Ganti sembahyang yang tertinggal

Dari Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu , Nabi Shallallahu ‘alaihi wassalam bersabda: Maksudnya : Jika tertidur seseorang daripada kamu sehingga tertinggal solahnya ataupun terlupa mengerjakannya, maka hendaklah dia mendirikan solah yang tertinggal itu apabila dia sudah teringat, sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta’ala telah berfirman:”Dirikanlah solah untuk mengingati Aku”. (Hadith riwayat Muslim). Nabi SAW dan para sahabat ketika dalam musafir pernah tertidur sehingga terlepas waktu Subuh. Apabila mereka terjaga, Nabi mengarahkan supaya berjalan keluar daripada lembah tempat mereka tidur, kemudian mereka qadha’ solah Subuh mereka. (Bukhari dan Muslim

Ada pendapat yang mengatakan hanya perlu qada sembahyang yang ditinggalkan kerana tidak sengaja terlupa atau tertidur dan tidak perlu qada sembahyang yang sengaja ditinggalkan. Misalnya sembahyang yang ditinggalkan dengan sengaja kerana lalai semasa “muda-muda dulu”. Mereka mengatakan cukup dengan istigfar dan bertaubat sahaja. Sebenarnya pendapat ini tidak tepat kerana Rasulullah s.a.w. sendiri menqada sembahyang yang ditinggalkan walaupun Baginda tidak tertidur atau terlupa.

Rasulullah s.a.w. pernah qadha solat semasa membuat persiapan Perang Ahzab (parit) kerana sibuk untuk menyelamatkan nyawa ummah bukan kerana sebab dunia. Nabi qadha solat zuhur, asar dan maghrib dalam waktu Isya’. Nabi qadha ikut tertib waktu solat iaitu zuhur dahulu kemudian asar. Bila sahabat tanya bagaimana nak qadha (sebab mereka tak pernah tinggal sembahyang), Nabi jawab “Sembahyanglah kamu sebagaimana kamu lihat aku sembahyang”. Dibuat azan sekali sahaja pada waktu Isya’, kemudian qamat, Sembahyang Zohor, qamat, Sembahyang Asar, qamat, Sembahyang Maghrib, qamat, Sembahyang Isya’. Perkara ini berlaku sebagai panduan umat yang akan datang. Tidak ada qadha dalam solat bukan bermaksud tidak perlu qadha tapi tidak perlu sebut perkataan qadha semasa niat. Qadha ialah melakukan sesuatu ibadah di luar waktunya dan tunai ialah melakukan sesuatu ibadah di dalam waktunya. Secara mudahnya tunai “waktu Allah”, qadha “waktu kita”

Bahkan dalam sembahyang sunat sekalipun seperti sembahyang witir dan tahajjud, Nabi menggalakkan qadha:-

Sabda Nabi s.a.w.: “Bila sudah menjelang pagi, dan salah seorang daripada kamu masih belum melakukan (solat) witir, maka berwitirlah (qadha). (Baihaqi & al-Hakim)

Dari ‘Aisyah r.a katanya: ”Apabila Rasulullah s.a.w. luput solat malam, umpamanya kerana tertidur dan sebagainya, maka baginda menggantinya pada siang hari dua belas rakaat.” (Muslim)

Oleh itu buatlah kira-kira dan agak-agaklah bilangan sembahyang yang ditinggalkan dan gantilah. Setidak-tidaknya kita sudah mengganti sebahagian sembahyang yang ditinggalkan. Kalau meninggal dunia sebelum cukup bilangan sembahyang untuk diganti, moga-moga dimaafkan Allah.

Difailkan dalam: Sembahyang (Solat)

Advertisements