Posted by: Habib Ahmad | 27 Julai 2011

Keesaan Allah dalam surah al-Ikhlas

Keesaan Allah dalam surah al-Ikhlas

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

Dinukilkan di sini sebahagian pendapat dan penegasan Ibn Qayyim al-Jauziyah menerusi kitabnya Hidayatul Hayari fi Ajwibatil Yahud wa al-Nasara terhadap ciri-ciri Allah bagi agama Islam berbanding Kristian sebagai menjelaskan lagi perbezaan maksud lafaz Allah bagi kedua-dua agama ini.

* Sesungguhnya Allah SWT adalah satu, tidak mempunyai sekutu dalam kerajaan-Nya, tidak ada bandingan yang setara dengan-Nya, tidak ada pengawal, tidak ada penasihat, tidak ada penolong dan tidak ada pemberi syafaat kecuali dengan izin-Nya.

* Dia tidak mempunyai bapa, anak, keturunan, isteri dan tidak mempunyai kesamaan dengan selain-Nya.

* Dia Maha Kaya dengan zat-Nya, tidak makan, tidak minum dan tidak memerlukan apa yang diperlukan oleh makhluk.

* Zat-Nya tidak bersatu dengan makhluk-Nya dan tiada makhluk yang menyatu ke dalam zat-Nya.

* Dia Maha Ada, tidak pernah hilang dan tidak pernah mewakilkan urusan kerajaan-Nya kepada selain dari-Nya.

* Dia Maha Sempurna dan hanya Dia yang memiliki kesempurnaan.

Firman Allah SWT: Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu.

Abu Su’ud dalam tafsirnya berkata: Nama Allah diulangi sehingga dua kali, iaitu pada ayat pertama dan ayat kedua dengan menjelaskan bahawa Dia adalah Esa, Tunggal, Dia adalah tempat pergantungan semua makhluk, supaya jelaslah bahawa yang tidak mempunyai kedua sifat pokok itu bukanlah Tuhan.

Pada ayat yang pertama ditegaskan tentang keEsaan-Nya, untuk menjelaskan betapa bersih-Nya Allah dari berbilang dan bersusun, dan dengan menjelaskan bahawa Dialah tempat bergantung segala makhluk, dan jelaslah bahawa pada-Nya terkumpul segala sifat kesempurnaan.

Dia tempat bergantung, tempat berlindung, bukan Dia yang mencari perlindungan kepada yang lain, Dia tetap ada dan kekal dalam kesempurnaan-Nya, tidak pernah berkurang.

Berkenaan perkataan al-Samad, ada banyak tafsiran, antaranya:

* Al-Samad yang tiada rongga padanya seperti pendapat al-Hasan, Ikrimah, al-Dahhak dan Ibn Jubair.

* Yang tidak makan dan minum seperti pendapat al-Sya’bi.

* Yang kekal tanpa binasa seperti pendapat Qatadah.

* Tidak beranak dan tidak diperanakkan seperti pendapat Muhammad bin Ka’ab.

* Segala manusia memohon hajat kepada-Nya seperti pendapat Ibn Abbas.

* Ia adalah penghulu yang bersifat Maha Tinggi seperti kata Abu Wa’il dan Sufyan.

* Ia bersifat sempurna yang tiada cacat celanya seperti pendapat Muqatil.

* Ia adalah tempat segala hajat dan pertolongan, seperti kata al-Suddi.

8 Ia terkaya dan tidak berhajat kepada sesuatu seperti kata Abu Hurairah.

8 Ia boleh melakukan apa sahaja dan menghukum mengikut kehendaknya.

Al-Maraghi berkata: Allah SWT yang menjadikan tumpuan semua hamba dan mereka menghadapkan diri kepada-Nya untuk menyelesaikan kepentingan mereka tanpa perantaraan dan penolong.

Dengan demikian, ketentuan ini membatalkan kepercayaan kaum Musyrikin Arab yang mempercayai adanya perantara dan penolong juga membanteras kepercayaan penganut agama lain yang bawa pemimpin agama mereka itu mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Tuhan kerana menerima perantaraan bagi orang lain untuk mencapai apa yang mereka cari.

Ini disebabkan mereka selalu kembali kepada perantaraan-perantaraan itu baik selama hidup mahupun setelah meninggal dunia. Mereka berdiri di sisi kubur-kubur itu dengan penuh khusyuk dan tunduk sebagaimana tunduknya mereka kepada Allah SWT bahkan lebih daripada itu.

Firman Allah SWT: Dia tiada beranak dan tidak pula diperanakkan. Dan tidak ada seorangpun yang setara dengan Dia.

Mengikut Dr. Said Abdul Azim dalam bukunya Qul Ya Ahlal Kitab Lastum ‘Ala Syai’ menyebut berkenaan usul yang disepakati ini:

* Bahawa Allah bersifat qadim, wahdaniyyah tanpa sekutu pada kerajaan-Nya.

* Bahawa Dia tiada bapa, tiada seumpama-Nya, tiada isteri dan tiada menyamai dengan sekelian makhluk-Nya.

* Bahawa Dia Maha Kaya dengan zat-Nya, tidak makan dan minum serta tidak berhajat kepada makhluk.

* Bahawa Dia tidak berubah dan tidak menerima kebinasaan seperti tua, sakit, mengantuk, tidur, lupa, takut, dukacita dan lain-lain.

