Tidak ada semangat Islam – Harussani
PUTRAJAYA 22 Jan. – “Hanya orang yang tidak beriman saja sanggup mencadangkan supaya dikaji semula larangan penggunaan kalimah-kalimah Islam termasuk Allah oleh bukan Islam.”

Demikian pendirian tegas Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria terhadap mana-mana individu yang mengeluarkan kenyataan seumpama itu, apatah lagi hanya disebabkan faktor sudah ketinggalan zaman.

“Sudah ketinggalan zaman? Dia (individu terbabit) yang sebenarnya sudah ketinggalan zaman, kalau sanggup keluar kenyataan sebegitu, memang dia tidak ada iman, tidak ada semangat Islam.

“Sepatutnya dia kena serahkan perkara ini kepada para ulama (untuk menentukannya),” kata beliau yang sedang berada di Mekah ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Sementara itu Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin berkata, perkara itu melambangkan sikap angkuh dan sombong Khalid yang merasa dirinya hebat tanpa mengambil kira pandangan orang lain.

Baginya, kenyataan itu adalah penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin yang telah menitahkan supaya agama Islam dan peruntukan Perlembagaan berkaitan Islam dihormati.

“Ia juga satu penghinaan besar dan penderhakaan terhadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang telah bertitah dengan jelas bahawa penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam dilarang dan diharamkan sama sekali di Selangor,” tegasnya.

Zulkifli berpendapat kenyataan Khalid itu satu penghinaan terhadap Majlis Fatwa Kebangsaan yang telah memfatwakan larangan penggunaan kalimah Allah di kalangan bukan Islam.

Komen beliau itu dimuatkan dalam entri terbaru bertajuk Penghinaan Oleh YB Khalid yang disiarkan laman blognya, http://zul4kulim.blogspot.com.

Dalam hal ini, Zulkifli berkata, Khalid perlu faham bahawa larangan dalam enakmen itu dibuat secara sah menurut undang-undang berdasarkan peruntukan Artikel 11 (4) Perlembagaan Persekutuan selepas muzakarah dan perbahasan mendalam oleh para ulama dan cendekiawan Islam.

Tegasnya, ia bukan sahaja terkandung dalam enakmen di Selangor bahkan di sembilan negeri lain kecuali Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

Sehubungan itu, katanya, ia undang-undang yang sah serta berkuat kuasa dan bukannya dibuat dari atas pokok oleh golongan bodoh dan jahil apatah lagi umat Islam tidaklah bodoh dan selemah yang Khalid nyatakan.

“Sebaliknya kejahilan itu adalah pada beliau sendiri akibat sikap sombong dan fanatik beliau mahu memaksa orang lain menerima pandangannya yang terlalu jumud dan sempit.

“Pada pendapat saya, kenyataan dan tindak-tanduk beliau memudaratkan keadaan harmoni atau perpaduan di kalangan umat Islam, malahan boleh mencetuskan ketegangan di antara umat Islam dan bukan Islam,” tegasnya.

Baginya, kenyataan Khalid satu kesalahan yang boleh disiasat dan diambil tindakan bukan sahaja di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Selangor, Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) 1988 bahkan di bawah Akta Hasutan dan Seksyen 298A Kanun Keseksaan.

http://www.utusan.com.my