Kitab: al-Muqaddimah al-Kubra

Data ringkas kitab:

Judul: al-Muqaddimah al-Kubra
(المقدمة الكبرى)
Kategori: Usuluddin/Tauhid
Pengarang/Penterjemah: al-‘Allamah al-‘Arifbillah Syaikh Ismail bin ‘Abdullah al-Minankabawi al-Khalidi al-Naqsyabandi
Jumlah halaman: 180 halaman
Tarikh selesai diterjemah: 1269H/1852M

Kitab ini adalah sebuah kitab tauhid atau usuluddin yang diterjemah oleh al-‘Allamah al-‘Arifbillah Syaikh Ismail bin Abdullah al-Minankabawi al-Khalidi al-Naqsyabandi [wafat di Mekah pada tahun 1280H/1863M]. Beliau adalah seorang musyid thariqah Naqsyabandiah Khalidiyah.
Kitab ini judul sempurnanya adalah Al-Muqaddimah al-Kubra allati Tafarra’at minha al-Nuskhah al-Shughra (المقدمة الكبرى التي تفرعت منها النسخة الصغرى), tanpa tarikh. Pada bahagian akhir kitab hanya terdapat tahun selesai penyalinan naskhah pada hari Selasa, sesudah sembahyang Zohor pada 15 Jamadilawal 1305H di Mekah al-Musyarrafah oleh `Abdus Shamad Kelantan.
Kandungannya membahas ilmu akidah Ahlus Sunnah wal Jamaah secara mendalam. Beliau banyak mengutip perbahasan dari kitab-kitab syarah kepada kitab Ummu Barahin karya Imam Sanusi. Cetakan pertama oleh Mathba’ah al-Amiriyah, Bulaq, Mesir, tertulis di halaman depan dinyatakan tahun 1309 Hijrah, dan di halaman akhir dinyatakan Rabiulakhir 1310 Hijrah. Pada halaman akhir itu juga dicatat sebagai penjual ialah Syeikh Abdullah al-Baz di Kampung Babus Salam, Mekah.
Di bahagian tepi kitab Al-Muqaddimatul Kubra dicetak kitab berjudul Muqaddimatul Mubtadin oleh pengarang yang sama. Muqaddimatul Mubtadin, diselesaikan pada hari Rabu 15 Safar, sesudah sembahyang Zohor, tanpa menyebut tahun. Kandungannya membahas ilmu aqidah di dalam bentuk soal-jawab secara ringkas tetapi padat.