* Bahawa Dia tidak serupa sesuatupun daripada makhluk, sama ada pada zat, sifat dan perbuatan-Nya.

* Bahawa Dia tidak mengambil tempat pada sesuatupun daripada makhluk-Nya.

* Bahawa Dia lebih agung daripada sesuatu, lebih besar daripada sesuatu dan Maha Tinggi daripada sesuatu.

* Bahawa Dia Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu.

* Bahawa Dia Maha Mengetahui dengan setiap sesuatu sama ada tersembunyi atau yang terang.

* Bahawa Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat.

* Bahawa Dia Maha Penyaksi yang tiada ghaib sesuatupun daripada-Nya.

* Bahawa Dia bersifat abadi lagi kekal selama-lamanya.

* Bahawa Dia berkata-kata sama ada arahan atau larangan.

* Bahawa Dia Maha Benar pada janji dan khabar-Nya.

* Bahawa Dia bersifat samad yang semua makhluk berhajat kepada-Nya.

* Bahawa Dia bersifat Maha Suci, Maha Sejahtera yang terlepas daripada sebarang aib dan kekurangan.

* Bahawa Dia bersifat Maha Sempurna dengan kesempurnaan yang mutlak.

* Bahawa Dia Maha Adil yang sekali-kali tidak menzalimi hamba-hamba-Nya.

Ibn Qayyim berkata: “Ini adalah perkara yang disepakati oleh semua Kitab dan Rasul dan ia sebagai satu ketetapan yang tidak harus datang syariat yang menyalahinya. Begitu juga yang dikhabarkan oleh Nabi SAW menyalahinya pada asal, sedangkan golongan penyembah salib meninggalkan konsep triniti semuanya di samping berpegang dengan perkara yang menjadi syubhah daripada makna dan yang mujmal daripada lafaz”.

Fadilat surah al-Ikhlas

Ibn al-Qayyim di dalam Zad al-Ma’ad menukilkan: Nabi SAW selalu membaca pada solat sunat Fajar dan solat witir surah al-Ikhlas dan surah al-Kafirun. Ini kerana kedua-dua surah ini mengumpulkan tauhid ilmu dan amal, tauhid makrifat dan iradat, tauhid iktikad dan tujuan.

Surah al-Ikhlas mengandungi tauhid iktikad dan makrifat dan apa yang wajib dipandang tetap teguh pada Allah menurut akal murni, iaitu Esa dan tunggal. Dia adalah pergantungan yang tetap, yang pada-Nya terkumpul segala sifat kesempurnaan, dan tidak pernah berkurangan dari segi mana pun.

Dia ternafi daripada beranak dan diperanakkan, kerana jika keduanya itu ada, Dia tidak jadi pergantungan lagi dan KeEsaannya tidak bersih lagi. Dan nafi atau tiadanya kufu’, tandingan, bandingan dan gandingan adalah menafikan penyerupaan, perumpamaan ataupun pandangan lain.

Oleh kerana itulah, surah ini mengandungi segala kesempurnaan bagi Allah dan menafikan segala kekurangan. Inilah dia pokok tauhid menurut ilmiah dan menurut akidah, yang melepaskan orang yang berpegang teguh kepadanya daripada kesesatan dan mempersekutukan.

Dinyatakan di sini beberapa fadilat surah al-Ikhlas, antaranya:

* Daripada Abu Sa’d, ada seorang yang mendengar seorang lelaki membaca surah al-Ikhlas dengan berulang kali. Pada keesokannya, ia datang menemui Nabi SAW lalu ia menyebutkan cerita itu kepada beliau seolah-olah ia merasa surah itu sangat sedikit.

Lalu Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Demi jiwaku ditangan-Nya, sesungguhnya surah itu menyamai satu pertiga al-Quran”.

* Ibn Abbas r.a berkata: Surah al-Zalzalah sama nilainya dengan separuh al-Quran. Surah al-Ikhlas sama dengan sepertiga al-Quran. (riwayat al-Hakim)

* Dari Aisyah r.anha bahawa Nabi SAW pada suatu ketika telah mengirim pasukan tentera. Panglima tentera tersebut setiap kali solat yang dibacanya kuat akan menutup bacaan dengan surah al-Ikhlas.

Apabila pulang hal tersebut dikhabarkan kepada Nabi SAW. Lantas Baginda suruh bertanya sebabnya. Panglima tersebut menjawab: Itu adalah sifat Allah SWT yang bersifat Rahman dan saya amat suka membacanya. Mendengar keterangan tersebut, Baginda bersabda: Katakanlah kepadanya, bahwa Allah reda kepadanya.

* Daripada Abu Hurairah r.a berkata: Aku menemui Rasulullah SAW, tiba-tiba Baginda mendengar seorang lelaki membaca surah Ikhlas. Lantas Baginda bersabda: Wajiblah. Aku bertanya apakah yang wajib itu ya Rasulullah? Baginda menjawab: masuk syurga.

Surah ini memuatkan penolakan musyrikin dengan segala bentuknya. Allah SWT mengingkari zat-Nya mempunyai sifat memerlukan kepada yang lain dengan firman-Nya. Semoga kita menjadi golongan yang sentiasa mentauhidkan Allah dan makrifah dengan-Nya. Amin

About these ads

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 741 other followers

%d bloggers like this: