Terbuka hati di Masjid Alhambra

 

 

KISAH penghijrahan akidah gadis yang berusia 16 tahun dari Iowa, Amerika Syarikat (AS), Karima Burns bermula sewaktu beliau dalam percutian menjelajah ke benua Eropah. Titik-tolak yang boleh dikira hidayahnya bermula sewaktu melawat ke Masjid Alhambra, Granada, Sepanyol.

Namun sebelum itu, kata Karima, keputusan beliau mengembara secara solo itu diambil kononnya dengan alasan ‘mahu melihat dunia’ dahulu sebelum menyambung pengajian ke Universiti Northwestern, AS yang akan bermula pada musim luruh.

Namun realitinya, ia hanyalah satu syarat pelepasan daripada kesangsian keluarga dan kawan-kawan. Hakikatnya dia bagaikan hilang arah dan tiada tempat untuk mengadu. Fikirannya berkecamuk bercampur buntu.

Sebenarnya dia sudah beberapa bulan tidak mengunjungi gereja kerana sudah tidak dapat lagi menerima apa yang diajarkan di situ.

Lantaran itu, beliau berharap kunjungannya ke Eropah akan memberikan suatu petanda ataupun jawapan kepada semua kekusutan yang dialami selama ini terutamanya dalam soal kepercayaan dan pegangan agama.

Berada di dalam masjid yang paling bersejarah dan salah satu destinasi tempat yang wajib dikunjungi pelancong, Karima bagaikan orang bercinta pandangan pertama.

Terpegun melihat kecantikan tulisan yang terdapat pada ruangan dalam masjid itu. Lidahnya kelu seribu bahasa, malah tiada kata dapat menggambarkan keindahan bahasanya yang tidak pernah dilihat di mana-mana sebelum ini.

Rupa-rupanya itulah bahasa Arab sebagaimana yang diberitahu oleh sekumpulan pelancong berbangsa Sepanyol yang turut menyertai rombongan lawatannya itu.

Sejak itu apa sahaja yang berkaitan dengan bahasa tersebut menjadi prioriti seperti buku panduan pelancongan, termasuklah risalah-risalah berkaitan tempat-tempat bersejarah di Sepanyol. Hinggakan beliau sanggup mengosongkan beg pakaian demi mengisi bahan-bahan bercetak yang berkaitan dengan bahasa Arab.

Malah pada setiap malam, Karima akan membelek bahan-bahan yang diperoleh itu satu persatu sehingga tidak jemu-jemu mengagumi keindahan tulisannya.

Sungguhpun beliau mengakui tidak memahami bahasa, apatah lagi kebudayaan Arab itu, namun jauh di sudut hatinya semacam ada ketenangan serta Karima percaya tidak ada ruginya untuk lebih mengetahui asal usul atau budaya di sebalik bahasa tersebut.

Pada masa itu juga, Karima bersumpah untuk mengkaji bahasa Arab bila pengajiannya di kolej bermula pada musim luruh nanti.

Sekembali dari cuti yang panjang, Karima agak kecewa kerana harapannya untuk menemui jawapan yang dicari-cari selama ini, gagal. Apatah lagi, apabila mengunjungi rumah gurunya yang memiliki pelbagai versi kitab Injil. Ini menambahkan lagi kekeliruan Karima.

Pun begitu, keazaman untuk mengetahui tentang bahasa Arab, menjadi sedikit kekuatan serta peluang untuknya menemui jawapan. Ironiknya, apa yang dicari itu sebenarnya berada di depan mata sewaktu beliau berada di Masjid Alhambra, tetapi ia disedari dua tahun kemudian.

Langkah pertama yang dilakukan Karima sebaik memulakan kuliah ialah mendaftarkan diri ke kelas bahasa Arab. Dia adalah antara tiga pelajar yang mengikuti kelas yang paling tidak popular. Beliau turut mengunjungi komuniti Arab yang ramai di kawasan Chicago demi mencari alatan tulis kaligrafi dan botol minuman coca-cola yang ada tertera tulisan Arab. Malah dia merayu kepada guru kelasnya untuk meminjamkan buku-buku Arab hanya kerana mahu melihat tulisan-tulisan itu.

Pada tahun kedua pengajian, Karima mengambil keputusan mendaftar kelas Pengajian Asia Barat dan salah satu mata pelajaran yang perlu diikuti ialah subjek al-Quran.

Suatu malam Karima cuba mengulangkaji al-Quran dan dia tidak boleh berhenti membacanya seolah-olah dia sedang membaca sebuah novel yang cukup menarik.

Rupa-rupanya jawapan yang dicari selama ini ada di dalam kitab yang sedang dipegang itu dan di situlah Karima sedar bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah SWT.

Di dalam kelas keesokan harinya, Karima bertanyakan gerangan penulis kitab itu supaya beliau dapat membaca hasil-hasil karyanya yang lain.

Pensyarah memberitahu bahawa nama yang tertera itu bukannya penulisnya tetapi penterjemah. Barulah Karima tahu bahawa al-Quran adalah kitab yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW untuk umat manusia.

Sejak itu, Karima semakin teruja untuk mempelajari bahasa Arab dan merancang untuk ke Asia Barat.

Akhirnya, pada tahun akhir di kolej, beliau ke Mesir untuk melanjutkan pengajian. Tempat paling suka dikunjungi ialah ke masjid kerana di situlah Karima temui keselesaan, kekaguman, kecantikan dan kekuasaan Allah SWT. Malah saat yang paling menyeronokkan Karima ialah ketika meneliti bait-bait kaligrafi di dinding masjid.

Pada suatu hari seorang teman bertanyakan kepada Karima kenapa beliau tidak memeluk Islam jika terlalu mencintai agama Islam itu.

Apa yang difahami, adakah tidak mencukupi jika seseorang itu mengagumi dan mengakui tentang kebenaran Islam. Mengapa perlu memeluk agama Islam?

Teman tadi menjelaskan, untuk menjadikan pengislaman yang dilakukan itu rasmi, beliau mestilah ke masjid dan melakukan syahadah dengan membawa dua orang saksi dan itulah yang dilakukan oleh Karima.

http://www.utusan.com.my