Syarah Hikam Ibn Atho’illah oleh Tok Pulau Manis – Siri 16

Transliterasi Kitab Syarah Hikam Ibn Athoillah al-Sakandari oleh Shaikh Abdul Malik bin Abdullah bin Abdul Qahhar bin Syarif Muhammad al-Baghdadi @ Tok Pulau Manis

(Transliterasi dari tulisan Jawi kepada tulisan Rumi beserta dengan notakaki oleh: al-Faqir al-Haqir Abu Zahrah Abdullah Thahir al-Qedahi. Segala kesalahan dan kesilapan mohon dimaafkan dan dibetulkan. Pembetulan serta tunjuk ajar daripada para asatizah dan juga dari sekelian pengunjung al-Fanshuri sangat dialu-alukan. Dan sebagai peringatan: Bagi sesiapa yang membaca tulisan ini dinasihatkan supaya bertanya kepada masyaikh, tuanguru-tuanguru dan para asatizah yang berkeahlian dalam bidang ini, seandainya anda tidak memahami isi kandung kitab tasawuf ini. Janganlah diandaikan dengan pemahaman sendiri, ditakuti tiada muwafakat dengan apa yang dimaksudkan penulis kitab ataupun dengan ilmu tasawuf itu sendiri. Ampun maaf diatas segala kelemahan pentransliterasi. Al-Faqir hanya sekadar ingin berkongsi khazanah para ulama kita. Sekian. والله أعلم

أم كيف يرجوأن يفهم دقائق الأسراروهولم يتب من هفواته

[Artinya]: Atau betapa diharap akan [dapat memahami] segala seni-seni rahsia pada hal ia tiada taubat daripada segala ketegelincirnya.

(Yakni) jangan harap paham akan segala seni-seni rahsia, orang yang tiada taubat daripada kesalahannya. Betapa faham kepada asrarul mulki wal malakut [1] – اسرارالملك والملكوت orang yang telah turun daripada syurga tempat jaga kepada bumi tempat lupa, dan betapa taubat daripada kesalahannya orang yang ditawan oleh syahwatnya.

(Dan) kata Shaikh ash-Shadhili رضي الله عنه : Bermula bersahabat serta Allah itu iaitu dengan meninggalkan segala syahwatnya dan tiada sampai hamba itu kepada Tuhannya serta syahwat daripada syahwatnya, dan tiada iradat daripada segala iradatnya.

(Maka) murad daripada faham itu iaitu nur yang ternaqash [2] نقش – dalam zihin, tatkala sudah suci tempat itu daripada hukum faraq. Dan faraq itu iaitu yang dibangsakan kepadamu, maka apabila engkau ikhlas daripada maqamul faraq kepada maqamul jama’ [baharulah kamu boleh fahamn daqoiqol asror] dan [sebaliknya, apabila] kau nadzor [tilik atau pandang] kepada wujudmu atau kepada segala halmu maka adalah yang demikian itu kesalahan yang menempati [3] daripada mu faham akan daqaiqul asrar.

(Dan) inilah suatu [hal] yang telah menyebutkan muallif akan dia [tentang] segala [yang ber]lawanan tiada dapat berhimpun kerana bahawa sanya himpunan antara dua [yang ber]lawanan itu muhaal [mustahil] seperti berhimpun gerak dan diam dan terang dan kelam. Maka adalah bercahaya hati itu dengan nur iman iaitu berlawanan bagi kelam yang diperintahkan [dikuasai] atasnya [yakni hati] daripada [sebab] cenderungnya kepada aghyar dan berjabat[4]nya [yakni hati] atasnya [yakni aghyar] dan demikian lagi yang telah tersebut itu berlawan-lawanan atasnya.

Notakaki:

1 – Rahsia-rahsia alam syahadah dan alam ghaib. Alam mullki itu ialah nama alam benda yang boleh ditangkap oleh pancaindera. Ia juga dinamakan alam syahadah atau alam nyata atau alam hissi atau alam panceindera. Manakala alam malakut adalah alam yang tidak dapat ditangkap oleh pancaindera dan tiada bersifat jasmani. والله أعلم

2 – Terukir, terpahat atau terlukis. Maksud ternaqash dalam zihin itu adalah terukir dalam fikiran atau ingatan hati. والله أعلم

3 – Yakni yang menghalangi atau mendindingi. والله أعلم

4 – Bergantung atau berpegang atau bersandar. والله أعلم