Hukum Wanita Bermusafir
Kredit Gambar: Jahabersa 

Beberapa Petikan Dari Buku Ini:

A) Pengurniaan

Kepada semua wanita Muslimah yang menyahut seruan untuk mentaati segala perintah Allah SWT, menjauhkan segala laranganNya semata-mata mendapatkan kelebihanNya, kerahmatanNya, keampunanNya, kebaikanNya, kemaafanNya, dan syurgaNya.

Untuk Muslimah yang mengucapkan, “Selamat tinggallah kepada percampuran dengan lelaki ajnabi dan berhias-hias diri di hadapan khalayak. Nikmatnya berpakaian hijab, menjaga kehormatan dan sentiasa berasa malu.”

Selamat tinggallah kepada pakaian menjolok mata yang separuh telanjang, pakaian sempit lagi nipis. Nikmatnya berpakaian yang labuh dan berperhiasan Islamik.

Selamat tinggallah wahai orang yang mengajak kepada pembebasan wanita dan percampuran dengan lelaki ajnabi, mengajak kepada keburukan dan kerosakan kerana mereka tidak menginginkan kita melainkan hanya kesesatan, menyeleweng daripada usaha yang bersungguh-sungguh, menderhaka terhadap pengajaran Tuhan kita dan segala taujihat Nabi kita.

Mereka tidak menginginkan kita melainkan hanya sukakan melihat badan-badan yang telanjang, tempat-tempat fitnah yang mendorong kepada syahwat dan perlakuan dusta yang dibuat-buat.

Dan akhirnya, kepada wanita yang berkata, “Aku tidak akan mengorbankan kehidupanku, kebahagiaanku yang abadi dan harta bendaku dari Allah SWT pada hari kiamat dengan sesuatu harta benda dunia, hasil pendapatan yang terhad, hidup glamour yang palsu dengan kehidupan yang penuh kebebasan.”

Di manakah nilai kebahagian sekiranya akhirnya akan mendapat kebinasaan, kehinaan dan balasan azab antara timbunan nyalaan api.

Untuk semua mereka yang menghulurkan risalah ini kepada seseorang wanita semoga Allah SWT akan memanfaatkan perbuatannya dan memberikan hadiah pahala kepadaku kerana menyediakan risalah ini.

B) Pendahuluan

بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمـَنِ الرَّحِيمِ

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Segala pujian hanya bagi Allah Tuhan sekalian alam. Balasan baik bagi orang-orang yang bertaqwa, tidak ada permusuhan melainkan hanya lepada orang-orang yang melakukan kezaliaman. Selawat dan kesajteraan lepada penghulu semua Nabi dan Rasul, iaitu Sayyidina Muhammad s.a.w. dan lepada ahli keluarganya, para Sabatina dan sesiapa sahaja yang mengikuti mereka dengan perlakuan yang baik sehingga tibanya hari kiamat.

Kemudian, pada bulan Ogos lepas pada tahun ini (1993 Masihi), kami telah mengadakan pertemuan ilmiah mengenai kitab yang bertajuk,
الجوهر المن فى زيارة قبر النبى المكرم
karangan al-’Allamah al-Faqih Ibnu Hajar al-Haitami di dalam Masjid al-Fatah yang terletak di bandar Nasr, Kaherah. Majlis itu dihadiri oleh sebahagian besar pelajar-pelajar dari Malaysia dan Indonesia.

Sebahagian dari masalah yang difokuskan oleh pengarang dalam kitab ini adalah masalah wanita bermusafir untuk berziarah tanpa ada bersamanya mahramnya. Saya menjelaskannya bahawa musafir itu tidak dibolehkan menurut syara’. Ini adalah nas keterangannya (di dalam kitab karangan al-’Allamah al-Faqih Ibnu Hajar al-Haitami tersebut – peny. =malakian):

Seseorang wanita diharamkan bermusafir kerana berziarah semata-mata melainkan ada bersamanya mahramnya atau suaminya. Begitu juga hambanya, sekalipun wanita itu dan hambanya itu hádala orang yang dipercayai. Wanita juga tidak diharuskan bermusafir hanya semata-mata bersama dengan wanita-wanita sahaja seperti semua jenis perjalanan yang bukan bertujuan wajib.”

Sebenarnya, apa yang menyebabkan pemikiran jadi terfokus dalam pertemuan ini dan di dalam pertemuan selanjutnya yang diadakan bersama dengan para relajar perempuan Malaysia di dewan Asrama Pelajar-Pelajar Kedah di Kaherah, permasalhan ini diletakkan di tempat yang paling penting di kalangan mereka yang sama-sama turut serta sama ada pelajar lelaki mahupun perempuan. Banyak persoalan dan permasalahan yang minta diterangkan adalah mengenai wanita bermusafir, di mana pendapat dan fatwa yang mengharamkan wanita bermusafir akan menyebabkan beberapa rehlah secara kumpulan – melancong dan bersuka-suka – yang diuruskan oleh Persekutuan Pelajar-Pelajar Melayu dan lainnya terpaksa dibatalkan.

Dalam pertemuan itu saya tidak berkesempatan melainkan saya tekankan kepada mereka mengenai hukum yang diperkatakan oleh pengarang kitab itu (iaitu kitab karangan al-’Allamah al-Faqih Ibnu Hajar al-Haitami tersebut – peny. =malakian) adalah benar. Beberapa buah hadith sahih sememangnya thabit daripada Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh sebilangan para Sahabat r.a. terhadap larangan seseorang wanita bermusafir di sebuah perjalanan dalam jarak tertentu. Dalam sebahagian riwayat, ianya menyebutkan secara mutlaq melainkan wanita itu ada bersamanya suaminya atau mahramnya.

Juga, saya katakan lepada mereka bahawa sebaik-baik wanita adalah mereka yang tidak pernah melihat lelaki ajnabi dan lelaki ajnabi tidak pernah memandang mereka. Untuk diketahui, rehlah seperti ini lebih-lebih lagi jika terdapat percampuran antara lelaki ajnabi dan perempuan ajnabiah akan mengundang lepada fitnah dan tergoda dengannya.

Sayyidina ‘Ali berkata,

Adakah kamu tidak berasa malu? Adakah kamu tidak berasa cemburu? Salah seorang daripada kamu membiarkan isterinya keluar di kalangan para lelaki ajnabi. Dia melihat lepada mereka dan mereka melihat kepadanya.”

Dari Ibnu Mas’ud dari Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud,

Bahawa seseorang wanita itu dianggap sebagai aurat. Apabila seseorang wanita keluar dari rumahnya, syaitan akan melihat-lihat kepadanya. Apa yang terlebih hampir dalam kerahmatan Tuhannya adalah seseorang wanita sentiasa berada dalam rumah yang paling tertutup.”
(Diriwayatkan oleh al-Tirmidhi dan al-Bazzar).

Mengenai permasalahan ini, semasa mengadakan perhimpunan Persatuan Keluarga Kalimantan di Mesir yang dilaksanakan pada 28 Oktober, 1993 Masihi ketika membincangkan tajuk Rehlah Berkumpulan bagi sesebuah anggota keluarga, saya telah meminta izan kepada pengerusi majlis untuk turut sama memberikan pendapat dari segi hukum syara’ tentang seseorang wanita turut serta dalam rehlah seperti ini.

Bagi Allah segala pujian dan pemberian. Para hadirin yang turut serta dalam perhimpunan tersebut mula menunjukkan raksi yang positif. Mereka mendapat kefahaman yang penuh perasaan terhadap tajuk itu, seterusnya satu ketentuan telah ditetapkan bahawa seseorang pelajar wanita tidak dibenarkan turut serta dalam rehlah ini melainkan ada bersamanya suaminya atau mahramnya menurut syara’.

Supaya perbincangan itu jelas kepada semua hadirin, berasa mudah untuk merujuk kembali kepada sesiapa sahaja yang hendak mengambil sebarang faedah dan mengetahui hukum syara’ mengenai tajuk ini, saya memberikan rízala ini yang mengandungi pendahuluan, pembentangan, tujuh perbahasan dan penutup kepada saya turut memberikan saham untuk menyelesaikan permasalahan ini dalam matlamat menyebarkan pemeliharaan Islam terhadap orang Islam kerana sebahagian besar daripada ujian yang menimpa kepada orang Islam masa kini adalah sifat kejahilan terhadap hukum-hukum agamanya dan pengajaran Islam mereka. Sekiranya mereka mengetahui masalah agama mereka, mereka tidak akan terjerumus ke dalam kebanyakan perkara terlarang dan tegahan, perkara yang merosakkan dan memusnahkan.

Ya Allah! Saya memohon semoga Allah memanfaatkan risalah ini, menjadikan usaha saya menyediakan risalah ini semata-mata ikhlaskan kepada Zat Allah Yang Maha Mulia, semata-mata untuk mendekatkan diri saya kepada kelebihanNya dalam syurga yang penuh kenikmatan – melaui kerahmatanMu Ya Allah Tuhan Yang Maha Mengasihani, Ya Allah Tuhan Yang Maha Penyayang.

Allah sentiasa berselawat dan memberikan kesejahteraan kepada Nabi yang lebih mulia, kepada ahli keluarganya dan para Sahabat. Dan segala pujian hanya untuk Allah Tuhan sekalian alam.

Kaherah, 9 November, 1993 Masihi Bersamaan 24 Jamidil Awal 1414 Hijrah.

Hasil tulisan:
Al-Faqir Muhammad Nuruddin Merbu Banjar al-Makki.

C) Antara hadith-hadith yang dibincangkan oleh Shaykh Nuruddin al-Banjari al-Makki:

1. “Seorang lelaki ajnabi tidak boleh berdua-duaan dengan seorang wanita ajanabiah kecuali ada bersama wanita itu lelaki yang diharamkan berkahwin. Seorang wanita itu tidak boleh bermusafir kecuali ada bersamanya lelaki yang diharamkan berkahwin.” Seorang lelaki berdiri dan bertanya, “Ya Rasulullah! Isteriku telah keluar rumah kerana sesuatu keperluan, sementara semasa itu aku dihantar dalam peperangan bhagian-bahagian.” Rasulullah s.a.w. menjawab, “Pergilah dan kerjakanlah haji bersama dengan isterimu.”
(Hadith dipersetujui bersama oleh al-Imam al-Bukhari dan Imam Muslim).

2. Dari Ibnu Umar r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, “Seseorang wanita itu tidak boleh bermusafir selama tiga hari kecuali ada bersamanya lelaki yang diharamkan berkahwin”.
(Hadith Riwayat Imam Muslim).

3. Dari Ibnu Umar r.a. dari Rasulullah s.a.w. bersabda, “Tidak halal bagi seseorang wanita yang beriman kepada Allah dan hari akhirat bermusafir sepanjang perjalanan tiga batu kecuali ada bersamanya lelaki yang diharamkan berkahwin.”
(Hadith Riwayat Imam Muslim).

4. Dari Abu Sa’id al-Khudri r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, “Seseorang wanita itu dilarang bermusafir sepanjang perjalanan dua hari kecuali ada bersamanya suaminya, atau lelaki yang diharamkan berkahwin.”
(Muttafaq ‘Alaih, iaitu hadith yang dipersetujui bersama oleh al-Imam al-Bukahri dan Imam Muslim).

5. Dari Ibnu Umar r.a. juga beliau berkata, Rasululah s.a.w. bersabda, “Seseorang wanita yang beriman kepada Allah dan hari akhirat itu tidak dihalalkan bermusafir dalam satu perjalanan yang keadaan jauhnya 3 hari dan lebih jauh lagi kecuali ada bersamanya bapanya atau anaknya atau suaminya atau saudara lelakinya atau lelaki yang diharamkan berkahwin daripadanya.”
(Hadith Riwayat Jama‘ah kecuali Imam al-Bukhari).

D) Antara fatwa-fatwa ‘ulama’ muktabar yang dibincangkan oleh Shaykh Nuruddin al-Banjari al-Makki:

1. Sheikh al-Islam Abdullah al-Syarqawi berkata di dalam kitabnya حاشية الشرقاوي jilid 1 halaman 519, “Adapun seseorang wanita bermusafir kerana bukan mengerjakan haji fardhu seperti haji sunat, atau mengerjakan mura, maka pekerjaan itu diharamkan, sekalipun beliau bermusafir bersama-sama wanita-wanita lain semata-mata, sekalipun perjalanan permusafiran itu dalam jarak yang dekat, dan sekalipun diizinkan oleh suaminya. Seseorang wanita tidak diharuskan keluar bermusafir melewati batasan sempadan bandar tempat tinggalnya, sekalipun perjalanannya itu bersama dengan wanita-wanita yang dipercayai, atau dengan keizinan suaminya. Suaminya atau mahramnya atau hambanya (dengan beberapa syarat bermusafir bersama-sama dengan wanita itu. Apa yang berlaku sekarang ini, seseorang wanita keluar bermusafir menziarahi maqam-maqam yang terletak di luar batasan sempadan bandar tempat tinggalnya. Perbuatan itu dianggap sebagai maksiat dan wanita itu wajib ditegah daripada meneruskan perbuatannya itu.”

Tambahan: Menurut penerangan Shaykh Nuruddin, terdapat beberapa pendapat tentang kewajiban wanita menunaikan haji sekalipun tanpa mahramnya. Pertama, suatu kelompok ‘ulama’ menganggap, wanita yang tidak mempunyai mahram tidak mempunyai kemampuan sebagaimana yang diterangkan di dalam (Surah Ali ‘Imran: 97) Manakala sekelompok ‘ulama’ lagi mengharuskan wanita menunaikan haji tanpa mahram dengan hanya bersama sekelompok wanita yang dipercayai atau seorang hamba yang dipercayai. Dalam pentarjihan beliau, beliau cenderung memilih pendapat kelompok ‘ulama’ yang pertama.

2. Al-Qadhi Iyadh berkata, “Para ‘ulama’ bersepakat mengatakan seseorang wanita tidak dibolehkan keluar bermusafir kerana mengerjakan pekerjaan selain daripada pekerjaan haji dan mura kecuali ada bersamanya mahramnya. Seseorang wanita itu boleh keluar bermusafir jira berhijrah dari negara kafir.” (Lihat شرح النووى kepada صحيح الإمام مسلم jilid 5 halaman 104).

3. Di dalam kitab القرى halaman 70, “Semua ‘ulama’ tidak bercanggah pendapat mengenai seseorang wanita tidak dibolehkan keluar rumah bermusafir selain daripada mengerjakan pekerjaan fardhu kecuali ada bersamanya mahramnya. Tetapi, sekiranya seorang wanita kafir masuk Islam di negara kafir, wanita itu boleh keluar rumah bermusafir dari negaranya.”

4. Al-‘Allamah al-Zaqarni berkata, “Tempat perselisihan para ‘ulama’ seperti disebutkan hádala pada masalah mengerjakan haji fardhu. Sekiranya seseorang wanita itu hendak mengerjakan haji sunat, maka beliau tidak dibolehkan keluar rumah bermusafir kecuali ada bersamanya mahramnya atau suaminya. Beginilah penyelesaian mengenai masalah ini dan masalah wanita bermusafir untuk mengerjakan pekerjaan yang diharuskan sebagaimana yang dimaksudkan oleh hadith-hadith yang melarang seseorang wanita keluar rumah tanpa ada bersamanya mahramnya.” (Kitab شرح الزرقانى kepada الموطاء).

Biodata Muhammad Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki

Al-Fadhil Sheikh Muhammad Nuruddin Bin Haji Marbu Bin Abdullah Thayyib dilahirkan pada 1 September 1960M di desa Harus, Amuntai, Banjar Masin, Kalimantan Selatan, Indonesia. Beliau anak yang ketiga dari tujuh bersaudara, dari sebuah keluarga yang taat beragama. Beliau sekeluarga telah berhijrah ke tanah suci Makkah Al-Mukarramah pada tahun 1974 dan beliau meneruskan pengajiannya di Madrasah Shaulathiyah sehingga tahun 1982. Diantaranya guru-gurunya di Makkah termasuklah ulama’-ulama’ ternama seperti Sheikh Ismail Utsman Zain Al-Yamani, Sheikh Mohammad Yasin Al-Fadani serta Sheikh Hassan Mashshath. Pada tahun 1983 beliau telah melanjutkan pengajiannya ke Mesir di Universiti al-Azhar, Kaherah dalam jurusan Syariah hingga mendapat gelaran Sarjana Muda. Kemudian beliau meneruskan lagi pengajiannya di Ma’had ‘Ali Liddirasat Al-Islamiah di Zamalek sehingga memperolehi Diploma ‘Am “Dirasat ‘Ulya” pada tahun 1990.

Setelah menamatkan pengajian di Universiti Al-Azhar beliau menumpukan perhatiannya untuk mencurahkan ilmunya kepada ribuan para pelajar yang datang dari Asia Tenggara termasuk Indonesia, Malaysia, Singapura dan Thailand yang menuntut di Universiti Al-Azhar, sehingga beliau mendapat gelaran al Azharus Tsani (“Universiti Al-Azhar Kedua”), suatu gelaran yang terhormat dan tulus dari masyarakat Universiti Al-Azhar sendiri.

Antara keistimewaan Sheikh Nuruddin ialah beliau mewarisi metodologi pengajian berasaskan sanad ataupun silsilah.

Sebagai contoh, hadits-hadits yang dipelajari beliau sampai silsilah periwayatannya sehingga kepada Rasulullah SAW. Kitab-kitab ulama’ muktabar yang dipelajari beliau sampai silsilahnya kepada pengarang asal kitab-kitab tersebut ini seperti Imam As-Shafie, Imam As-Sayuti, Imam Nawawi dan lain-lain lagi. Di sinilah ketulinan dan keberkatan ilmu Sheikh Nuruddin.

Di samping mengajar beliau juga menghasilkan kitab-kitab agama berbahasa Arab dalam pelbagai bidang yang banyak tersebar luas di Timur Tengah dan juga di negara Malaysia. Semenjak mula mengarang kitab ‘Permasalahan Haid, Nifas & Istihadhah’ pada tahun 1991, beliau telah mengarang, mentahqiq serta mensyarahkan tidak kurang dari 50 buah kitab. Beberapa kitab beliau kini telah digunakan sebagai sumber rujukan dibeberapa buah pusat pengajian tinggi termasuk kitab beliau dalam jurusan Qawa’id Fiqhiyyah yang kini digunakan sebagai salah satu dari teks rujukan di Kuliyyah Syari’ah, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Dari tahun 1998 – 2001, beliau telah mencurahkan tenaga dan masa untuk membimbing para pelajar di Maahad ‘Ali Littafaqquh Fiddin, Madrasah Tarbiah Islamiah, Derang, Kedah, dan pada pertengahan tahun 2004 beliau telah mengasaskan Ma’had Az-Zein Al- Makki Al-Ali Littafaqquh Fiddien di Bogor, Jawa Barat Indonesia dan kini beliau merupakan Sheikhul Ma’had pesantren tersebut. Para pelajar di Ma’had Az-Zein adalah merupakan pelajar-pelajar yang terpilih dari beberapa buah pesantren di seluruh Indonesia khususnya dari daerah Banjar Masin yang terkenal dengan kelahiran ramai tokoh ulama’ yang ternama. Kini hasil dari usaha dan bimbingan Sheikh Nuruddin, 5 buah kitab telah berjaya diterjemahkan dan diterbitkan sepenuhnya oleh para pelajar dari Ma’had Az-Zein.

Kini beliau giat berulang-alik ke Banjar Masin setiap bulan dalam siri pengajian dan diskusi tetap beliau, disamping sessi pengajian yang sama di Malaysia serta Mesir.
(Kredit diberikan terhadap blog Abu Anis di atas biodata ini).

Biodata ini juga boleh didapati pada buku-buku keluaran Ma’had Az-Zein Al- Makki Al-Ali Littafaqquh Fiddien di Bogor, Jawa Barat Indonesia, contohnya pada buku yang bertajuk Mereka Yang Mendapat Syafa‘at Rasulullah yang merupakan buku terjemahan daripada sebuah buku berbahasa Arab karangan beliau yang bertajuk هؤلاء حلت لهم شفاعة الحبيب المصطفى

Untuk mendapatkan buku-buku beliau yang lain (selain daripada buku Hukum Wanita Bermusafir terbitan Jahabersa), boleh menghubungi Halaqah Resources, 9, Jalan Nova U5/75A, Subang Bestari, 40150 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.
Email: halaqah.resources@gmail.com. Atau dapatkan buku-buku beliau ketika beliau memberikan kuliah-kuliah agama di Malaysia. Sila rujuk di sini untuk mengetahui jadual kuliah agama beliau. Dijangkakan, beliau akan memberi kuliah agama yang seterusnya di Malaysia pada 4-8/8/2006.

http://malakian.blogsome.com