Posted by: Habib Ahmad | 27 Mei 2011

AMAL HADIS DAIF BIDAAH?

AMAL HADIS DAIF BIDAAH?
Editor: al-Faqir Ila ALLAH Ta’ala – Date: 20.5.11

Mungkin anda ada pengalaman dengan perbualan seperti berikut;

“Amalan ni bidaah. Awak tak boleh amalkan kerana hadisnya daif”.

- “Tak… Amalan ni bukan bidaah. Hadis daif dapat diamalkan dalam bab fada’il”.

“Syeikh *** kata, amalan ni bidaah, tak ada zaman Nabi”.

- “Tak ada zaman Nabi ke, atau Syeikh *** tu yang tak berjumpa?”

Inilah antara masalah yang membikin ruwet dalam pemikiran umat Islam pada masa kini, iaitu masalah beramal dengan hadis daif dianggap sebagai bidaah. Hinggakan seolah-olah ianya menjadi suatu kaedah dalam menentukan hukum. Kesan dari kaedah ini telah menimbulkan perselisihan yang tidak berkesudahan di kalangan para ilmuan moden, bahkan para pengikut mereka, berkaitan masalah-masalah yang dibahaskan.

Ia menjadi satu ujian bagi umat Islam apabila ada di antara mereka yang menghukum bidaah bagi sesuatu amalan semata-mata kerana hadisnya daif, manakala pihak yang satu lagi mempertahankannya kerana menganggapnya sebagai bukan bidaah. Hal ini adakalanya membawa kepada perpecahan dan perbalahan yang sengit. Banyak buku-buku yang telah disusun berdasarkan kaedah berkenaan, sedangkan ianya tidak menepati tradisi majoriti ahli ilmu.

Sebelum membincangkan lebih lanjut, ada beberapa perkara yang perlu difahami dalam perbincangan ini. Pertamanya, maksud bidaah dari segi penggunaan istilah am dalam tulisan ini ialah bidaah sayyi’ah (yang buruk), maka tidak termasuk bidaah hasanah (yang baik). Perbincangan ini juga hanya berkaitan dengan hadis daif yang dihukumkan pengamalannya oleh sebahagian ahli ilmu sebagai bidaah.

Adapun hadis yang diperselisihkan hukumnya, seperti setengah pihak mengatakan daif, atau sahih, dan setengah pihak lagi mengatakan palsu, maka ia memerlukan perbahasan lain yang lebih lanjut. Pihak yang mengatakannya sebagai hadis palsu, walaupun pihak satu lagi mengatakan tidak palsu, berhak menyatakan bahawa beramal dengannya dikira sebagai bidaah. Namun kelayakan dan kemampuan memberi keputusan hukum bidaah tersebut adakalanya menjadi bahan pertikaian pula. Justeru dalam masalah yang sebegini masing-masing perlulah bijak dalam menanganinya. Maka kita perlu bersikap toleransi dan cermat dalam menyuarakan pandangan serta menjaga adab-adab perselisihan pendapat (adab al-ikhtilaf).

Tradisi Ulama Terdahulu

Tiada salahnya meninggalkan hadis daif, namun sikap membidaahkan orang lain yang tidak meninggalkannya itu perlu dikoreksi semula. Jika kita merujuk kepada ulama-ulama terdahulu, boleh dikatakan majoriti mereka tidak menghukum bidaah ke atas orang yang mengamalkan hadis daif. Malah kita dapati kitab-kitab ulama terdahulu tidakpun meninggalkan hadis daif. Imam al-Bukhari misalnya, walaupun meninggalkan hadis daif dalam kitab Sahihnya (kecuali secara mu’allaq), namun beliau memuatkan hadis daif ini di dalam karya-karyanya yang lain seperti kitab al-Adab al-Mufrad. Imam Ahmad juga memuatkan banyak hadis daif di dalam kitab Musnadnya, dan beliau berkata: “Hadis daif itu lebih aku sukai daripada pandangan akal”.

Imam al-Tirmizi juga banyak memuatkan hadis daif di dalam kitabnya al-Jami’ (atau Sunan al-Tirmizi). Dan istimewanya kitab beliau ini memuatkan hadis-hadis yang diamalkan oleh para ulama mujtahid, walaupun hadis tersebut dihukumkan sebagai daif. Maka tidak pula dilihat beliau menuduh ulama yang mengamalkannya sebagai telah melakukan bidaah.

Ulama yang dikatakan menolak hadis daif secara mutlak, yakni dalam semua perkara, seperti Abu Bakr Ibn al-‘Arabi, Ibn Hazm (w. 456H) dan lain-lain juga didapati tidak mempraktikkan sepertimana dakwaan tersebut di dalam karya-karya penulisan mereka.

Dalam kaedah ulum al-hadith, ramai ulama bersepakat bahawa hadis daif tidak boleh diamalkan dalam bab akidah dan hukum-hakam, namun mereka membenarkannya dalam bab fada’il al-a’mal, al-targhib wa al-tarhib, qisas, mawa’iz dan seumpamanya. Maka kenyataan ini membuktikan bahawa beramal dengan hadis daif dalam bab yang tersebut adalah harus, bukannya suatu bidaah. Bahkan sebahagian ulama terdahulu beramal dengan hadis daif dalam bab hukum-hakam sekalipun, namun tidak pula mereka dituduh melakukan bidaah.

Bidaah Beramal Dengan Hadis Daif?

Saya belum dapat menemukan ulama yang menyatakan secara terang-terangan bahawa beramal dengan hadis daif adalah bidaah secara mutlak. Ada disebut dalam al-Minhaj Syarh Sahih Muslim bin al-Hajjaj oleh Imam al-Nawawi (Dar Ihya’ al-Turath al-’Arabi: Beirut, cet. 2, 1392H, 4/153):

أن السنة في السلام من الصلاة أن يقول: “السلام عليكم ورحمة الله” عن يمينه، “السلام عليكم ورحمة الله” عن شماله. ولا يسن زيادة: “وبركاته”، وإن كان قد جاء فيها حديث ضعيف، وأشار إليها بعض العلماء، ولكنها بدعة، إذ لم يصح فيها حديث، بل صح هذا الحديث وغيره في تركها. والواجب منه: “السلام عليكم” مرة واحدة، ولو قال: “السلام عليك” بغير ميم، لم تصح صلاته. انتهى

Maksudnya secara ringkas, Imam al-Nawawi menghukumkan bidaah menambah lafaz: wa barakatuh dalam lafaz salam selepas selesai solat. Pada mulanya beliau menyatakan hadisnya sebagai daif, kemudian beliau mengatakan pula; tidak ada satu hadis pun yang sahih. Maka zahirnya, Imam al-Nawawi seolah-olah berpendapat mengamalkan hadis daif adalah bidaah.

Namun pernyataan bidaah tersebut tidak terdapat dalam kitab-kitab beliau yang lain dan hanya memadai dalam menghukum amalan berkenaan sebagai syaz atau menyalahi yang masyhur dari Nabi s.a.w. sahaja. Malah dinyatakan dalam kitab al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (3/479) bahawa sanad hadis mengenai perkara tersebut dalam Sunan Abi Dawud adalah sahih, bukan daif. Demikian juga hukumnya menurut al-Hafiz Ibnu Hajar dalam kitab Bulugh al-Maram (no. 339).

Imam Syams al-Din al-Ramli (w. 1004H) pula dalam kitabnya Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj, iaitu huraian terhadap kitab Minhaj al-Talibin karangan Imam al-Nawawi, memberi komentar:

(وَأَكْمَلُهُ السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ) لِلِاتِّبَاعِ ، وَلَا يُسَنُّ وَبَرَكَاتُهُ عَلَى الْمَنْصُوصِ الْمَنْقُولِ لَكِنَّهَا ثَبَتَتْ مِنْ عِدَّةِ طُرُقٍ وَمِنْ ثَمَّ اخْتَارَ كَثِيرٌ نَدْبَهَا

Beliau menyatakan bahawa tambahan lafaz: wa barakatuh itu sabit melalui beberapa jalan riwayat dan ramai ulama yang menghukumkannya sebagai mandub (sunat). Maka zahir pendapat Imam al-Nawawi di atas, iaitu mengamalkan hadis daif adalah bidaah tidak dapat diterima sebagai suatu kenyataan yang muktamad. Apatah lagi beliau terkenal dengan pendapatnya membenarkan pengamalan hadis daif dalam bab fada’il al-a’mal dan yang seumpamanya.

Syeikh Muhammad bin Isma’il al-San’ani (w. 1182H) dalam kitabnya Subul al-Salam (Maktabah Mustafa al-Babi al-Halabi: Mesir, cet. 4, 1960, 1/195-196) menyatakan bahawa ianya adalah riwayat tambahan dari perawi yang adil dan beliau menukilkan dari kitab Talqih al-Afkar Takhrij al-Azkar susunan al-Hafiz Ibn Hajar ketika al-Nawawi menyebut bahawa tambahan lafaz: wa barakatuh adalah riwayat tunggal (syaz), maka al-Hafiz Ibnu Hajar telah membawakan beberapa jalan riwayat bagi tambahan lafaz: wa barakatuh, kemudian katanya: “Ini adalah beberapa jalan riwayat yang menunjukkan sabitnya lafaz: wa barakatuh, berbeza dengan apa yang dibayangkan oleh kata-kata syeikh (al-Nawawi) bahawa ianya adalah riwayat tunggal (syaz)”.

Ulama lain yang ditemukan berpendapat bahawa mengamalkan hadis daif itu adalah bidaah ialah Syeikh Muhammad bin Isma’il al-San’ani (w. 1182H) di atas dalam kitabnya Subul al-Salam (2/114), di mana beliau mengulas tentang hadis talqin ke atas mayat:

ويتحصل من كلام أئمة التحقيق أنه حديث ضعيفٌ والعمل به بدعة ، ولا يغتر بكثرة من يفعله. انتهى

Kata-kata Syeikh al-San’ani ini begitu popular dipromosikan oleh mereka yang menolak amalan talqin ke atas mayat dalam kubur dan berpendapat ianya sebagai suatu amalan bidaah.

Menurut Imam al-Nawawi dalam Fatawanya: Adapun talqin yang biasa dilakukan di Syam selepas pengebumian, maka pendapat yang dipilih ialah istihbab melakukannya. Antara ulama yang menaskan hukum istihbabnya dari kalangan sahabat-sahabat kami (ulama Syafi’iyyah) ialah al-Qadhi Husain, al-Mutawalli, Syeikh Nasr al-Maqdisi, al-Rafi’i dan lain-lain. Hadisnya yang diriwayatkan oleh al-Tabarani adalah daif, akan tetapi ia dapat diambil kira. Dan para ulama hadis telah bersepakat dalam bertolak ansur dengan hadis-hadis fada’il dan juga targhib wa tarhib. Ahli Syam telah pun mengamalkan perkara tersebut sejak zaman ulama yang diikuti peribadinya sehinggalah sekarang ini. (Lihat Kasyf al-Khafa’ wa Muzil al-Ilbas oleh Syeikh Isma’il al-‘Ajluni, Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, 1/316)

Realiti dan praktis kebanyakan ulama fiqh dalam menghukumkan amalan yang bersandar kepada hadis daif ialah hanya menyatakannya sebagai pendapat yang marjuh, atau pendapat yang lemah, ataupun ditolak, dan mereka tidak menghukumkannya sebagai suatu bidaah. Jika hadis daif tersebut mempunyai dalil-dalil lain yang menyokong seperti amalan para sahabat atau para salaf misalnya, kemungkinan ia dapat meningkat kepada kedudukan yang lebih kuat.

Berdasarkan penjelasan ini, pandangan al-San’ani itu tidak dapat diterima sebagai suatu kaedah penentuan yang kukuh, dan menyalahi metode majoriti ulama fiqh. Maka jelaslah bahawa mengamalkan hadis daif bukanlah suatu bidaah, melainkan jika ada dalil-dalil lain yang kukuh yang menjadikannya dapat dianggap sebagai bidaah seperti percanggahannya dengan nas al-Quran atau hadis sahih dan sebagainya. Jika tidak, ia hanya boleh dikatakan sebagai pendapat yang lemah atau ditolak, tetapi bukan bidaah.

Memang kita digalakkan untuk beramal dengan hadis-hadis yang kuat, namun dalam setiap masalah itu bukan semua ada diriwayatkan mengenainya hadis yang sabit (yakni sahih atau hasan). Di samping ada sudut-sudut fiqh dan kaedahnya yang perlu dikuasai dengan baik, dan adakalanya ia berbeza antara satu mazhab dengan yang lain. Sesuatu perkara yang hanya dianjurkan dalam hadis daif dan tiada sebarang nas yang melarang juga perlu difahami dengan masak.

Wallahu a’lam.

http://sawanih.blogspot.com/2011/05/amal-hadis-daif-bidaah.html

About these ads

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 727 other followers

%d bloggers like this: