Posted by: Habib Ahmad | 12 Mac 2009

Kitab: Matla’ al-Badrain wa Majma’ al-Bahrain

Kitab: Matla’ al-Badrain wa Majma’ al-Bahrain

Data ringkas kitab:

Judul: Matla’ al-Badrain wa Majma’ al-Bahrain (Tempat terbit dua bulan purnama dan tempat berhimpun dua laut)

Kategori: Fiqih

Pengarang: al-‘Allamah Syaikh Muhammad bin Ismail Daudi al-Fathani @ Syaikh Nik Mat Kecik (wafat di Mekah tahun 1333H/1914M)

Tarikh selesai dikarang: 12 Sya’ban 1303H/16 Mei 1886M

Merupakan antara kitab fiqih yang paling terkenal di Tanah Melayu. Ditulis oleh al-‘Alim al-‘Allamah Syaikh Wan Muhammad bin Wan Ismail bin Wan Ahmad bin Wan Idris bin Wan Tih bin Syaikh Wan Senik al-Karisiqi al-Fathani. Atau dikenali juga dengan nama Syaikh Muhammad bin Ismail Daudi al-Fathani atau Muhammad Shaghir al-Fathani (di kalangan orang ‘arab) atau Syaikh Nik Mat Kecik al-Fathani dikalangan orang Melayu di Mekah. Beliau adalah cucu saudara kepada al-‘Alim al-‘Allamah Syaikh Daud bin ‘Abdullah al-Fathani.

Kitab ini pernah dijadikan teks pengajian ilmu fiqih sekolah-sekolah agama di negeri Johor. Oleh kerana kitab ini terlalu banyak dipergunakan, maka kerajaan Johor menganjurkan penyusunan sebuah kamus yang khusus mengenai kitab ini. Maka tersusunlah sebuah kamus dengan judul Suluh Mathla’ul Badrain oleh Haji Abdul Ghani Yahya, antara murid kepada Tok Kenali. Di tulis di Johor Baharu pada 1 Oktober 1941M. Kamus ini khusus terjemahan kosa kata Arab ke dalam bahasa Melayu, maka dapat membantu pelajar dalam memahami perkataan-perkataan atau istilah-istilah yang terdapat didalam kitab Matla’ al-Badrain. Hanya Mathla’ al-Badrain kitab Melayu/Jawi yang ditulis kamus.

Kitab Mathla’ al-Badrain wa Majma’ al-Bahrain, selesai ditulis pada 12 Syaaban 1303H/1885M. Cetakan pertama dan keduanya tidak ditashihkan, maka keduanya ternyata banyak kesalahan sususan kalimatnya yang dilakukan oleh pihak pencetak. Manakala cetakan ketiga dan keempat telah ditashih oleh al-‘Allamah Syaikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani.

Jika diteliti, model penulisan Mathla’ al-Badrain dari pelbagai aspek, dapat diklasifikasikan sebagai penulisan klasik ilmiah. Contohnya, pada banyak tempat digunakan nota kaki, istilah orang Melayu zaman dulu dinamakan ‘dhabit’. Akhir setiap sesuatu dhabit ada yang digunakan istilah ‘Muallif’ maksudnya ‘pengarang’. Pada konteks Mathla’ al-Badrain maksudnya ialah Syaikh Nik Mat Kecik. Pada tempat lain digunakan istilah ‘Mushahhihahu’, maksudnya ‘pentashihnya’. Pada konteks Mathla’ al-Badrain maksudnya ialah Syaikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani. Pada setiap penghabisan dhabit, Syaikh Nik Mat Kecik menyebut nama kitab yang beliau rujuk. Kitab Melayu/Jawi yang disebut ialah Sabil al-Muhtadin, tetapi Sabil al-Muhtadin hanya disebut pada ibadat. Kitab Arab lain seperti Fath al-Wahhab, Bujairimi ‘ala Fath al-Wahhab.

Di antara kitab yang menjadi rujukan pengarang ketika mengarang kitab ini adalah:

  • Fath al-Wahhab bi Syarh Minhaj at-Thullab oleh Syaikhul Islam Abi Yahya Zakaria al-Anshari
  • I’anah at-Tholibin oleh Sayyid Abu Bakr ibn Muhammad Syata ad-Dimyati, yang masyhur dengan nama Sayyid al-Bakri Syata
  • Bujairimi ‘ala Khatib oleh Syaikh Sulaiman al-Bujairimi
  • Mughni al-Muhtaj oleh Syaikh Muhammad ibn Ahmad asy-Syarbini al-Khatib
  • As-Siraj al-Wahhaj Syarh ‘ala Matn Minhaj oleh Syaikh Muhammad az-Zahri al-Ghamrawi
  • Hasyiah al-Bajuri oleh Syaikh Ibrahim al-Bajuri
  • Kifayatul Akhyar oleh Imam Taqiyuddin Abu Bakr bin Muhammad

Kitab Matla’ al-Badrain telah dirumikan dan diterbitkan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jabatan Perdana Menteri) pada tahun 1413H/1993. Ianya telah disusun semula dan menggunakan bahasa yang moden dan mudah supaya senang difahami. Tajuk-tajuknya pula diasingkan dengan perenggan-perenggan dan fasal-fasal yang bernombor serta tajuk-tajuk ringkas ditepinya (nota birai) untuk kemudahan rujukan.

Menurut Tuan Haji Hasan bin Haji Ahmad (kini Dato’ dan menjawat sebagai mufti Pulau Pinang) pada kata alaun pentashih terjemahan [transliterasi] kitab Matla’ al-Badrain terbitan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan:

Semasa saya mentashihkan draf akhir kitab ini, saya berpandukan pengalaman dan ilmu yang cetek yang ada pada saya serta merujuk kepada beberapa buah kitab yang mu’tabar, antaranya:

  • Syeikh Sulaiman al-Bujairimi, Hasyiah al-Bujairimi ‘ala al-Minhaj, 4 juzu’ (Misr: Maktabah Musthafa al-Babi al-Halabi wa Auladuhu, 1369H/1950M)
  • Syeikh Ibrahim al-Bajuri, Hasyiah al-Bajuri, 2 juzu’ (Surabaya/S’pura: Sulaiman Mara’i, t.t)
  • Al-Qalyubi dan Umairah. Hasyiyatain ‘ala Syarh Jalaliddin al-Mahallai ‘ala Minhaj at-Talibin. 4 juzu’. (Misr: Maktabah Musthafa al-Babi al-Halabi wa Auladuhu, 1375H/1956M)
  • Muhammad asy-Syarbini al-Khatib. Iqna’ fi Halli Alfaz Abi Syuja’ (S’pura: Maktabah Sulaiman Mara’i, t.t)

Daripada rujukan-rujukan yang dibuat, jelas bahawa Pengarang (Musannif) asal kitab ini memetik dan menterjemahkannya daripada beberapa buah kitab yang mu’tabar sepertimana yang diakui sendiri oleh beliau di bahagian muqaddimahnya, maka nilai kitab ini [kitab Matla’ al-Badrain wa Majma’ al-Bahrain] juga adalah mu’tabar.

Dato’ Syaikh Zakaria bin Haji Ahmad Wan Besar, seorang ahli jawatankuasa Majlis Fatwa Negeri Kedah Darul Aman, telah menulis kitab bertajuk Matla’ al-Nurain Untuk Menghuraikan ‘Ibarat Kitab Matla’ al-Badrain. Dimana kitab ini memudahkan ‘ibarat yang kusut dan uslub yang payah didalam kitab Matla’ al-Badrain, yang tidak dapat difahami maksudnya oleh kebanyakkan generasi kini. Begitu juga Pejabat Mufti Negeri Selangor Darul Ehsan, menerbitkan kitab Tahqiq Matla’ al-Badrain.

Kitab ini juga bukan sekadar masyhur di Tanah Melayu tetapi juga di Negara Brunei Darussalam. Ini dapat dilihat pada ucapan di Majlis Muzakarah Pengkursus Ibadat Haji Kali Ke-13 Bagi Musim Haji 1427H/2006M (pada hari Selasa, 12/7/2006 Di Maktab Perguruan Ugama Seri Begawan) oleh Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama Negera Brunei Darus Salam:

Kitab yang sudah menjadi pegangan kita di Negara Brunei Darussalam di dalam menunaikan rukun Islam, yang juga menjadi amalan dan pegangan Ahli Sunnah Wal-Jamaah ialah Kitab Mathla’ul Badrain yang mana sebahagian permasalahan dalam kitab tersebut telah dipermudahcarakan untuk membaca dan memahaminya melalui beberapa siri dalam Kitab Zainut Thalib iaitu hasil usaha dan gubahan Yang Berhormat Pehin Jawatan Luar Pekerma Raja Dato Seri Utama Dr. Ustaz Haji Awang Mohd. Zain bin Haji Serudin, Menteri Hal Ehwal Ugama.

Walaupun usia kitab ini sudah menjangkau lebih dari 120 tahun, namun ianya masih tetap relevan dan terkehadapan untuk dijadikan panduan generasi kini di dalam bidang fiqih.


Responses

  1. […] Selain itu, sewaktu mendapat bayi. Seusai azan di telinga kanan, bacakan surah al-Qadr. Demikian yang juga disarankan oleh al-Fatoni dalam kitab Muthala’al-Badrin. […]

  2. Salam,
    Dimana boleh dapatkan kitab tersebut ada tak kat mana2 kedai buku agama.

    • kat Jaafar Rawas Kelantan


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 751 other followers

%d bloggers like this: