatakan kekafiran ayah dan ibu Nabi, maka hendaklah beliau sedikit beradab dengan menyatakan bahawa ibu bapa Nabi SAW tergolong di kalangan Ahli Fatrah (zaman yang tiada perutusan Rasul) yang terselamat dari api neraka menurut pendapat yang sohih di sisi jumhur Ahli Sunnah Wal Jama’ah.

PENUTUP

Imam Baijuri menyatakan dalam Tuhfah al Murid ‘ala Jauharah al Tauhid:

“Apabila kamu telah mengetahui bahawa Ahli Fatrah adalah golongan yang terselamat (di akhirat) menurut pendapat yang terpilih, maka kamu juga akan mengetahui bahawa kedua ayahanda dan bonda Rasulullah juga terselamat, disebabkan mereka juga tergolong dari kalangan Ahli Fatrah. Bahkan, semua nenek-moyang Rasulullah terselamat dan dihukumkan sebagai generasi yang beriman dan tiada seorang pun di antara mereka yang (terjebak di dalam kancah) kekufuran, kekotoran serta perkara-perkara yang mengaibkan (menjatuhkan maruah) yang dilakukan oleh kaum Arab Jahiliyyah.”

Dikeluarkan oleh Abu Nu’aim di dalam Dalail al Nubuwwah dari jalan al Zuhri daripada Ummu Sama’ah binti Abi Ruhm, daripada ibunya berkata: Aku telah menyaksikan Aminah bonda Rasulullah ketika gering dan Muhammad ketika itu berusia 5 tahun duduk di sisi kepalanya. Maka Aminah memandang wajahnya seraya berkata:

“Semoga Allah memberkatimu dari kecil, wahai anak dari ayahandanya (Abdullah) yang ditaqdirkan mati, tetapi telah terselamat dengan pertolongan Allah Raja Yang Memberikan Nikmat, dia telah ditebus pada keesokan paginya ketika hendak disembelih dengan seratus ekor unta yang mahal. Sekiranya benar apa yang telah aku saksikan ketika tidur, engkau akan diutuskan kepada sekalian makhluk; dari sisi Tuhan Yang Mempunyai Keagungan dan Kemuliaan; Engkau akan diutuskan di Tanah Halal dan Haram; diutuskan juga dengan kebenaran dan Islam, agama datukmu Ibrahim yang mulia, maka Allah telah menghalangmu daripada mendekati berhala supaya kamu tidak menyembahnya bersama kaum Jahiliyyah.

Setiap yang hidup pasti akan mati, setiap yang baru pasti akan buruk, setiap yang banyak pasti akan habis, dan aku akan pergi tetapi namaku akan kekal, sesungguhnya aku telah meninggalkan kebaikan dan melahirkan anak yang suci.”

Dari kata-kata Aminah tersebut, dapatlah disimpulkan bahawa beliau beriman dengan agama Nabi Ibrahim AS seperti yang bakal diteruskan oleh puteranya Rasulullah SAW.

MENGAPA PERLU MENYAKITI RASULULLAH?

Al Qadhi Abu Bakar al ‘Arabi al Maliki suatu ketika ditanya perihal seorang lelaki yang mengatakan bahawa bapa dan datuk Nabi SAW berada di dalam neraka. Maka beliau menyatakan sesungguhnya lelaki tersebut dilaknat. Sesungguhnya Allah berfirman:

إِنَّ الَّذِيْنَ يُؤْذُوْنَ اللهَ وَرَسُوْلَهُ لَعَنَهُمُ اللهُ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ وَأَعَدَّ لَهُمْ عَذَابًا مُّهِيْنًا

“Sesungguhnya mereka yang menyakiti Allah dan RasulNya, mereka dilaknat oleh Allah di dunia dan akhirat serta disediakan bagi mereka azab yang menghinakan.”

Beliau menyatakan lagi: Dan tiadalah perkara yang lebih menyakitkan Rasulullah SAW selain menyatakan bapa Baginda diazab di dalam neraka.

وَاللهً الْمُسْتَعَانُ

Al Abdu al Dho’if,
-Mujahid Abdul Wahab-

http://akhienaim.blogspot.com/2010/05/kedudukan-ibubapa-rasulullah-saw.html

About these ads

Respon

  1. Interesting post. Many thanks for posting

  2. Asslamklmwbkth,

    Syukur pada ALLAH SWT saya telah menemui blog ini juga link SYEIKH MUHAMMAD FUAD KAMALUDIN AL-MALIKI ( http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0507&pub=utusan_malaysia&sec=Rencana&pg=re_02.htm&arc=hive) dan ingin menyatakan betapa sedihnya kerana baru semalam, kelmarin dan hari yg sebelumnya, tafsir quran di radio Ikim oleh utdz zahzan juga sependapat dgn utdz ravi yg terang2 menyebut ibu Nabi Saw Aminah itu kufur…Astagfirullah!!! memang mereka2 ini mengisytiharkan perang dgn ALLAH!!! tk beradab lansung!

    Pernah terjadi seorg artis RMA pernah menghina isteri Nabi saw, itu kita faham walaupun sukar nk terima kalu da jahil muraqqab tu tk tau diam2 saja bukan membawa/ mengheret nama isteri Nabi Saw dlm perbincangan beliau tapi ini sah2 yg ini seorg yg bergelar utdz mana adab dan akhlaq beliau?

    Tunggu saja la kebinasaan dari ALLAH bg mereka yg menyakiti hati kekasihNYA. ALLAH HU AKHBAR!!!


Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 685 other followers

%d bloggers like this: