Posted by: Habib Ahmad | 4 Mac 2011

Ku terkenang di saat pemergianmu…..( ii ) Habib Ali Batu Pahat

Ku terkenang di saat pemergianmu…..( ii )

Aku sudah diberitahu lebih awal, untuk bertemu dengan Habib Ali perlulah datang selepas asar. Kerana itulah waktu beliau akan bersama dengan para penziarah, pecinta, penuntut ilmu , asyiqin, arifin dan sebagainya.

Kami bersolat dahulu dan membuat persiapan di Petronas Air Hitam. Menyambung kembali perjalanan dengan saratan tasbih dan tahmid. Selawatan buat penghulu segala mursalin. Hati kian berdebar bila menyusup masuk ke kampung Solok Wan Mor melalui stesyen minyak esso.

Kami berhenti betul-betul dihadapan rumahnya.

“ Betul ke ini rumahnya?” hatiku berbisik.

Sebuah rumah yang agak usang. Kecil dan agak kusam. Petang, lagi menambah suram dari sudut zahir rumah itu.

“ Ya nak, rumah itulah rumah Habib Ali “ jerit jiran sebelah bila kami menyoal tentang rumah Habib Ali.

“ Beri salam nak, ada orang dekat rumah itu.” Laungnya lagi.

Aku pun melaungkan salam. Pintu terkuak sedikit. Seorang yang agak berumur mempersilakan aku masuk. Aku berjalan perlahan dan memasuki ruang tamu. Kelihatan beberapa orang sedang menghadap seorang tua yang berpakaian putih agak lusuh. Sudah pasti dialah yang bernama Habib Ali al I’ydrus itu. Pecinta yang terukir nama sebagai tokoh zuhud dunia kala ini.

Padanlah dihadapan rumah itu, beberapa kereta mewah berplat Singapura tersusun rapat. Rupa-rupanya milik tetamu-tetamu ini yang berkeliling rapat dengan Habib Ali.

Belum aku sempat menuju ke arah Habib Ali, beliau sudah memandang tepat ke arahku. Kemudian meneropong ke arahku dengan menggunakan tangannya.

Ajaib. Meneropong menggunakan tangan. Belakangku Wak Paiman, Cikgu Amin dan anak-anak muridku yang lain. Setiap orang diteropongnya tanpa kecuali.

Ku lihat anak-anak muridku, sudah tersenyum dan berbisik. Aduh, mengapa mereka berkelakuan seperti itu. Aku sedikit beremosi.

Habib Ali membetulkan silanya.

“ Ana sudah tua. Ana sudah tidak nampak “

“ Jadi ana kena teropong” Jelas Habib Ali.

Bicaranya lembut. Nadanya lancar. Buatkan hatiku terpikat, jiwaku mekar, keinginanku pudar, terasa begitu sesuai dengan bicara milik pecinta ini.

Aduh, wajahnya jernih. Tidak sangsi ia mewarisi sulalah Husein yang terpuji. Aku mula mengaguminya. Fizikal dan perinya.

Badannya kurus. Sangat tepat dengan gambaran yang ku terima, beliau seorang yang zuhud. Zuhudnya terpamer dengan apa yang beliau miliki dan apa yang ada disekelilingnya. Sering memohon maaf sedangkan beliau tidak perlu untuk bertindak begitu.

Teringat aku kepada hikam Ibn Athaillah Skandari yang bermaksud. : Perbuatan yang baik adalah hasil dari hal yang baik. Hal yang baik pula adalah tahqiq maqamat al Inzal.

Beliaulah orang yang mewarisi setiap huruf hikam tersebut sehingga termaktub maksud padanya.

Aku dan Habib mula berbual mesra. Bertanya itu dan ini. Saling bertaaruf bersama. Habib lebih banyak berbual denganku berbanding yang lain kerana aku berbicara di dalam bahasa Arab.

Sesekali, Habib bertanya kepada anak muridku dalam bahasa arab. Anak muridku yang tidak mahir berbahasa arab hanya tersenyum dan mengangukkan kepala sahaja tak ubah seperti ayam mematuk bijirin.

Keletah itu meriangkanku seketika. Geli hati. Sekurangnya akan menambah azam dihati mereka untuk menawan penguasaan bahasa arab pada suatu hari.

Habib kemudiannya menasihatiku agar diajarkan mereka bahasa arab supaya mahir. Untuk melahirkan ulamak perlulah menguasai bahasa terlebih dahulu. Aku amat bersetuju dengan cadangan Habib.

“ Unsyud lanal qasaid “ pinta Habib untuk dinyanyikan qasidah buatnya, lantas memutuskan seketika perbualan kami.

Habib sudah memintanya sebelum aku memintanya. Itulah antara kelebihan Habib. Malah, aku menyangkakan yang habib dalam keadaan uzur itu, pasti agak keberatan untuk kami dendangkan qasidah buatnya. Semuanya meleset sekali.

Anak-anak muridku bersiap peralatan qasidah. Alat pukul yang tidak seberapa dan buku qasidah mula diedarkan. Aku sendiri mengedarkan buku qasidah yang diterbitkan oleh aku sendiri kepada Habib.

Habib membelek – belek buku tersebut dan menatap tajam pada gambar tuan guruku yang terpamer pada wajah depan buku tersebut. Kemudian Habib mula berbicara seorang diri. Aku terpinga-pinga memerhatikan fiil Habib Ali.

Aku memasang telinga sedalam-dalamnya tentang butir bicara beliau.

“ Ya, anak-anak muridmu berada di sini”

“ Ramai sekali ! “

“ Mereka akan berqasidah “

“ Nanti aku sampaikan”

Sekali lagi aku pegun. Anak muridku yang menyaksikan kembali berbisik dan tersenyum. Aku betul – betul penasaran.

“ Silalah berqasidah “ tawar Habib kepadaku. Tawaran itu mematikan khayalku sejenak.

Kami pun berselawatan memuji rasul. Mendambakan kasihnya. Mataku tidak lekang dari memerhati gerak geri Habib. Aku mesti mendapatkan sebanyak ilmu dari beliau. Tidak akan aku lepaskan peluang menatap wajahnya agar aku beroleh keberkahan.

Mulut habib kumut kamit menyanyikan qasidah bersama kami sambil membaca buku qasidah yang aku bekalkan kepadanya. Kepalanya meliuk lentok mengikut alunan qasidah yang diadun dengan perasaan cinta merekah kepada kekasih habib dan kekasih kami.

Kami nyanyikan tiga buah qasidah buat habib. Tiba-tiba pintu rumah habib terkuak dan dua orang mendatangi habib. Berbual dengan habib dengan nada perlahan. Yang kedengaran hanya beberapa huruf yang tidak jelas.

Aku hanya memandang wajah-wajah anak muridku. Membiarkan habib bersama tamunya. Usai pertemuan itu, kami meneruskan perbualan. Habib sempat bergurau santai, bercerita dan menaburkan mutiara kata yang memecahkan kebuntuan salik.

Benarlah beliau seorang murabbi yang tiada syak lagi. Beliau menghimpunkan amal pada kata dan perbuatan. Pada ilmu dan makrifat. Pada syarak dan akhlak. Pada tasauf dan suluknya.

Engkaulah bintang dalam galur suci ini. Engkaulah cahaya para salik. Engkaulah kitab para ulamak. Engkaulah saksi para pencinta.

Pertemuan itu, berakhir apabila hari sudah berlabuh. Senja mengambil ruang. Suram menjadi kelam. Kami patut beredar. Jika tidak, pasti akan lebih menyusahkan habib.

Cinta ini tidak akan menyusahkan orang yang dicintainya. Malah akan menyenangkan. Mengembirakan. Meluaskan dan memudahkan.

Habib mengiringi aku ke muka pintu. Anak-anak murid bersalaman dan mencium tangan habib dan pergi seorang demi seorang. Tinggallah aku yang terakhir. Aku peluk habib tanda cintaku. Aku pegang erat tangannya dan mencium agak lama.

“ Habib, doakan ana ye!” pohonku.

“Enta yang doakan ana. Ana mohon doa enta “ kata habib sambil tersenyum.

Habib menepuk bahuku dan meninggalkan nasihatnya buatku.

“ Enta baik sangka ye. Selalulah berbaik sangka ! “

“ Baik habib “ balasku.

Pertemuan kali pertama itu merupakan jodoh kami bersama habib. Pertemuan itu adalah pertalian. Pertalian yang terbina kerana Allah. Pertemuan itu amat menggembirakan.

Rumuz

Keluar dari perkarangan rumah Habib Ali, azan pun berkumandang. Kami segera menuju ke masjid yang berhampiran. Kami bersolat di sana. Selesai menunaikan tanggungjawab tersebut, kami bertolak ke rumah anak Wak Paiman.

Anak Wak Paiman sudah lama menanti kehadiran kami. Kami mengambil tempat duduk. Aku mulakan majlis dengan tahlil ringkas. Ahhhh… betapa manisnya setiap kalimah thoyyibah itu bila digemakan dengan suara-suara padu anak-anak muda yang bergelar syabab.

Majlis itu tidak berseri jika qasidah tidak beralun dan gendang tidak dipalu.Qasidah menjadi santapan buat kami dan memeriahkan suasana. Pekikan dan gendang yang bertalun itu telah menjemput tetamu sekitar untuk menjenguk persembahan kami. Membangkitkan ruh yang tidur dan menyembuhkan yang sakit.

Majlis itu diakhiri dengan jamuan ringan dari pihak tuan rumah. Kami nikmati dengan enak sekali. Bila sesuatu yang kosong itu diisi, terasa nikmat yang bukan kepalang. Namun, keenakan itu bukan dari sudut rasa yang zahir sahaja tetapi turut diruntun oleh perasaan juga apabila, aku mula memberi tausiyah. Tausiyah mengenai rumuz permata gemilang yang berlaku di rumah Habib Ali.

Rumuz ialah simbol kesufian bagi mengambarkan tanda atau ayat bagi kewujudan dan keagungan Allah. Kehebatan seorang ahli arifin ialah dengan penggunaan rumuz bagi menggambarkan sesuatu. Ahli sufi hidupnya penuh dengan perlambangan atau rumuz. Jesteru itu, mengingatkan aku kembali, kitab yang telah aku khatamkan ketika menuntut di maktab ketika dahulu, penulisan Syaikh Daud bin Abdullah al Fathanie iaitu kitab “ al Manhalush sofie fi bayan rumuz ahli sufi”.

Aduh!! Karya pujangga yang benar-benar faham dengan ilmu dan rasa hatinya. Tidak ramai yang begitu tajam mata dan basirahnya sehingga boleh menterjemahkan setiap rumuz yang tersingkap dalam kehidupan Syaikh Daud.Kagum.

“ Setahu ustaz, dari apa yang ustaz belajar….”jeda sebentar. Aku cuba mendapatkan perhatian anak-anak muridku.

“ kalau kita rabun jauh atau dekat, maka penyelesaiannya ialah memakai kaca mata yang bersifat cembong atau cekong”

“Jadi, apa yang kamu lihat dari tindakan habib Ali yang mengatakan ia tidak nampak, bukanlah dari sudut zahirnya”

Anak-anak muridku terlopong mendengar penjelasanku.

“ Kita tidak tahu perlakuan Habib Ali berbual dengan gambar itu memberi maksud apa? Namun, dalam kaedah ahli sufi, terdapatnya hatif”

“ Mungkin juga ia boleh berlaku ! “ kerasku.

Aku cuba merungkai rumuz yang dizahirkan melalui manifestasi yang terjadi di rumah Habib Ali dengan ringkas dan jelas. Tetapi tidak semua boleh dijelaskan oleh fikiran tumpul aku. Mana yang berpintal, biarlah menjadi sirr untukku. Mana yang polos aku berkongsi pada semua.

Hari itu, adalah hari pertemuan. Pertemuan yang beroleh berkat. Pertemuan sebuah ikatan. Pertemuan sebuah rasa sayang dan kasih yang bukan kepalang. Aku gembira dengan pertemuan ini.

Lebih gembira

Aku masih senyum. Senyuman yang belum putus dari semalam. Senyuman yang membuat sering aku terkenang. Senyuman sebuah kepuasan. Kepuasan yang datang dari sebuah keberkatan.

Hari itu membantu senyumku ceria. Hari cerah. Awan masih putih kemulus. Bergerak perlahan mengiringi desir angin bertaburan. Sesekali, pelepah sawit bergoyang meliuk-liuk dengan bantuan angin memusar sedikit.

“ Ya Sayyidi, apa yang boleh ana bantu ? “ soalku ketika guruku menghubungiku.

Deringan telefon tanpa henti itu, rupanya milik Tuan Guruku.

“ Engkau jumpa Habib Ali ya?” Guruku membalas soal.

“ Ya! Ya sayyidi.”

“ Bagaimana sayyidi tahu ? aku tergamam.

“ Habib Ali memberitahuku ketika kamu mengunjunginya”

“Semalam?” aku memohon kepastian.

“ Ya” tukas guruku.

Aduh!! Rupanya perbualan Habib Ali dengan gambar itu rupanya seperti yang aku jangkakan. Hatif.

Hari ini aku gembira. Malah lebih gembira bila perbualan dengan guruku berakhir. Habib, engkau adalah pecinta. Cintamu menjadikan dirimu adalah tanda. Karamahmu adalah isyarat. Isyaratmu menjadi rumuz. Sementara aku mengutip setiap rumuz yang kau taburkan buat bisyarat kepada diriku.

Aku….

Aku takkan melupakan sama sekali peristiwa ini…

http://syeikh-husna.blogspot.com/2010/06/ku-terkenang-di-saat-pemergianmu-ii.html#comments

About these ads

Respon

  1. masyaAllah..tergamam baca crita dri tuan…..

  2. semoga mnambah rasa cinta kami kpda Rosul dan pra ahlulbaitnya dgn mndngar kisah ni ,,amin……

  3. beruntungnya tuan dapat bertemunya,saya yg dah berpuluh tahun tinggal di batu pahat,baru hari ni mengetahui siapa itu HAbib Ali..
    Ruginya saya Tuhan krn lambat tahu..

  4. Rindu habib ali…


Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 717 other followers

%d bloggers like this: